Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: SG60 detik S’pura rai usaha generasi sebelum ini

Pada 2025, 10 kelab masyarakat bakal bangun ruang inovasi; ‘PA dan CCMC anjur hackathon’ hurai isu inovasi
Nov 4, 2024 | 9:00 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap dalam majlis ulang tahun ke-60 Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) di One Punggol pada 4 November.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berucap dalam majlis ulang tahun ke-60 Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) di One Punggol pada 4 November. - Foto ZAOBAO

Sudah tiba masanya bagi rakyat Singapura meraikan usaha dan sumbangan generasi sebelum ini, mendukung nilai bersama dan menyumbang ke arah membina masa hadapan bersama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ini di kala Singapura bakal meraikan pencapaian penting pada 2025 untuk menyambut kemerdekaan negara ke-60 atau SG60.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian semasa berucap kepada sekitar 700 hadirin dalam majlis ulang tahun ke-60 Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) di One Punggol pada 4 November.

Majlis itu, antara lain, turut dihadiri pemimpin kanan termasuk Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Encik Wong berkongsi bahawa sempena meraikan SG60, warga Singapura boleh menjangkakan lebih banyak wadah untuk berhubung dengan warga Singapura dari segenap lapisan masyarakat, menunjukkan sokongan antara satu sama lain dan menyumbang secara aktif kepada masyarakat.

“SG60 merupakan peristiwa penting bagi kita. Kami sedang melakar beberapa siri program dan acara untuk meraikan peristiwa penting ini.

“Tetapi lebih daripada itu… ia seharusnya menjadi peluang bagi kita mencerminkan nilai bersama yang dikongsi, erti di sebalik warga Singapura dan nilai yang kita boleh perteguhkan.

“Ia seharusnya peluang bagi kita memperbaharui komitmen kepada Singapura (dan) membina masa hadapan kita secara bersama,” ujar beliau.

Dalam satu kenyataan pada 4 November, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), berkata tema SG60 adalah ‘Membina Singapura Kita Bersama-sama’.

Ia mengesahkan komitmen warga Singapura ke arah “kompak sosial yang diperbaharui” selaras dengan gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, tambah MCCY.

Menurut kenyataan itu lagi, SG60 akan berpaksikan tiga teras iaitu ‘Perhubungan’, ‘Sumbangan’ dan ‘Menunjukkan Ihsan’.

“SG60 bermatlamat untuk meraikan perjalanan dalam membina negara dan mencermin nilai bersama kita iaitu semangat kepelbagaian budaya, keberanian, ketahanan dan keterbukaan yang telah menyatukan kita dan membolehkan kita berjaya menentang apa sahaja cabaran sepanjang 60 tahun lalu,” jelas MCCY.

Acara pertama sempena ambang SG60 adalah program meraikan Tahun Baru dan SG60 sekali gus, ONE Countdown 2025 yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025.

Pelbagai program penglibatan akan turut dianjurkan bagi memahami aspirasi pelbagai lapisan masyarakat – khususnya belia dengan program Penglibatan Belia SG60 anjuran Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan Persatuan Rakyat (PA).

Menurut MCCY, program tersebut akan berlangsung sepanjang 2025 untuk memahami “aspirasi belia untuk masa hadapan” dan cara mereka dapat menyumbang kepada masa hadapan Singapura yang lebih baik.

Program dan acara sedemikian memerlukan keterlibatan pelbagai agensi dan badan, yang ujar Encik Wong, akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi utama SG60.

Beliau juga memberi penekanan terhadap betapa bertuah Singapura kerana tidak mempunyai unsur konflik dan keganasan, seperti yang melanda beberapa negara di rantau dunia.

“Adakah semuanya sempurna (di sini)? Semestinya tidak.

“Tetapi apa yang penting adalah kita boleh terus membuat lebih baik dan (mempertingkatkan diri),” kata beliau, membuat gesaan kepada anggota CCMC dan masyarakat secara umum.

Selain itu, Encik Wong turut mengumumkan pembangunan ruang inovasi masyarakat bagi 10 kelab masyarakat sebagai sebahagian daripada program perintis.

Ini di samping penganjuran acara pengekodan sosial, Hackathon Inovasi Masyarakat, oleh PA dan CCMC bagi menyatukan penduduk, sukarelawan, pakar teknologi dan lain-lain dalam mengenal pasti dan menganalisis isu tempatan dan membangun penyelesaian inovatif dan praktikal, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg