Kadar ERP naik $1 di 4 lokasi mulai 23 Mac
Langkah diambil selepas kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat di beberapa bahagian ekspreswe pada Jan
Pemandu boleh menjangkakan kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) di empat lokasi akan meningkat sebanyak $1 mulai 23 Mac, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan pada 12 Mac.
Berikut adalah lokasi yang terjejas:
1) Di tiga gantri di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) menghala ke bandar selepas Jurong Town Hall, pemandu akan dikenakan bayaran $4 antara 8.30 pagi dengan 9 pagi; $3 antara 9 pagi dengan 9.30 pagi; dan $2 antara 9.30 pagi dengan 10 pagi.
2) Di AYE menghala ke Tuas selepas North Buona Vista, pemandu akan dikenakan bayaran $3 antara 6.30 petang dengan 7 malam.
3) Di dua gantri di Ekspreswe Central (CTE) menghala utara selepas Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), pemandu akan dikenakan bayaran $4 antara 5.30 petang dengan 6 petang.
4) Di Ekspreswe Kallang-Paya Lebar (KPE) (East Coast Parkway) selepas Jejambat Defu, pemandu akan dikenakan bayaran $4 antara 7.30 pagi dengan 8 pagi.
Untuk lokasi yang mempunyai beberapa gantri, pemandu hanya akan dikenakan bayaran di satu gantri sahaja.
Menurut LTA, pihaknya memantau kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat di beberapa bahagian ekspreswe pada Januari lalu.
Kenaikan kadar ini dilakukan untuk mengurus dan mengurangkan kesesakan di lokasi berkenaan.
Kadar untuk slot masa dan gantri lain yang telah diumumkan sebelum ini akan kekal tidak berubah, dan pemandu digalakkan merancang perjalanan mereka serta menimbangkan laluan alternatif, tambah LTA.
LTA juga berkata ia sedang memantau rapi keadaan trafik di kawasan Orchard Road, di mana kelajuan kenderaan secara konsisten berada di bawah tahap optimum.
Kawasan itu tidak dikenakan bayaran ERP sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan pada April 2020 semasa pandemik Covid-19.

