Selama sebulan sepanjang Ramadan, Encik Muhammad Ismail Yunus, memutuskan untuk tidak memandu kenderaan sewa privet (PHV).
Sebaliknya, tumpuannya akan dijuruskan pada gerai minuman, GoBalang SG, yang dibuka di Bazar Raya Geylang Serai, buat julung-julung kalinya untuk meraih pendapatan musiman.
Encik Muhammad Ismail, 37 tahun, adalah antara peniaga yang ditemui Berita Harian (BH) pada 25 Februari, dalam keadaan sibuk dan bersiap siaga untuk memulakan perniagaan.
Menurutnya, langkah berniaga secara musiman dibuat sebagai mencari pendapatan sampingan.
Pada masa yang sama, beliau berharap dapat memperkenalkan jenama minumannya kepada lebih ramai pelanggan.
“Saya perlu mencari sumber pendapatan yang berbeza dan memutuskan untuk membuka perniagaan menjual minuman yang biasa dilihat di bazar Malaysia.
“Saya juga berharap dengan pengalaman ini, saya dapat memperkukuh jenama minuman yang dijual agar saya dapat memancing pelanggan setia untuk terus membeli minuman saya.
“Semasa kecil, Bazar Raya Geylang Serai adalah tempat utama yang dikunjungi setiap tahun pada bulan puasa.
“Bermacam pelanggan daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang datang untuk berbelanja di sini.
“Oleh itu, saya beranikan diri melakukan sesuatu yang berbeza dengan menyewa gerai sendiri,” katanya dengan penuh semangat.
Bazar Raya Geylang Serai yang dinanti-nanti ramai dan mula beroperasi pada 26 Februari menjadi tumpuan mereka yang ingin menjamu selera sewaktu berbuka mahupun ingin memborong pakaian dan keperluan rumah.
Dalam kunjungan BH ke bazar tersebut seiringan dengan perasmian hiasan lampu Hari Raya pada 25 Februari, dilihat sesetengah pemilik gerai gigih mengatur peralatan memasak dan meja.
Ada juga yang menghias gerai mereka serba indah bagi memikat pelanggan.
Dengan suasana yang penuh dengan kegiatan, peniaga bekerja keras dalam memastikan segala persiapan selesai sebelum bermulanya jualan.
Seorang lagi peniaga muda, Encik Kai Emilio, 26 tahun, pemilik Flamboyant Goons, mengusahakan jualan beberapa jenama daripada makanan hingga pakaian.
Pada 2024, beliau berkongsi gerai makanan dan minuman (F&B), Supergilerr.
Namun, kali ini beliau memutuskan memperluas perniagaan dan menyewa tujuh ruang gerai di Bazar Raya Geylang Serai.
Ketika ditemui di salah satu gerai yang disewa di sekitar kawasan Engku Aman, Encik Kai berkata:
“Kami memilih lokasi ini kerana ia terletak berhampiran tempat letak kereta yang mudah dilihat dan senang dikunjungi orang ramai.
“Walaupun baru sahaja memulakan perniagaan pada 2024, sokongan yang diterima daripada pelanggan setia adalah salah satu faktor utama yang mendorong saya mengembangkan perniagaan.
“Saya yakin walaupun sewa reruai agak tinggi, kita dapat memperolehi pulangan yang baik kerana lokasi yang strategik dan sokongan pelanggan yang terus meningkat,” katanya lagi.
Bazar Raya Geylang Serai akan beroperasi dari 26 Februari hingga 30 Mac, dari 10 pagi hingga 11.59 malam dan dilanjutkan hingga 6 pagi pada malam Raya, yang dijadualkan pada 31 Mac.
Pelbagai kegiatan menarik dijangka akan diadakan sepanjang tempoh ini, dengan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangka datang untuk merasakan pengalaman membeli-belah yang unik di Geylang Serai.
Bazar kali ini juga akan memperkenalkan empat zon F&B, yang akan membantu menguruskan aliran pengunjung dengan lebih berkesan.
Ini membolehkan pengunjung meneroka bazar dengan tawaran menarik secara selesa di samping menikmati pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan.
Harga sewa reruai paling tinggi adalah $15,000.
Pada 2024, WGS telah menetapkan had sewa maksimum sebanyak $15,000 bagi setiap gerai untuk Bazar Raya Geylang Serai, berikutan maklum balas dan kebimbangan orang ramai, khususnya peniaga, mengenai kos sewa yang semakin meningkat.
Menurut dokumen yang dikongsi kepada BH, sewa bagi gerai runcit di bazar pada 2025 adalah antara $3,000 dengan $13,000, bergantung pada lokasi gerai.
Bagi gerai F&B, harga sewa paling rendah adalah $10,000 dan yang paling tinggi adalah $15,000, juga bergantung pada lokasi gerai.
Harga ini tidak termasuk kos lain seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta kos elektrik dan bekalan air.
Jika semua kos ini diambil kira, harga sewa bagi gerai boleh mencecah sehingga sekitar $20,000, menjadikannya satu pelaburan yang besar bagi peniaga.
Meskipun kos sewa yang tinggi, peniaga tetap melihat peluang untuk memperoleh keuntungan yang setimpal dengan usaha dan pelaburan yang mereka lakukan.
Dengan populariti Bazar Raya Geylang Serai yang sentiasa mendapat sambutan hangat, mereka percaya perniagaan mereka akan berkembang pesat sepanjang Ramadan ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg