Walaupun belum ramai pengunjung berbondong-bondong mengunjungi Bazar Raya Geylang Serai yang sudah mula beroperasi pada 26 Februari, suasana hari pertama pembukaan bazar berkenaan tetap tidak sepi dari kemeriahan.
Ketika Berita Harian (BH) mengunjungi bazar tersebut sekitar 5 petang, kelihatan beberapa gerai makanan sudah pun mempunyai pelanggan yang beratur untuk mendapatkan sajian kegemaran mereka seperti kebab, wafel dan kaserol (masakan daging cencang atau potong dadu yang dicampur dengan sayuran dan dimasak di ketuhar).
Udara yang dipenuhi dengan aroma harum masakan tradisional Melayu, turut mengundang ramai untuk mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan sepanjang Engku Aman Road.
Walaupun begitu, jalanan ini masih tetap sepi daripada kebiasaannya. Sekitar 30 gerai masih kelihatan kosong.
Namun, apakah keadaan yang lengang ini membimbangkan?
Pemilik kedai peralatan rumah, First Price, Encik Liao Hock Lam, menjelaskan ini adalah perkara biasa pada hari-hari awal bazar diadakan.
Beliau yang telah berniaga di Bazar Raya Geylang Serai selama 30 tahun, kecuali antara 2020 hingga 2022 tatkala wabak Covid-19 melanda, menjelaskan:
“Mungkin kerana hari ini Rabu. Orang sibuk bekerja. Jadi, tidak ramai pengunjung yang turun. Hari ini sahaja, pendapatan saya sekitar $500. Ia 25 peratus daripada apa yang saya boleh dapat secara purata pada hari-hari sibuk.”
Encik Liao, bagaimanapun, melahirkan harapan jumlah pengunjung akan bertambah apabila hujung minggu tiba dan Ramadan bermula pada 2 Mac.
“Apabila hujung minggu tiba, saya yakin ramai akan mula membeli produk (lampu lap lip) kami untuk menghias rumah mereka bagi persiapan sambutan Hari Raya,” tambahnya.
Pandangan yang sama turut dikongsi Cik Eza Ali, 24 tahun, yang juga berharap bilangan pengunjung akan meningkat apabila Ramadan bermula pada 1 Mac ini.
“Pada hari pertama gerai dibuka, pengunjung mula datang sekitar 3 petang. Kebanyakan daripada mereka adalah pelajar sekolah di kawasan ini,” kata Cik Eza, yang telah berniaga di Bazar Geylang Serai selama dua tahun.
Bazar Raya Geylang Serai menawarkan sekitar 500 gerai dan beroperasi selama 33 hari, dari 26 Februari hingga 30 Mac.
Ia dibuka setiap hari, dari 10 pagi hingga 11.59 malam, dan akan dilanjutkan hingga 6 pagi pada 31 Mac bagi memberikan lebih banyak masa untuk pengunjung membuat persiapan terakhir menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut WGS, antara keunikan bazar tahun ini termasuk pentas “360 darjah” yang menawarkan pengalaman dan persembahan lebih menyeronokkan.
Bazar tersebut turut menyediakan empat zon makanan dan minuman (F&B), yang akan membantu menguruskan aliran pengunjung dengan lebih berkesan sambil memberi mereka peluang untuk meneroka kawasan lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg