Semua bayi warga Singapura dilahirkan pada 2025 akan menerima Hadiah Bayi SG60, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, yang juga Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar.
Beliau berkata hadiah itu merangkumi 10 barangan seperti set permainan bayi, beg galas dan buku foto, bersama-sama surat tahniah daripada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Mengulas lebih lanjut semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) PMO di Parlimen pada 28 Februari, beliau menjelaskan set hadiah itu adalah bagi meraikan bayi yang lahir sempena ulang tahun Singapura ke-60.
Kesemua barangan itu terkandung dalam beg troli yang direka khas bagi SG60, yang juga boleh menjadi beg perjalanan bagi si bayi, tambahnya.
“(Set hadiah ini) adalah untuk memberi inspirasi kepada anak-anak mereka meneroka dunia mereka, dan menyokong ibu bapa dalam memupuk dan menjaga anak-anak mereka,” kata Cik Indranee.
Beliau berkata demikian sebagai respon kepada Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) mengenai butiran lanjut tentang Hadiah Bayi SG60.
Menurut Cik Indranee, Hadiah Bayi SG60 antara lain menunjukkan komitmen pemerintah “ke arah membina Singapura yang Lebih Mesra Keluarga”.
“Ia juga simbol harapan dan aspirasi bagi generasi masa hadapan kita,” katanya.
Hadiah Bayi SG60 membentuk sebahagian daripada Pakej SG60 – bagi mengiktiraf sumbangan semua rakyat dan berkongsi hasil kemajuan negara sempena ulang tahun Singapura yang ke-60 pada 2025 – yang pertama kali diumumkan Encik Wong pada 18 Februari semasa membentangkan Belanjawan 2025.
Dalam satu kenyataan berasingan oleh Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD) pada 28 Februari, ibu bapa perlu melengkapkan pendaftaran kelahiran bayi mereka yang lahir pada 2025 sebelum mendaftar untuk Hadiah Bayi SG60, yang dibuka dari 28 Februari hingga 28 Februari 2026, di laman web go.gov.sg/SG60BabyGift.
NPTD menambah ibu bapa yang membuat pendaftaran bagi set hadiah itu selewat-lewatnya pada 15 Mac boleh mengambil hadiah mereka di acara kemasyarakatan ‘Meraikan Keluarga Kita’ anjuran Persatuan Rakyat (PA) pada hujung minggu pada April dan Mei 2025.
Ibu bapa boleh menandakan sekiranya mereka ingin menghadiri acara sedemikian semasa pendaftaran di laman dan butiran pengambilan akan diberikan seterusnya, kata NPTD.
Bagi ibu bapa yang tidak dapat menghadiri acara kemasyarakatan atau membuat pendaftaran selepas 15 Mac, mereka akan menerima set hadiah melalui penghantaran ke rumah, mulai pertengahan Mei 2025.
Karya seni yang tertera pada barangan bagi Hadiah Bayi SG60 direka oleh pelajar Maktab Seni Lasalle, tambah NPTD.
Selain Hadiah Bayi SG60 sebagai sebahagian Pakej SG60, semua rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima Baucar SG60 sekali sahaja, antara lain.
Mereka yang berusia 21 hingga 59 tahun pada 2025 akan menerima Baucar SG60 bernilai $600.
Mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas akan mendapat tambahan $200, menjadikannya $800 secara keseluruhan.
Sekitar tiga juta rakyat Singapura dewasa akan meraih manfaat daripada Baucar SG60. Penggunaannya serupa dengan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg