Sebagai seorang usahawan dan ketua keluarga, Encik Muhamad Akbar Jalit, mendapati Batam menawarkan pelbagai peluang.
Dari segi membesarkan keluarga, beliau, yang mendirikan rumah tangga dengan seorang penduduk Batam, mendapati segala keperluan mampu diperolehi di sini.
Harga untuk mendapatkan barang keperluan juga rendah berbanding di Singapura.
Menurutnya, Batam juga menawarkan beliau pasaran yang lebih luas untuk mengembangkan perniagaannya.
Menggabungkan kedua-dua aspek itu, Encik Akbar, 39 tahun, menjadikan Batam sebagai rumah kedua beliau sejak lebih sedekad lalu.
“Saya dah biasa dengan kehidupan di Batam… kalau boleh, saya hendak menghabiskan usia saya di sini.
“Anak saya pun bersekolah di sini. Lagipun semua yang saya perlukan ada di tempat ini,” kata pengasas syarikat pengurusan jenazah, Md Akbar International Islamic Casket, itu kepada Berita Minggu (BM) ketika kunjungan wartawan ke kepulauan Riau itu.
Meskipun berada di Batam, Encik Akbar masih mampu menguruskan syarikatnya itu dari jauh.
Beliau masih mengekalkan nombor telefon kerana segala komunikasi dengan kakitangannya di Singapura dilakukan menerusi WhatsApp atau alat walkie-talkie.
Pengalaman duduk di Batam telah membuka peluang perniagaan baginya.
Beliau dapat melihat sendiri cabaran yang dihadapi warga Singapura tatkala ada anggota keluarga yang meninggal dunia secara mengejut ketika bercuti di pulau itu.
Ramai yang telah menghubunginya untuk meminta bantuan.
Melihat terdapat permintaan untuk perkhidmatan sedemikian, Encik Akbar menubuhkan sebuah syarikat pengurusan jenazah di Batam pada 2022.
Syarikat Md Akbar International Batam membantu menguruskan jenazah, termasuk mandi dan kapan bagi orang Islam, dan kemudian menghantar jenazah kembali ke Singapura melalui bot laju.
Syarikat tersebut telah didaftarkan di bawah nama isterinya, seorang rakyat Indonesia.
Encik Akbar berkongsi bahawa beliau merancang mengembangkan perniagaannya lagi pada masa hadapan.
“Buat masa ini, kami hendak buat nama dulu di sini – Batam sebagai permulaan perniagaan di negara ini sebelum meluas ke tempat-tempat lain di Indonesia termasuk di Jakarta dan Jawa,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg