Semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima Baucar SG60 sekali sahaja yang diberikan sebagai sebahagian daripada sebuah pakej untuk mengiktiraf sumbangan semua rakyat dan berkongsi hasil kemajuan negara sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 pada 2025.
Demikian diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.
Pakej SG60 itu turut merangkumi rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 60 peratus dan Hadiah Bayi SG60.
Encik Wong berkata rakyat Singapura merentasi generasi berbeza dan daripada semua latar belakang kehidupan telah memainkan peranan penting dalam membawa negara ini mencapai ulang tahunnya yang ke-60.
“Bagi sebuah negara, 60 tahun adalah jangka masa yang pendek. Namun, kita telah membuat kemajuan besar dalam tempoh ini, dan banyak perkara yang perlu disyukuri,” kata beliau.
Mereka yang berusia antara 21 dengan 59 tahun pada 2025 akan menerima Baucar SG60 bernilai $600.
Mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas akan mendapat tambahan $200, menjadikannya $800 secara keseluruhan buat golongan tersebut.
Sekitar tiga juta rakyat Singapura dewasa akan meraih manfaat daripada Baucar SG60, yang penggunaannya serupa dengan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
“Baucar SG60 ini seperti Baucar CDC. Ia boleh digunakan di semua perniagaan yang menerima Baucar CDC – separuh daripadanya boleh dibelanjakan di pasar raya yang mengambil bahagian dan lagi separuh di kedai peniaga dan penjaja di estet kejiranan yang mengambil bahagian.
“Kami akan mengagihkan Baucar SG60 pada Julai. Warga emas akan menerimanya dahulu dan yang lain kemudian,” kata Encik Wong.
Baucar SG60 itu boleh diperolehi secara digital di RedeemSG melalui Singpass.
Mereka yang tidak boleh mendapatkannya secara digital boleh ke pusat atau kelab masyarakat terdekat untuk mendapatkan bantuan.
Tarikh terakhir bagi menggunakan Baucar SG60 itu adalah pada 31 Disember 2026.
Butiran lanjut mengenai baucar itu akan dikongsi Persatuan Rakyat dan CDC nanti.
Sebagai sebahagian daripada pakej SG60 itu, Encik Wong turut mengumumkan rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 60 peratus, dihadkan pada $200, bagi Tahun Penilaian 2025.
Rebat itu dihadkan pada $200 supaya sebahagian besarnya dapat memberi manfaat kepada pekerja berpendapatan pertengahan, kata Encik Wong.
Sementara itu, semua bayi rakyat Singapura yang lahir pada 2025 akan turut menerima Hadiah Bayi SG60, tambah beliau, dengan butiran lanjut akan dikongsi semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Pejabat Perdana Menteri (PMO) kelak.
Dalam usaha memperkukuh identiti negara dan ikatan masyarakat, Encik Wong turut mengumumkan beberapa inisiatif baru.
Ini termasuk Pas Budaya SG bagi menggalak orang ramai menyertai kegiatan seni dan warisan tempatan.
Di bawah pas itu, semua rakyat Singapura berusia 18 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima kredit bernilai $100 yang boleh digunakan bagi membeli tiket untuk kegiatan yang layak, seperti persembahan seni dan budaya, pameran muzium dan pengalaman warisan.
Kredit tersebut sah digunakan dari 1 September 2025 hingga 31 Disember 2028.
Sementara itu, sokongan sewa $600 sekali sahaja pada 2025 akan disediakan untuk setiap gerai di pusat penjaja dan pasar yang dikendalikan pemerintah dan pengendali yang dilantik pemerintah bagi menghargai sumbangan mereka.
Encik Wong menambah pemerintah akan memperuntukkan sehingga $1 bilion dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang untuk mempertingkat pusat penjaja lama dan membina pusat baru.
Dalam usaha menggalak orang ramai menikmati sukan bersama keluarga dan rakan-rakan, tokokan kredit ActiveSG SG60 $100 sekali sahaja akan disediakan untuk semua anggota ActiveSG pada Jun 2025.
Anggota ActiveSG sedia ada akan menerima tokokan kredit $100 itu, manakala anggota baru akan menerima kredit $200 – separuh daripada skim insentif anggota baru sedia ada yang dilaksanakan pada 2014 dan lagi separuh adalah tokokan yang diumumkan itu.
Langkah bagi menggalak semangat memberi turut diumumkan.
Pemerintah akan menyediakan tokokan $100 juta kepada Dana Pemadanan Kebudayaan dan melanjutkannya selama lima tahun sehingga hujung tahun kewangan 2029.
Pemerintah dan Tote Board juga akan memberikan tokokan $270 juta kepada Program Pengumpulan Dana Dipertingkat – yang menyediakan padanan bagi setiap dolar untuk projek pengumpulan dana oleh badan amal yang berdaftar.
Ia akan dilanjutkan selama tiga tahun sehingga hujung tahun kewangan 2027.
Sebuah Geran Pemadanan SG Gives $250 juta pula akan diperkenalkan bagi pemerintah memadankan setiap dolar bagi derma yang dibuat kepada program sosial dan masyarakat yang layak melalui Dana Masyarakat, Cabaran Presiden dan ‘Collective for a Stronger Society’ atau Kolektif untuk Masyarakat Lebih Teguh.
Encik Wong turut mengumumkan dana tambahan $60 juta dalam tempoh lima tahun mendatang untuk kumpulan bantu diri, supaya mereka dapat mempertingkatkan program dan memberikan sokongan lebih baik kepada masyarakat.
Kumpulan bantu diri itu termasuk Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dan Persatuan Serani (EA).
“Singapura paling kukuh apabila kita berdiri bersama. Kita mungkin ada perbezaan. Namun, kita semua rakyat Singapura, hidup di atas titik merah kecil ini, sebagai satu keluarga.
“Apabila kita bersatu, tiada cabaran yang tidak dapat kita atasi.
“Perpaduan inilah yang membuatkan kita kekal berdaya tahan, berkembang maju dan bergerak ke hadapan, walaupun dalam dunia yang tidak menentu dan penuh cabaran,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg