Dalam kesunyian malam, tatkala ramai mula melenakan mata di beberapa kawasan sekitar Singapura, sekumpulan penunggang ‘basikal’ kuasa bateri mula berhimpun.

Tujuan mereka adalah untuk berlumba dan menguji kelajuan maksimum 'basikal’ masing-masing – dikenali sebagai alat mobiliti aktif (AMD) di sini – yang telah diubah suai dengan menelan belanja ribuan dolar untuk mengatasi had kelajuan dibenarkan undang-undang, iaitu 25 kilometer sejam (kmj).

AMD merangkumi alat mobiliti peribadi (PMD), basikal menggunakan kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).

Malah, sekali pandang, ada yang boleh menyangka mereka menunggang motosikal kerana AMD yang diubah suai secara haram itu mampu mencecah kelajuan hingga 200 kmj.

Tinjauan Berita Harian (BH) selama beberapa malam di kawasan timur laut mendapati kumpulan-kumpulan penunggang berbeza itu mengadakan sesi ‘uji mesin’ sedemikian di beberapa ‘kawasan operasi’ yang ditetapkan mengikut kumpulan.

Setiap kumpulan biasanya mempunyai rangkaian komunikasi melalui saluran WhatsApp dan Telegram dan hanya menerima anggota baru yang telah disarankan anggota sedia ada.

Namun, walaupun mereka mendakwa bertindak secara sulit, klip video yang menunjukkan penunggang memecut laju menggunakan AMD dimuat naik secara kerap ke laman media sosial seperti TikTok.

Pengasas salah satu kumpulan AMD itu, yang hanya ingin dikenali dengan nama Syaz, memberitahu BH ada tujuh kumpulan AMD sebegini yang diketahuinya, tetapi jumlah anggota setiap kumpulan tidak menentu, kata beliau.

Buat masa ini, kumpulannya mempunyai 130 anggota dalam lingkungan usia antara 15 dengan 70 tahun.

Malah, Syaz berkata kumpulan yang ditubuhkannya pada 2016 itu kini mempunyai anggota dari Malaysia.

Syaz menyangkal keras apabila ditanya sama ada beliau atau kumpulan-kumpulan AMD di Singapura mengubah suai kenderaan masing-masing untuk berlumba.

Mereka sekadar gemar mengubah suai AMD supaya kelihatan lebih cantik, kata Syaz, dan hanya menunggang bersama-sama rakan secara perlahan selepas waktu kerja.

Malah, Syaz, 27 tahun, mendakwa akan menegur sebarang anggota yang menunggang AMD terlalu laju.

“Kami dan kebanyakan kumpulan AMD di Singapura tidak setuju mengadakan perlumbaan haram.

“Jika ada anggota yang menunggang dengan laju dan bahaya hingga menyebabkan gangguan, kami akan memberi amaran keras.”

Namun, pada masa yang sama kumpulan yang mengadakan perlumbaan AMD tetap ada.

Seorang lagi penunggang, Ismail (bukan nama sebenar), 19 tahun, berkata kumpulan yang dianggotainya sering berkumpul untuk mengubah suai AMD dan biasanya akan menunggang dengan laju untuk ‘menguji’ perubahan yang dilakukan.

“Mereka pilih jalan raya yang sunyi dan pada larut malam untuk menunggang AMD. Kadangkala lebih 100 kmj,” kata Ismail, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Semua jenis AMD, termasuk skuter elektronik tidak boleh digunakan di jalan raya, mengikut dasar sedia ada.

Di bawah undang-undang PMA dan PMD diperketat pada 1 Jun 2026, adalah satu kesalahan untuk memiliki PMD yang tidak berdaftar dan mematuhi piawaian UL2272.

Menurut maklumat di laman Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hanya PMD yang mematuhi piawaian UL2272 boleh digunakan di laluan berbasikal.

Antara lain, PMD yang dibenarkan tidak boleh melebihi berat 20 kilogram, tidak melebihi kelebaran 70 sentimeter dan mempunyai kelajuan maksimum 25 kmj.