Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokoh gerakan ‘hijau dan bersih’ S’pura Lee Ek Tieng dalam kenangan

Peneraju pembangunan AirBaru diingati kerana jasa bentuk sistem sanitasi awam bertaraf dunia
Apr 10, 2025 | 4:23 PM
Tokoh perintis perkhidmatan awam, Encik Lee Ek Tieng, yang banyak berjasa dalam mengetuai beberapa projek prasarana penting di Singapura, termasuk menerajui projek AirBaru, meninggal dunia pada 6 April, pada usia 91 tahun. 
Tokoh perintis perkhidmatan awam, Encik Lee Ek Tieng, yang banyak berjasa dalam mengetuai beberapa projek prasarana penting di Singapura, termasuk menerajui projek AirBaru, meninggal dunia pada 6 April, pada usia 91 tahun.  - Foto ST

Dari mengubah Sungai Singapura yang tercemar dengan kumbahan menjadi tempat pelancongan ikonik, hingga menerajui pembangunan AirBaru, mendiang Lee Ek Tieng merupakan seorang pegawai perkhidmatan awam perintis yang memainkan peranan penting dalam membentuk sistem kebersihan dan sanitasi awam bertaraf dunia yang dinikmati Singapura pada hari ini.

Encik Lee meninggal dunia di usia 91 tahun pada 6 April, meninggalkan dua anak lelaki dan lima cucu.

Menerima pendidikan dan latihan sebagai seorang jurutera, Encik Lee berjaya membina kerjaya yang cemerlang dalam perkhidmatan awam dan pentadbiran, termasuk berkhidmat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Sekitaran, agensi air negara PUB dan ketua Perkhidmatan Awam Singapura.

Beliau bersara sebagai pengarah urusan syarikat pelaburan milik negara, Perbadanan Pelaburan Pemerintah Singapura (GIC), di usia 73 tahun pada 2007 dan sebagai pengerusi lembaga PUB pada 2001, lapor The Straits Times (ST).

Dalam satu hantaran di Facebook pada 9 April, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata: “Encik Lee memainkan peranan penting dalam membina Singapura yang bersih dan hijau.

“Pada awal tahun kemerdekaan kita, beliau menyelia projek prasarana (negara) yang penting, termasuk sistem pembetungan seluruh pulau dan mengubah laluan air kita.”

Sistem Pembetungan Pusat

Pada 1972, Encik Lee mengetuai Kementerian Sekitaran yang baru ditubuhkan untuk memodenkan sistem sanitasi Singapura melalui Pelan Induk Pembetungan yang beliau usulkan pada 1960-an, sejurus selepas beliau memasuki perkhidmatan awam sebagai lulusan Universiti Malaya pada 1958.

Stesen pam dibina di seluruh pulau untuk mengalihkan kumbahan ke loji rawatan pusat di Alexandra Road, menggantikan pengumpulan bahan kotoran secara manual menjelang 1987.

Menjelang 1992, sebanyak 136 stesen pam seluruh pulau dan rangkaian paip pembetungan sepanjang 2,340 kilometer telah dibina dan menjelang 1997 pula, sistem sanitasi moden telah tersedia di seluruh negara.

Pembakaran Mayat, Kolumbarium

Dalam Pelan Induk 1965, pemerintah Singapura menganggap semua tanah perkuburan utama negara sebagai tanah yang ‘boleh dibangunkan”.

Memandangkan ruang tanah di Singapura terhad, ia perlu dituntut semula untuk pembangunan negara.

Pada 1973, Encik Lee, yang ketika itu Setiausaha Tetap Kementerian Sekitaran, mula menjalankan kerja penutupan sebahagian daripada 213 tanah perkuburan secara berperingkat, menurut buku Lee Ek Tieng: The Green General Of Lee Kuan Yew, yang diterbitkan pada 2025.

Langkah itu dilakukan untuk memberi laluan kepada pembangunan semula tanah itu menjadi kawasan perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Pemerintah ketika itu turut menggalakkan pembakaran mayat sebagai gantian kepada pengebumian, kerana ia menggunakan kurang tanah dan lebih murah.

Ketika itu, amalan pembakaran mayat bukan sesuatu yang biasa di Singapura.

Buku itu mencatatkan: “Lee membimbing rakyat Singapura, terutamanya masyarakat Cina, ke arah pembakaran mayat demi kebaikan Singapura.

Namun, beliau juga mempertimbangkan (keperluan) masyarakat lain di negara ini yang agama mereka melarang pembakaran mayat – termasuk Islam, Yahudi dan Parsi.”

Justeru, Encik Lee dan pasukannya memperuntukkan sebuah tapak di Choa Chu Kang untuk pengebumian mayat bagi kumpulan masyarakat itu.

Menyedari permintaan pembakaran mayat yang semakin meningkat, Encik Lee juga menyelia projek peluasan krematorium Mount Vernon pada 1978, dengan menambah dua dewan pembakaran mayat dan 15 blok kolumbarium.

Pembersihan Sungai Singapura

Pada 1970, Encik Lee dilantik sebagai Ketua Unit Antipencemaran di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menangani pencemaran udara yang berpunca daripada asap kilang dan kenderaan.

Pada 1977, unit tersebut mengalihkan tumpuan mereka kepada masalah pencemaran air, terutamanya air di Sungai Singapura dan Kallang Basin yang teruk tercemar dengan sisa dan buangan oleh peniaga, penjaja, penduduk setinggan dan industri perkapalan.

Kedua-dua kawasan ini sahaja merangkumi kira-kira 30 peratus daripada kawasan tanah Singapura ketika itu.

Dari 1977 hingga 1987, Encik Lee mengetuai projek bernilai $300 juta yang melibatkan pelbagai agensi untuk membersihkan sungai tersebut, termasuk memindahkan penduduk setinggan dan perniagaan, serta menawarkan pampasan dan tempat tinggal alternatif buat mereka.

Kerja pembersihan itu berjaya mengeluarkan 80 bot, beratus tan sampah dan menggali hingga dasar sungai untuk menghapuskan bahan pencemar, sekali gus mengubah laluan air tersebut.

AirBaru dan sumber air negara

Encik Lee memainkan peranan penting dalam tiga daripada ‘empat sumber air negara’, iaitu tadahan tempatan, AirBaru, dan penyahgaraman air.

Pada 1972, bersama jurutera, Encik Tan Ghee Paw, Encik Lee mencadangkan pemulihan dan penyahgaraman air sebagai sumber alternatif dalam Pelan Induk Air Singapura yang pertama.

Sebuah loji eksperimen untuk penapisan air dibina pada 1974, namun ditutup setahun kemudian, kerana teknologi yang digunakan mahal dan tidak kukuh. 

Pada 1998, selepas menambah jumlah kolam air dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, Encik Lee memulakan semula projek ini.

Dua jurutera dihantar ke Amerika Syarikat untuk mempelajari teknologi membran dalam penapisan air boleh diminum dan pada 2000, sebuah loji ujian yang mampu menghasilkan 10,000 meter padu air yang ditapis telah dibangunkan.

Dikenali sebagai AirBaru, strategi ini memperkukuh keselamatan air negara dan kini membekalkan 40 peratus daripada keperluan air Singapura, dengan sasaran mencapai 55 peratus menjelang 2060.

Dalam satu hantaran penghormatan kepada Encik Lee pada 9 April, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata: “Beliau mempelopori pembangunan AirBaru untuk menapis semula air dan menyokong keperluan air yang semakin meningkat.

“Malah, beliau orang yang mencipta nama ikonik tersebut.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg