Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baucar CDC ringankan beban penduduk, pertingkat jualan peniaga

Beberapa peniaga nikmati kenaikan jualan sekitar 20 peratus selepas manfaatkan baucar CDC
Jan 3, 2025 | 7:25 PM
Encik Affandi Abdul Rahman, 44 tahun (kanan), bersama ayah beliau, Encik Abdul Rahman Suradi, 70 tahun. Mereka berdua memiliki sebuah gerai di Marine Parade dan telah menikmati peningkatan jualan sebanyak 20 peratus sejak memanfaatkan  skim pembayaran menerusi baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sejak 2021.
Encik Affandi Abdul Rahman, 44 tahun (kanan), bersama ayah beliau, Encik Abdul Rahman Suradi, 70 tahun. Mereka berdua memiliki sebuah gerai di Marine Parade dan telah menikmati peningkatan jualan sebanyak 20 peratus sejak memanfaatkan skim pembayaran menerusi baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sejak 2021. - Foto BH oleh INSYIRAH MOHD SHUKOR
Dari 3 Januari 2025, setiap isi rumah warga Singapura kini boleh dapatkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 untuk membantu ringankan perbelanjaan harian mereka.
Dari 3 Januari 2025, setiap isi rumah warga Singapura kini boleh dapatkan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 untuk membantu ringankan perbelanjaan harian mereka. - Foto ST

Sebagai pemilik gerai makanan, Encik Affandi Abdul Rahman, 44 tahun, sentiasa meneroka cara perbaharui perniagaannya.

Berpindah dari Jalan Eunos ke Marine Parade, beliau telah menyepadukan teknologi dalam operasinya sambil mengekalkan resipi warisan keluarga.

Salah satu usaha tersebut termasuk memanfaatkan skim bayaran menerusi baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sejak 2021.

Komitmen beliau terhadap inisiatif baru ini menjadikan makanannya lebih mudah dibayar oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) di gerainya yang terletak di Pasar dan Pusat Makanan Marine Parade Central pada 3 Januari, Encik Affandi berkata sejak memanfaatkan skim baucar CDC, beliau menikmati peningkatan jualan sebanyak 20 peratus.

Menurut Encik Affandi, beliau hanya perlu memuat turun aplikasi yang diperlukan dalam telefon bimbit untuk memanfaatkan skim itu.

“Saya tidak nampak sebarang sebab untuk tidak melaksanakan skim baucar ini di gerai saya.

“Saya mahu pastikan semua orang, tanpa mengira usia atau tahap pendapatan, dapat membeli sesuatu dari gerai saya,” kata beliau.

Menurut Encik Affandi, pelanggannya terdiri daripada penduduk lebih tua yang menetap dalam kawasan Marine Parade, serta golongan muda yang bekerja di kawasan pejabat berdekatan.

“Bagi generasi muda, lebih mudah untuk mereka menggunakan baucar melalui telefon bimbit.

“Jika ada warga senja yang hadapi kesukaran membuat bayaran menggunakan baucar digital, biasanya saya akan ajar dan membantu mereka,” tambahnya.

Antara pelanggan yang memanfaatkan baucar CDC ialah Cik Rohani Mohamed Suleiman, 55 tahun, yang tinggal bersama empat anggota keluarga di Bedok. 

Memandangkan suaminya pencari nafkah tunggal dalam keluarga, baucar CDC telah menjadi sumber sokongan yang berharga untuk isi rumahnya.

Selain itu, baucar tersebut dikongsi dengan ibunya yang sudah tua.

“Ada kalanya, saya akan pergi makan di luar dengan ibu. 

“Baucar CDC telah membantu saya memastikan saya dapat luangkan masa dengan beliau,” kata Cik Rohani.

Isi rumah Cik Rohani adalah antara yang menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai $300 bagi membantu meringankan perbelanjaan harian.

Separuh daripada baucar tersebut boleh digunakan di pasar raya, dan separuh di gerai penjaja serta peniaga di kawasan kejiranan yang mengambil bahagian.

Ia sah digunakan sehingga 31 Disember 2025.

Pemohon yang layak akan menerima surat pemberitahuan melalui pos dengan cara memohon dan membelanjakan baucar CDC mereka.

Seperti pengagihan sebelum ini, hanya seorang anggota rumah perlu melawat go.gov.sg/cdcv dan menggunakan Singpass untuk memohon baucar digital bagi pihak isi rumah.

Setelah baucar dituntut, pemohon akan menerima SMS dengan pautan unik yang dihantar daripada “gov.sg” ke nombor telefon bimbit berdaftar.

Pautan ini boleh dikongsi dengan anggota isi rumah lain.

Mereka yang menghadapi kesukaran dengan proses digital boleh mendapatkan bantuan di Kelab Masyarakat (CC) dan Hab Komuniti Digital SG.

Keutamaan akan disediakan di CC untuk warga emas dan individu dengan keperluan khas.

Bantuan turut akan diberikan kepada penduduk tanpa telefon bijak, perlukan bantuan untuk mendaftar akaun Singpass atau menetapkan semula kata laluannya.

Penduduk diingatkan agar berhati-hati terhadap penipuan. Mereka yang memohon mendapatkan baucar CDC tidak memerlukan penglibatan sebarang aplikasi atau transaksi bank.

Mereka yang menerima mesej mencurigakan berkaitan gov.sg atau Baucar CDC boleh menghubungi Persatuan Rakyat (PA) di 6225 5322, menyerahkan maklumat secara dalam talian di www.police.gov.sg/i-witness, atau menelefon 1800 2550 000 untuk membuat laporan polis.

Maklumat lanjut mengenai Skim Baucar CDC 2025 (Januari) boleh didapati di https://vouchers.cdc.gov.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg