Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Pembantu rumah jaga anak kecil perlu kebal campak mulai Sep

Langkah diambil bagi pertingkat daya tahan kesihatan awam, lindungi kanak-kanak kecil daripada komplikasi kesihatan
Jun 10, 2025 | 3:31 PM
Mulai 1 September, majikan mesti memastikan pembantu rumah mereka kebal terhadap penyakit campak jika isi rumah mereka mempunyai anak di bawah umur tujuh tahun yang belum disuntik vaksin itu sepenuhnya.
Mulai 1 September, majikan mesti memastikan pembantu rumah mereka kebal terhadap penyakit campak jika isi rumah mereka mempunyai anak di bawah umur tujuh tahun yang belum disuntik vaksin itu sepenuhnya. - Foto AFP

Mulai September, majikan pekerja pembantu rumah (MDW) mesti memastikan pembantu rumah mereka kebal daripada penyakit campak jika isi rumah mereka mempunyai anak di bawah umur tujuh tahun yang belum disuntik vaksin itu sepenuhnya.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata dalam satu kenyataan pada 10 Jun bahawa langkah ini akan meningkatkan daya tahan kesihatan awam dan melindungi kanak-kanak kecil yang tidak menerima suntikan dan berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi kesihatan yang serius daripada jangkitan campak.

Di bawah peraturan mulai 1 September melibatkan pengeluaran permit kerja untuk MDW baru atau pembaharuan untuk pembantu sedia ada, majikan yang mempunyai anak di bawah umur tujuh tahun dikehendaki mengisytiharkan jika pembantu mereka sudah diberi vaksin atau kebal terhadap campak.

Mereka juga mungkin perlu mengisytiharkan jika kanak-kanak dalam isi rumah telah diberi vaksin sepenuhnya, atau jika suntikan vaksinasi telah dijadualkan untuk pembantu jika beliau belum menerima suntikan vaksin berkenaan, tambah MOM.

Seorang pembantu tidak perlu diberi vaksin jika beliau sudah kebal terhadap campak, atau jika semua kanak-kanak di bawah umur tujuh tahun dalam isi rumah telah diberi vaksin sepenuhnya.

Kekebalan campak boleh diperolehi melalui jangkitan atau vaksinasi yang lalu.

Majikan boleh memberikan bukti MOM tentang perkara ini, seperti vaksinasi telah disempurnakan, keputusan ujian serologi atau pengesahan makmal jangkitan lalu.

Bagi divaksin sepenuhnya, dua dos vaksin campak, boleh didapatkan di klinik umum.

Kos dua dos adalah antara $80 dengan $140. Majikan perlu menanggung kos tersebut, kata MOM.

Pihak kementerian pula menggalakkan mereka yang sudah mempunyai pembantu rumah supaya menyemak semula status imuniti mereka sebelum memperbaharui permit kerja mereka.

Ia akan menjalankan pemeriksaan sampel dan mungkin meminta bukti dokumen tentang imuniti pembantu rumah.

Jika MDW dikehendaki mempunyai imuniti campak tetapi tidak kebal, keistimewaan pas kerja mereka boleh digantung sehingga bukti vaksinasi yang sah diberikan.

Campak adalah sejenis penyakit virus yang sangat berjangkit dan disebarkan melalui udara.

Walaupun liputan vaksinasi yang tinggi dan imuniti penduduk di Singapura, kes sekali sekala dan kelompok kecil campak masih dijangka dalam kalangan individu yang tidak kebal kerana sifat penyakit yang sangat mudah berjangkit.

Memandangkan kedudukan Singapura sebagai hab perjalanan utama, lonjakan kes campak di peringkat sejagat dan serantau terus menimbulkan risiko kesihatan awam, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai imuniti, kata MOM.

Keperluan baru itu bertujuan untuk meminimumkan risiko penularan campak kepada kanak-kanak yang terdedah dan tidak dilindungi sepenuhnya daripada penyakit itu.

Majikan juga amat digalakkan untuk memberi vaksin kepada pembantu mereka atau memastikan daya tahan mereka jika terdapat anggota isi rumah yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg