Setiap isi rumah Singapura akan menerima baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) sebanyak $800 – dengan $500 diagihkan pada Mei dan baki $300 diagihkan pada Januari 2026.
Ini bagi membantu mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup.
Membuat pengumuman itu pada Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata walaupun inflasi dijangka berkurangan pada 2025, harga barangan masih kekal tinggi:
“Pada tahun lepas (2024), saya meningkatkan Pakej Jaminan sebanyak $1.9 bilion.
“Pakej ini telah mengimbangi kesan inflasi sepenuhnya bagi isi rumah berpendapatan rendah, dan menyediakan bantuan yang ketara untuk isi rumah berpendapatan pertengahan.”
Hampir 1.2 juta isi rumah Singapura, atau kira-kira 90 peratus daripada 1.33 juta isi rumah, telah memanfaatkan baucar CDC $300 mereka yang dilancarkan pada 3 Januari 2024.
Demikian menurut Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, pada 23 Januari.
Baucar CDC boleh digunakan di pasar raya yang mengambil bahagian dan lagi separuh di kedai peniaga dan penjaja di estet kejiranan yang mengambil bahagian.
Selain itu, jumlah rebat U-Save telah digandakan sehingga $760 untuk membantu sekitar 950,000 isi rumah di estet Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menampung perbelanjaan utiliti mereka dengan tambahan rebat U-Save.
Rebat U-Save adalah bayaran sekali sahaja yang dikeluarkan di bawah Belanjawan 2025 untuk isi rumah dengan syarat penduduk rumah tidak mempunyai lebih daripada satu hartanah.
“Ia akan menampung kira-kira enam bulan perbelanjaan utiliti bagi mereka yang tinggal di flat satu dan dua bilik, serta tiga bulan perbelanjaan utiliti bagi mereka yang tinggal di flat tiga dan empat bilik,” kata Encik Wong.
Dalam pada itu, lebih banyak sokongan akan diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak untuk membiayai perbelanjaan isi rumah.
Setiap keluarga akan menerima Kredit LifeSG Anak sebanyak $500 untuk setiap anak warga Singapura berusia bawah 12 tahun pada 2025.
Keluarga yang mempunyai anak berumur di antara satu dengan 12 tahun dapat memanfaatkan Kredit LifeSG Anak pada Julai ini, dan anak yang dilahirkan pada 2025, boleh mendapat jumlah yang sama pada April 2026.
“Kegunaan Kredit LifeSG Anak ini sama seperti kredit LifeSG yang diagihkan kepada semua anggota Perkhidmatan Negara (NS) pada 2024,” tambah Encik Wong.
Ibu bapa boleh memanfaatkan kredit LifeSG Anak untuk mengurangkan perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, bil utiliti dan barangan farmasi.
Menerusi aplikasi LifeSG, kredit ini dapat digunakan untuk perbelanjaan menggunakan kaedah PayNow, UEN, QR atau NETS QR.
Setiap pelajar warga Singapura berusia 13 hingga 20 tahun juga akan menerima tambahan $500 ke dalam akaun Edusave atau Akaun Pendidikan Posmenengah mereka.
Anak-anak yang berumur antara 13 dengan 16 tahun, akan menerima tambahan Edusave manakala mereka yang berumur di antara 17 dengan 20 tahun, akan menerima tambahan pada Akaun Pendidikan Posmenengah pada Julai ini.
Tambahan ini boleh digunakan untuk membayar perbelanjaan yang diluluskan berkaitan pendidikan.
“Lebih banyak sokongan akan diberikan kepada individu dan keluarga yang menghadapi tekanan kewangan yang lebih besar,” terang Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg