BazaRia Marsiling dilancar, pupuk semangat ‘kita dahulu’
BazaRia Marsiling dilancar, pupuk semangat ‘kita dahulu’
Inisiatif Infaq Kasih kumpul baju Raya bagi golongan memerlukan
Suasana Ramadan semakin rancak dengan bazar kian mula dibuka di serata Singapura.
Selain di Geylang Serai dan Kampong Gelam, orang ramai kini boleh membeli pelbagai sajian berbuka puasa dan barangan keperluan menjelang Hari Raya di satu lagi bazar yang dilancarkan pada 15 Februari.
Dinamakan BazaRia Marsiling, bazar anjuran Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling itu terletak di padang terbuka sebelah stesen MRT Woodlands dan akan berlangsung hingga 14 Mac.
Bazar tersebut menawarkan 87 gerai makanan yang halal atau perniagaan milik Muslim serta 50 gerai runcit yang menjual barangan keperluan Hari Raya seperti pakaian tradisional, kuih-muih dan aksesori.
Semasa berucap di majlis pelancaran bazar itu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, berkata BazaRia Marsiling bukan sekadar bazar.
Bahkan tambahnya, ia juga tempat jiran, sahabat dan keluarga bertemu serta tempat masyarakat berbuka puasa bersama.
Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah seorang lagi Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh.
Inisiatif Infaq Kasih yang dimulakan pada 2025 akan turut diadakan sempena Ramadan pada 2026.
Di bawah usaha itu, sebanyak 2,000 pasang baju kurung terpakai berjaya diagihkan pada 2025.
Menurut kenyataan Kelab Masyarakat dan Pejabat Kawasan Undi Marsiling, kali ini, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 200 keluarga.
Menarik perhatian usaha itu, Encik Zaqy berkata:
“Inilah semangat Ramadan dan inilah semangat masyarakat kita. Kita percaya kepada masyarakat ‘kita dahulu’, bukan ‘saya dahulu’ atau ‘kamu dahulu’.
“Di Marsiling, kita bukan sahaja datang membeli makanan. Kita datang melakukan kebaikan bersama.”
Mantan Pengerusi M³ Marsiling-Yew Tee yang juga seorang mantan guru, Cik Rahidah Mohd Noor, 60 tahun, memulakan inisiatif Infaq Kasih pada 2025 selepas menyedari ada dalam kalangan pelajarnya yang tidak mempunyai baju Hari Raya yang sesuai dan dalam keadaan baik untuk dipakai.
Beliau turut mengajak rakan-rakannya, yang kemudian turut menggerakkan kenalan masing-masing dan usaha mengumpul baju Raya terpakai itu akhirnya berkembang menjadi inisiatif Infaq Kasih.
“Apabila saya melihat jumlah pakaian yang berjaya dikumpulkan, saya terharu kerana terlalu banyak baju yang masih dalam keadaan baik dan pastinya boleh dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan,” ujar Cik Rahidah.
Selain berbelanja juadah berbuka puasa dan beli-belah, pengunjung juga boleh menikmati persembahan pada hujung minggu.
Antara barisan artis yang akan ditampilkan termasuk Naqiu, Khai Bahar dan Thalita dari Malaysia.
Orang ramai juga boleh berbuka puasa dan menunaikan solat di bazar itu, dengan ruang khusus disediakan.
Majlis pelancaran BazaRia Marsiling pada 15 Februari turut diserikan dengan persembahan oleh Hady Mirza dan Iskandar Ismail, serta persembahan kumpulan seni dan budaya Melayu setempat.

