Selepas lebih empat hari mengalami gangguan bekalan air akibat paip meletup, semua penyewa di kampus pejabat Phoenix Park telah mendapat semula akses kepada bekalan air pada 4.30 petang, 15 Januari, menurut penyewa utama, LHN Group.

Sebatang paip bawah tanah telah tertanggal pada pagi 11 Januari dan injap utama bekalan air bagi 11 bangunan kolonial di Tanglin Road itu telah ditutup untuk memudahkan kerja pembaikan.

Hujan lebat selama beberapa hari lalu turut menyebabkan kerja pembaikan yang sebelum ini dijadualkan siap pada 14 Januari tertangguh.

LHN Group, yang menyewakan sebahagian besar unit di kampus pejabat itu kepada penyewa kecil, memaklumkan kepada The Straits Times pada 15 Januari bahawa mereka telah menghantar e-mel kepada penyewa kecil pada malam 14 Januari. 

E-mel itu memaklumkan penyewa bahawa kontraktor masih berada di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan akhir ke atas paip bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik.

Little Paddington Preschool, yang terletak di dalam kampus Phoenix Park, terpaksa ditutup selama dua hari dari 14 hingga 15 Januari untuk memastikan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak terjamin.

Ketua Pegawai Operasi Little Paddington Preschool, Cik Pooja Patodia, sebelum ini memaklumkan bahawa kakitangan prasekolah memerlukan air bersih untuk memandikan bayi serta mensteril botol susu dengan sebaiknya, tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat gangguan bekalan air. 

Prasekolah tersebut memaklumkan kepada ibu bapa menerusi mesej bahawa sekolah akan dibuka semula pada 16 Januari.

Penyewa seperti Encik Kenneth Chia, pemilik perniagaan menjahit, A Gentleman’s Tale, berkata beliau menyedari bekalan air ke tandas dan singki di kedainya kembali normal sejak malam 14 Januari.

Selain prasekolah dan perniagaan menjahit, pusat pengayaan dan studio yoga turut terjejas akibat paip meletup tersebut.

Dalam tempoh empat hari tersebut, agensi air negara, PUB, telah membekalkan air boleh diminum kepada penyewa yang terjejas melalui trak air.

LHN Group kemudian memindahkan air dari trak PUB ke dalam beberapa tangki air untuk memudahkan penyewa mengumpul air bagi kegunaan lain.