Bazaar Raya Geylang Serai kekalkan nilai budaya dan tradisi
Bazaar Raya Geylang Serai kekalkan nilai budaya dan tradisi
Bazar di Wisma Geylang Serai imbangi gerai juadah tradisional, produk warisan dan ciri budaya, kekalkan nilai dan semangat Ramadan
Dahulu, beliau sering membantu ibu bapanya berniaga di pasar.
Kini, Encik Ismul Azim, 28 tahun, mengendalikan Satay Ummi, perniagaan sate goreng yang tidak asing lagi.
Sepanjang Ramadan ini, Satay Ummi ialah antara perniagaan makanan tradisi yang menyertai Bazaar Raya Geylang Serai di Wisma Geylang Serai (WGS).
“Matlamat utama kami ialah mengekalkan makanan kebudayaan kami kerana ia semakin jarang ditemui sekarang,” ujar Encik Ismul.
Beliau, yang juga seorang teknisyen sambilan, turut mengubah suai gerainya ala rumah kampung dan hanya memainkan lagu Hari Raya serta irama Melayu di gerainya demi menghayati suasana tradisional dan kemelayuan.
“Pada saya, memang penting untuk mengekalkan makanan kebudayaan kita. Ramai orang tahu Geylang Serai ialah tempat orang Melayu datang. Semua orang tahu makanan tradisional Melayu seperti sate, dendeng, apam balik dan sebagainya ada di Geylang Serai,” tambah Encik Ismul mengenai kepentingan mengekalkan makanan tradisional di Bazaar Raya Geylang Serai.
Bazaar Raya Geylang Serai dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai.
Dibuka secara rasmi pada 2017, Wisma Geylang Serai ialah hab masyarakat dan budaya di kawasan Geylang Serai yang berfungsi sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Di samping itu, ia menganjurkan program yang menyokong pelibatan sosial dan dialog.
Pada 2026, Baazar Raya Geylang Serai dibuka selama 36 hari dengan sekurang-sekurangnya 500 gerai dan bertema, ‘Kita Raya Bersama’.
Pengurus Besar Wisma Geylang Serai, Encik Mokhtar Jaffar, berkata:
“Antara matlamat kami ialah menyatukan semangat keusahawanan generasi muda, sambil mengekalkan nilai budaya dan tradisi yang harus dirasai, bukan sekadar dipelihara.
“Sempena Ramadan dan Hari Raya, banyak juadah dan kelengkapan Raya tradisional dan moden boleh didapati di bazar ini.”
Hasil kepelbagaian yang ditawarkan, Bazaar Raya Geylang Serai menarik pelanggan daripada pelbagai generasi.
Menurut Encik Ismul, pada siang hari, kebanyakan pelanggannya di bazar itu terdiri daripada generasi yang lebih berusia.
Namun, pelanggan generasi muda pula mula membeli menjelang waktu buka puasa.
Walaupun beliau sendiri berusaha memikat pelanggan generasi muda melalui kandungan media sosialnya, Encik Ismul akur adanya makanan ‘fusion’ di gerai-gerai lain turut membantu menarik pelanggan generasi muda.
Satu lagi gerai makanan tradisi yang menyertai bazar itu, buat kali pertama, ialah gerai putu bambu dan apam balik ZR SG.
Encik Zabit Abdul Ghani, 71 tahun, dan isterinya mengendalikan perniagaan putu bambu itu sejak 1999, dan beliau bersyukur kini anak lelakinya mahu meneruskan legasi itu.
Menurutnya, putu bambu dan apam balik ialah makanan tradisional yang lebih disukai generasi lama.
Untuk memikat pelanggan muda juga di Bazaar Raya Geylang Serai, anaknya mempelbagaikan inti apam balik jualan mereka dengan menggunakan keju Oreo, Biscoff serta coklat, yang menepati cita rasa anak muda sekarang.
Encik Mokhtar berkata: “Kami berusaha mengimbangkan antara gerai juadah tradisional, produk warisan dengan elemen budaya yang telah lama menjadi sebahagian identiti kawasan ini.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan para peniaga dan rakan-rakan masyarakat bagi mengekalkan suasana tertib, saling menghormati dan bertepatan dengan semangat Ramadan – yang menekankan nilai kebersamaan, kesederhanaan dan pengukuhan hubungan kemasyarakatan.”
Bazaar Raya Geylang Serai di Wisma Geylang Serai dibuka dari 10 pagi hingga 11.59 malam setiap hari. Ia akan ditutup pada 6 pagi, 21 Mac.
Rencana ini dibawakan oleh Wisma Geylang Serai (WGS)

