Pemerintah akan menyediakan Baucar Pengangkutan Awam (PTV) bernilai $60 untuk permohonan PTV 2024 bagi membantu isi rumah penduduk kurang berkemampuan menampung penyesuaian tambang yang akan dilaksanakan mulai 28 Disember, di tengah-tengah kebimbangan warga Singapura terhadap kos sara hidup di sini.
Demikian umum Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Majlis Pengangkutan Awam (PTC) dalam satu kenyataan pada 9 September menyusuli pengumuman berkenaan penyesuaian tambang pengangkutan awam oleh PTC dalam satu sidang media.
PTC mengumumkan bahawa tambang pengangkutan awam bagi orang dewasa yang menggunakan kad tambang akan naik 10 sen bagi setiap perjalanan mulai 28 Disember 2024 menyusuli kenaikan tambang keseluruhan sebanyak 6 peratus sebagai sebahagian daripada Langkah Menyemak Tambang (FRE) 2024.
Ia menambah tambang konsesi bagi warga emas, pelajar, golongan kurang upaya dan pekerja bergaji rendah yang menggunakan kad tambang pula akan naik 4 sen bagi setiap perjalanan.
Menurut MOT, nilai PTV 2024 adalah lebih tinggi daripada baucar $50 yang tersedia bagi permohonan PTV 2023. PTV ini, tambah MOT, boleh digunakan isi rumah untuk tokok tambang kad atau membeli pas bulanan.
MOT dan PTC secara bersama menjelaskan kriteria kelayakan pendapatan bagi PTV akan dinaikkan daripada $1,600 kepada $1,800 bagi pendapatan isi rumah secara bulanan bagi setiap orang.
Dengan kriteria yang diubahsuai ini, tambahan 60,000 isi rumah dijangka layak menerima PTV dan permohonannya akan dilakukan melalui dua pusingan, kata MOT.
Dalam pusingan pertama, isi rumah yang menerima PTV pada 2023 dan masih memenuhi kriteria kelayakan akan menerima PTV secara automatik serta tidak perlu hantar permohonan baru.
Mereka akan menerima surat melalui pos menjelang penghujung Disember 2024.
Mulai awal 2025, isi rumah yang memenuhi kriteria kelayakan tetapi tidak menerima baucar pada pusingan pertama boleh memohon PTV secara dalam talian atau melalui kelab masyarakat. Butiran proses permohonan akan dikongsi kelak, tambah MOT dan PTC.
Selain itu, pemerintah juga akan menyuntik subsidi tambahan sebanyak $250 juta untuk menampung kos penangguhan kenaikan tambang pengangkutan awam.
Subsidi tambahan itu adalah untuk menampung kos penangguhan 12.9 peratus – setelah menolak 6 peratus daripada 18.9 peratus peningkatan yang dibenarkan bagi FRE 2024 – yang dibawa ke hadapan bagi FRE 2025.
Subsidi tambahan ini adalah di samping subsidi operasi tahunan sebanyak $2 bilion bagi pengangkutan awam, dan dana tambahan hingga $900 juta merangkumi 8 tahun untuk Program Peningkatan Keterhubungan Bas, tambah MOT.
Sejajar dengan kenaikan tambang, PTC berkata SBS Transit Rail dan SMRT Trains akan masing-masing menyumbang $13.01 juta secara keseluruhan dalam Dana Pengangkutan Awam.
Ia bagi digunakan untuk membantu isi rumah penduduk kurang berkemampuan dalam bentuk PTV, kata PTC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg