Bungkusan yang dihantar ke Masjid Al-Istiqamah sehingga menyebabkan jemaah terpaksa diarah keluar, mengandungi daging dan ia bukan kejadian terpencil, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Menurut Encik Shanmugam yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, terdapat beberapa insiden serupa melibatkan masjid, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Bercakap kepada wartawan pada 25 September, Encik Shanmugam menegaskan bahawa perbuatan menyasarkan rumah ibadat sama sekali tidak boleh diterima, dan Singapura mempunyai dasar toleransi sifar terhadap perbuatan sebegini.
Kata beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengesahkan jenis daging tersebut, tetapi sekilas pandang, ia mungkin daging khinzir.
Pada masa sama, Encik Shanmugam menekankan pentingnya masyarakat Singapura bertindak pantas serta menunjukkan perpaduan dengan masyarakat Islam agar rasa selamat tidak terjejas, dan supaya insiden sedemikian – yang mungkin biasa berlaku di negara lain – tidak menjadi kebiasaan di Singapura.
Kenyataan beliau menyusuli kejadian pada 24 September, apabila masjid yang terletak di Serangoon North Avenue 2 itu menerima bungkusan yang mencurigakan.
Seorang wanita yang difahamkan merupakan kakitangan masjid berasa tidak sihat apabila menyentuh bungkusan tersebut dan dihantar ke Hospital Besar Sengkang pada malam 24 September.
Wanita itu sudah dibenarkan pulang.
Encik Shanmugam berkata: “Setakat ini, insiden-insiden ini kelihatan hanya menyasar masjid, dengan bungkusan berisi daging dihantar. Tetapi kita perlu menunggu siasatan selesai.”
Apabila ditanya sama ada kejadian itu menunjukkan motif keagamaan yang lebih luas, Encik Shanmugam menggesa agar orang ramai tidak membuat kesimpulan dengan terburu-buru.
“Kita harus nantikan siasatan selesai, selepas itu barulah kita akan tahu (dengan) lebih jelas sama ada ia terhad kepada agama tertentu atau isu yang lebih luas,” tambah beliau.
Namun, apa jua keadaannya, perbuatan ini tetap tidak boleh diterima, tegas Encik Shanmugam.
“Tidak kira jenis daging apa sekali pun, tindakan ini jelas mengapi-apikan. Dan jika benar ia daging khinzir dan dihantar ke sebuah masjid, ia adalah lebih buruk.
“Apa juga motif, perbuatan ini ibarat bermain dengan api dan kami memandang hal ini dengan amat serius dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bertanggungjawab,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang bahan berbahaya dalam bungkusan tersebut.
Encik Shanmugam menambah bahawa kejadian tersebut bukanlah insiden pertama.
“Terdapat beberapa kes lain yang serupa baru-baru ini di beberapa masjid lain, dan pihak polis memang sudah menjalankan siasatan terhadap kes-kes tersebut. Dalam konteks itu, insiden ini berlaku sekali lagi.
“Menjadikan rumah ibadat sebagai sasaran sama sekali tidak boleh diterima. Kami mempunyai dasar toleransi sifar terhadap tindakan seperti ini,” ujarnya.
Beliau turut akur bahawa kejadian sedemikian sering berlaku di beberapa negara lain, yang boleh “menimbulkan perpecahan dalam masyarakat”.
“Perkara yang sama boleh berlaku di sini jika kita tidak berhati-hati. Jadi bagaimana kita bertindak balas terhadap insiden sebegini amatlah penting,” ujar beliau.
Encik Shanmugam turut menekankan bahawa jemaah harus dapat menunaikan ibadah dalam suasana “penuh kepercayaan dan saling hormat-menghormati”.
Beliau juga memberi jaminan yang pihak polis sedang memantau keadaan dengan teliti dan telah meningkatkan kunjungan ke masjid-masjid, dan akan terus berbuat demikian bagi memastikan keselamatan terjamin.
“Tidak mungkin untuk kita menukar semua rumah ibadat menjadi kawasan berkubu kerana ia sememangnya ruang terbuka untuk orang ramai.
“Namun, kami akan mengambil langkah yang wajar, berdasarkan maklumat risikan, bagi melindungi keselamatan awam,” ujar beliau.
Encik Shanmugam telah berinteraksi dengan para pemimpin Rangkaian Keharmonian Kaum dan Agama (IRHC) yang turut hadir di masjid itu.
Beliau berkata: “Saya difahamkan pemimpin dan penganut agama lain juga telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai insiden itu.
“Ini menunjukkan perpaduan dan semangat kebersamaan cara Singapura.”
Sejak kejadian itu, Masjid Al-Istiqamah telah beroperasi seperti biasa semasa solat subuh pada 25 September.
“
“Tidak kira jenis daging apa sekali pun, tindakan ini jelas mengapi-apikan. Dan jika benar ia daging khinzir dan dihantar ke sebuah masjid, ia adalah lebih buruk. Apa juga motif, perbuatan ini ibarat bermain dengan api dan kami memandang hal ini dengan amat serius dan kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bertanggungjawab.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg