Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BCA: Struktur gudang Toa Payoh yang berlakunya lantai runtuh tidak terjejas

Jan 30, 2025 | 6:20 PM
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata bangunan gudang di 11 Toa Payoh Industrial Park, di mana lantai mezanin sebuah unit runtuh pada 28 Januari, ialah selamat dari segi struktur.
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata bangunan gudang di 11 Toa Payoh Industrial Park, di mana lantai mezanin sebuah unit runtuh pada 28 Januari, ialah selamat dari segi struktur. - Foto TANGKAP LAYAR GOOGLE MAPS

Struktur bangunan gudang di 11 Toa Payoh Industrial Park, di mana lantai mezanin sebuah unit runtuh pada 28 Januari, adalah selamat kata Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).

Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), jurucakap BCA berkata:

“Keruntuhan separa platform keluli dan sistem rak tidak menjejaskan integriti struktur bangunan.”

Empat orang termasuk dua kanak-kanak dibawa ke hospital selepas lantai mezanin tersebut runtuh.

Menurut hantaran Facebook Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada 28 Januari, ia dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira 5.50 petang.

SCDF berkata seorang mangsa berjaya membebaskan dirinya sebelum anggota bomba tiba, dan memaklumkan tiga orang lagi masih terperangkap.

Anggota bomba dari Balai Bomba Bishan, pekerja penyelamat dari Unit Tindak Balas Khas dan Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) menggeledah kawasan itu, yang berukuran kira-kira 20 meter kali 10 meter.

Dua anjing pencari SCDF turut dikerahkan.

Kira-kira 90 minit kemudian, anggota penyelamat berjaya mengeluarkan permaidani, memotong rak simpanan dan mencari mangsa.

Hantaran Facebook SCDF juga menyatakan bahawa keempat-empat mangsa berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital. Kededua kanak-kanak berkenaan dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), manakala dua orang dewasa itu dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.

Penyewa unit gudang terjejas ialah AHT Carpet and Flooring, yang telah menggunakan lantai mezanin itu untuk menyimpan permaidani.

Pengasas AHT Carpet and Flooring, Encik Mohammed Hairul, 45 tahun, memberitahu ST menerusi satu panggilan telefon bahawa syarikatnya telah menggunakan gudang itu selama lebih setahun.

Lantai mezanin di dalam unitnya telah dipasang oleh vendor pada Mei 2024. Encik Hairul enggan mendedahkan nama vendor.

Tambahnya, beliau telah diyakinkan oleh vendor tersebut bahawa lantai mezanin itu cukup kuat untuk menyimpan permaidani.

Dua orang dewasa yang dibawa ke hospital selepas kejadian itu merupakan rakan Encik Hairul. Salah seorang daripada mereka ialah ibu kepada dua kanak-kanak yang diselamatkan.

Encik Hairul tidak berada di gudang itu semasa kejadian runtuhan tersebut berlaku.

Jurucakap BCA dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kedua-dua agensi itu sedang menyiasat kejadian tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg