Aneka program lengkapi Bazar Raya Geylang Serai
Turut kerjasama dengan rakan korporat galak penggunaan digital dalam kalangan peniaga, pelanggan
Buat kali pertama, Bazar Raya Geylang Serai akan bekerjasama dengan rakan korporat untuk menggalakkan penggunaan digital dan meluaskan peluang bagi penjual serta pelanggan setempat.
Melalui kerjasama dengan Grab Dine Out, pengunjung ke Bazar Geylang Serai boleh menikmati diskaun 5 peratus apabila membuat pembayaran melalui Grab Dine Out yang boleh didapati dalam aplikasi Grab.
Mereka yang membuat pembayaran sedemikian di tiga gerai berasingan juga boleh menerima baucar Grab Dine Out bernilai $3, yang boleh digunakan di lebih 1,000 cawangan di seluruh negara, termasuk Bazar Raya Geylang Serai.
Selain itu, penjual di bazar tersebut akan berpeluang untuk menyertai Shopee sebagai peniaga rasmi sambil meneruskan operasi di lokasi mereka, dengan menyertai sesi beli-belah penstriman langsung eksklusif yang diadakan setiap hari, dari 8 malam hingga tengah malam.
Pendekatan inovatif ini membolehkan peniaga menjangkau pelanggan melebihi bazar fizikal, membolehkan mereka lebih dikenali dan meneroka aliran pendapatan baru, menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Rakyat (PA) dan Wisma Geylang Serai (WGS).
Bazar Raya Geylang Serai dilancarkan pada 14 Februari, dengan menawarkan lebih 500 gerai.
Bazar tersebut dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 11.59 malam, dengan waktu pembukaan dilanjutkan hingga 6 pagi pada Hari Raya Aidilfitri, yang dijangka jatuh pada 21 Mac.
Bertemakan #KitaRayaBersama, sambutan Ramadan dan Hari Raya anjuran WGS pada 2026 mengundang orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat untuk meraikan bersama musim perayaan ini.
Ditemui semasa acara pelancaran Penyalaan Lampu Hari Raya 2026 pada 14 Februari, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggalakkan orang ramai untuk mengeratkan hubungan sambil meraikan tradisi bersama sebagai sebuah masyarakat yang kukuh.
“Ramadan dan Hari Raya ini, kita diingatkan tentang nilai-nilai kesyukuran atas setiap nikmat, kesopanan dalam tutur kata dan perbuatan serta santun sesama insan.
“Melalui tema #KitaRayaBersama, WGS terus menyediakan ruang yang mesra di mana nilai-nilai ini dikongsi secara terbuka, membawa orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan tradisi kita dan mengukuhkan ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat,” ujarnya.
Menurut WGS, mereka akan turut mengadakan program Santai Sejenak @ WGS iaitu satu siri persembahan yang bermula dari 15 Februari hingga 20 Mac.
Program tersebut menampilkan bakat setempat dan serantau serta inisiatif yang dipimpin oleh masyarakat.
Program tersebut direka antara lain untuk memupuk kebersamaan sambil membolehkan pengunjung menikmati suasana perayaan.
Selain itu, WGS juga akan menganjurkan pameran bergerak oleh Taman Warisan Melayu dari 9 hingga 31 Mac di tingkat 1 WGS yang memaparkan bagaimana Ramadan dan Hari Raya disambut di Singapura.
Disampaikan dalam bahasa Inggeris dan Melayu, pameran itu menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih mendalam warisan budaya Melayu/Islam Singapura secara bermakna.
“
“Melalui tema #KitaRayaBersama, WGS terus menyediakan ruang yang mesra di mana nilai-nilai ini dikongsi secara terbuka, membawa orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama meraikan tradisi kita dan mengukuhkan ikatan yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat.”
