Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Labur hartanah di Batam, anggapnya sebagai rumah kedua

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Batam
Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, mengupah tukang jahit dari Batam, Cik Rahmaningsih. Mereka bekerjasama untuk menghasilkan baju pengantin baru. - Foto BM oleh KHALID BABA

Sebagai seorang pereka gaya dan pemilik butik pengantin, Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, menitikberatkan ketelitian serta kerapian jahitan pada busana yang direkanya. 

Dengan pengalaman lebih 10 tahun, beliau telah bertemu tukang jahit dengan kemahiran yang berbeza – yang baik mahupun yang kurang berpengalaman. 

Justeru, apabila beliau dipertemukan dengan seorang tukang jahit yang dapat menepati cita rasanya, Encik Wan Huzarman, 39 tahun, tidak teragak-agak mengupah tukang jahit tersebut secara sepenuh masa.

Ini biarpun tukang jahit itu menetap di luar negara – khususnya di Batam, Indonesia.

Dengan jarak Batam yang tidak jauh dari Singapura, Encik Wan Huzarman, memanfaatkan tenaga kerja tempatan Batam untuk perniagaan perkhidmatan perkahwinannya yang berkembang maju.

“Kalau nak dibandingkan dengan negara jiran lain, dekat Batam ni memang lagi murah untuk upah tukang jahit baju.

“Sejak saya kenal tukang jahit saya di sini, saya selalu tempah baju daripada beliau kerana jahitan beliau sangat rapi. Orang Batam pun ramai yang membuat kerja dengan teliti,” kata usahawan muda yang memiliki butik, Sanggul Emas Bridal ini. 

Encik Wan Huzarman, yang juga seorang penyanyi, kerap berulang-alik dari Singapura ke Batam untuk urusan kerjanya itu.

Banyak masa diluangkan bersama tukang jahit beliau, Cik Rahmaningsih, 38 tahun. Mereka saling berkongsi dan bertukar-tukar idea dalam mereka busana pengantin terkini.

Menurut Encik Wan Huzarman, beliau kembali ke Singapura pada setiap hujung minggu apabila menerima tempahan untuk khidmatnya sebagai pak andam serta menguruskan butiknya.

Memandangkan beliau banyak menghabiskan masa di Batam, Encik Wan Huzarman, menganggap tempat itu sebagai rumah keduanya.

Beliau akhirnya membuat keputusan mendapatkan sebuah rumah di sana pada 2016, selepas 10 tahun berulang-alik antara kedua-dua negara.

Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, di rumahnya di Batam yang didiami sejak 2016.
Encik Wan Huzarman Wan Azlan Shah, di rumahnya di Batam yang didiami sejak 2016. - Foto ihsan WAN HUZARMAN WAN AZLAN SHAH

Rumahnya itu dibeli atas nama saudaranya, seorang rakyat Indonesia.

“Dengan ada rumah di sini, saya dapat banyak berjimat... tak payah lagi tinggal di hotel kerana hampir setiap minggu saya akan berada di Batam,” jelasnya yang turut akur bahawa ia merupakan satu langkah berani demi perniagaannya. 

Encik Wan Huzarman berkata banyak penyesuaian yang dilakukan ketika mula-mula menetap di Batam, terutama dari segi pertuturan dan bahasa serta mengenali cara kehidupan di sana. 

“Lama-lama saya dah jadi terbiasa dengan semua itu,” ujarnya.

Memandang ke hadapan, beliau berkongsi hasrat ingin mendapatkan sebuah rumah baru di Batam dan membawa bersama ibunya, yang tinggal sendirian di Singapura. 

Encik Wan Huzarman juga berhasrat membuka sebuah lagi cawangan butik pengantin di Batam.

Menurutnya, rakyat Singapura kini boleh membeli hartanah dengan mudah di Batam dengan mengemukakan pasport mereka. 

Ini merupakan satu perubahan ketara di bawah Peraturan Pemerintah Indonesia. Sebelum ini, kartu izin tinggal terbatas (KITAS) diperlukan bagi warga asing membeli hartanah di Indonesia.

Dasar baru itu, yang berkuat kuasa sejak lewat 2022, memudahkan keperluan ini dan memudahkan proses membeli hartanah.

Bagaimanapun, terdapat batas harga untuk pelbagai jenis hartanah yang boleh dimiliki oleh warga asing.

Secara purata, nilai minimum untuk rumah berhalaman ialah sekitar 5 bilion rupiah ($414,000), dan untuk sebuah apartmen, ialah 3 bilion rupiah.

“Sekarang saya sedang dalam proses untuk jual beli rumah di Singapura dan juga menjual rumah pertama saya di Batam.

“Dengan pendapatan daripada penjualan itu, saya rancang beli rumah baru di Batam,” kongsi beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg