Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lubang benam di Tg Katong Rd: Pekerja guna tali nilon untuk selamatkan pemandu

Jul 27, 2025 | 4:49 PM
Lubang benam,  Tg Katong Rd, selamatkan pemandu
Penyelia tapak binaan, Encik Pitchai Udaiyappan Subbiah, memberi arahan kepada tiga pekerja lain untuk melontarkan tali nilon kepada pemandu wanita itu supaya mereka dapat menariknya keluar. - Foto ST

Penyelia tapak binaan, Encik Pitchai Udaiyappan Subbiah, bersama rakan sekerjanya sedang berada di tapak kerja agensi air negara PUB yang berhampiran kondominium One Amber di Marine Parade apabila mereka terdengar bunyi yang kuat pada petang 26 Julai.

Mereka segera keluar dari tapak kerja dan melihat sebuah lubang benam di tengah Tanjong Katong South Road serta sebuah kereta hitam terjatuh ke dalamnya.

Yang mengejutkan, beliau ternampak seorang wanita keluar dari kereta tersebut.

“Ada sebuah kereta, dan seorang wanita berada di dalamnya. Saya fikir, ‘Ada seseorang jatuh di dalam, saya mahu tolong,’” kata Encik Subbiah yang menceritakan detik-detik usaha menyelamat itu kepada The Straits Times (ST) dalam wawancara pada 27 Julai berhampiran lokasi kejadian.

Beliau memberi arahan kepada tiga pekerja lain untuk melontarkan tali nilon kepada wanita itu supaya mereka dapat menariknya keluar.

Keseluruhan usaha menyelamat mengambil masa sekitar tiga hingga lima minit, kata Encik Subbiah, 46 tahun, yang bekerja dengan Ohin Construction, syarikat pembinaan yang sedang menjalankan projek pembetungan di kawasan itu.

“Salah seorang pekerja saya mahu turun untuk membantu, tetapi saya kata dia tidak akan dapat naik semula. Jadi saya suruh mereka lemparkan tali terlebih dahulu,” katanya.

Menurut PUB, lubang benam yang terbentuk sekitar 5.50 petang pada 26 Julai itu telah menjejas dua lorong jalan yang bersebelahan dengan tapak kerja agensi tersebut.

Penduduk sebelum itu berkata terdapat paip air pecah di kawasan berkenaan, pada malam sebelum lubang benam itu muncul.

Lubang benam tersebut kemudian dipenuhi air, tetapi ketika pekerja menyelamatkan pemandu tersebut, lubang itu dalam keadaan kering.

Encik Subbiah berkata beliau dan rakan sekerja bertindak mengikut naluri untuk menyelamatkan wanita itu, disebabkan itu mereka bertindak dengan pantas.

“Seseorang telah jatuh. Kami hanya bertekad untuk menyelamatkannya secepat mungkin. Itu adalah matlamat kami,” kata Encik Subbiah.

Menurut laporan ST, warga Tamil Nadu itu sudah bekerja di Singapura selama 22 tahun, dan ini adalah kali pertama beliau terlibat dalam usaha menyelamat seumpama ini.

Encik Subbiah menambah bahawa selepas mereka menarik wanita itu keluar, mereka bertanya jika ada orang lain di dalam kereta, dan wanita itu menjawab bahawa kad pengenalan serta telefon bimbitnya masih di dalam. 

Encik Subbiah memberikan telefon bimbitnya supaya wanita itu dapat menghubungi anak perempuannya.

“Kami telah menyelamatkan nyawa... apa pun yang berlaku, itu yang paling penting,” katanya kepada media.

Rakaman di media sosial juga menunjukkan pekerja lain dengan segera meletakkan pengadang di sebelah lubang benam itu.

Pemandu itu kemudian dibawa ke hospital oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

PUB dalam kenyataan di Facebook pada 27 Julai berkata wanita itu sudah boleh berjalan dan sedang menjalani pemeriksaan perubatan lanjut.

Sementara itu, kereta yang jatuh ke dalam lubang benam itu telah dikeluarkan dengan kren pada tengah hari 27 Julai, sedang kerja-kerja membaiki jalan dan membukanya semula kepada lalu lintas diteruskan.

Sepanjang jalan Tanjong Katong Road South antara Mountbatten Road dengan Ekspreswe East Coast Parkway (ECP) pula terus ditutup.

Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, melawat lokasi kejadian pada pagi 27 Julai dan memberitahu wartawan keadaan tanah di situ didapati stabil menurut penilaian PUB.

Menurut Encik Goh, semua air dari lubang benam tersebut sedang dikeluarkan dengan beransur-ansur agar pihak berkuasa dapat menilai bagaimana tanah itu bertindak balas.

Tambahnya, pihak berkuasa berharap keadaan dapat dipulihkan secepat mungkin, dan sedang berusaha untuk menyiapkan pembaikan jalan sebelum 28 Julai sebagai sasaran awal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg