Pasangan yang mempunyai bayi pada 2025 boleh menantikan hadiah istimewa untuk anak kecil mereka, sempena meraikan 60 tahun kemerdekaan Singapura.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, memberi bayangan tentang hadiah itu dalam hantaran Facebook pada 5 November tetapi tidak memberikan butiran lanjut, lapor The Straits Times.
Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), berkata Singapura akan meraikan SG60 pada 2025 dan akan menyambut nilai bersama sebagai warga Singapura, termasuk “rasa kekeluargaan” walaupun berlainan kaum, agama dan latar belakang.
“Untuk Singapura kekal kuat dan semakin maju pada tahun-tahun mendatang, kami memerlukan lebih ramai keluarga Singapura dan, sudah tentu, lebih ramai bayi Singapura untuk melakarkan kisah Singapura kami yang seterusnya,” katanya.
“Sebagai isyarat tentang kepentingan perkahwinan dan keibubapaan untuk masa depan negara, menjelang ulang tahun ke-60, kami merancang hadiah istimewa untuk bayi SG60.”
Butiran lanjut akan diumumkan kemudian, katanya.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 4 November, melancarkan sambutan SG60 semasa satu acara Persatuan Rakyat, di mana beliau berharap “SG60 akan menjadi masa untuk kita semua memperbarui komitmen kepada Singapura dan membawa negara kita ke arah yang lebih baik dan masa depan bersama yang lebih cerah”.
Dengan tema ‘Membina Singapura Kita Bersama’, pelbagai program akan diadakan sepanjang 2025, seperti Bulan Keharmonian Kaum dan Agama, Pavilion Singapura di Expo 2025 Osaka dan Project Citizens – The First Million, satu daya utama Taman Tugu Pengasas untuk mengumpul kisah generasi pengasas Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg