Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayaran kod QR, pembelian dalam talian lebih mudah dengan PayNow yang bakal dipertingkat
Bayaran kod QR, pembelian dalam talian lebih mudah dengan PayNow yang bakal dipertingkat
Bayaran kod QR, pembelian dalam talian lebih mudah dengan PayNow yang bakal dipertingkat
Para pengguna boleh menjangkakan pembayaran kod QR yang lebih mudah serta proses pembayaran beli-belah dalam talian yang lebih lancar apabila penambahbaikan sistem pembayaran segera PayNow dilaksanakan secara berperingkat mulai 2027.
Pelancong yang melawat Singapura dan rakyat Singapura yang ke luar negara juga boleh menjangkakan lebih banyak pilihan pembayaran apabila rangkaian antara sistem pembayaran QR tempatan dengan serantau diperluas menerusi SGQR+ yang dipertingkat.
Cadangan penambahbaikan tersebut serta pelan hala tuju pelaksanaannya telah digariskan dalam laporan PayNow Generasi kedua Fasa dua yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Bank di Singapura (ABS) pada 18 November.
Fasa pertama telah meneliti bagaimana PayNow telah berkembang sejak pelancarannya pada 2017, dengan dapatan kajian dikeluarkan pada Jun.
Fasa kedua pula mengenal pasti tujuh penambahbaikan bagi menangani jurang yang dikenal pasti dalam semakan tersebut, yang akan dilaksanakan antara 2027 dengan 2028.
Menerusi SGQR+ yang dipertingkat, rakyat Singapura dan pelancong akan dapat membuat pembayaran menggunakan aplikasi pilihan mereka tanpa perlu menyemak skim QR yang diterima oleh peniaga.
Hal tersebut seiring dengan langkah Singapura dalam menghubungkan lebih banyak rangkaian QR utama serantau melalui SGQR+.
Ia juga akan membolehkan lebih ramai peniaga Singapura untuk menerima bayaran daripada pelancong menerusi rangkaian pembayaran asing yang lebih luas, di samping membolehkan rakyat Singapura membayar menggunakan aplikasi tempatan di lebih banyak negara.
Pembangunan suis (penghubung) SGQR+ yang akan menyediakan sambungan tambahan antara skim yang terlibat tanpa memerlukan peniaga atau penyedia pembayaran menggantikan pengaturan sedia ada mereka kini sedang giat dijalankan.
Pelancaran terhad pada 2027 akan menghubungkan kumpulan awal skim yang terangkum serta menguji aliran pembayaran secara langsung sebelum skopnya diperluas pada 2028.
Satu lagi penambahbaikan utama ialah pautan dalam (deep-linking).
Ciri yang sudahpun beroperasi bagi pembayaran Lazada melalui aplikasi OCBC itu membuka aplikasi pembayaran pilihan pembeli secara lancar apabila mereka memilih PayNow semasa membuat pembayaran di platform e-dagang.
Ia menghapuskan keperluan untuk menangkap layar atau memuat turun kod QR serta mencarinya semula di galeri telefon dalam aplikasi pembayaran.
Had PayNow yang lebih tinggi juga akan membolehkan rakyat Singapura membuat dan menerima bayaran pemerintah dalam jumlah yang lebih besar dengan pengesahan segera.
Penambahbaikan itu akan diperkenalkan pada akhir 2027 dengan sebuah agensi pemerintah, yang belum dinamakan, sebelum diperluas secara berperingkat kepada agensi lain mulai 2028.
Singapura kini menetapkan had sebanyak $200,000 bagi PayNow, yang membataskan penggunaannya bagi sesetengah pembayaran bernilai tinggi melebihi paras tersebut, seperti bayaran pendahuluan hartanah atau bayaran penuh bagi kereta.
Peraturan yang lebih jelas dan konsisten juga akan dirangka bagi menangani pertikaian pembayaran, bayaran balik dan penipuan yang mungkin timbul daripada transaksi PayNow individu kepada peniaga.