Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paip air pecah jejas bekalan ke beberapa rumah, perniagaan di Clementi

Paip yang pecah jejas bekalan air di Blok 324, Blok 325 Clementi Avenue 5
Nov 25, 2024 | 5:24 PM
Laluan pejalan kaki di sekitar Blok 324 Clementi Avenue 5 dipenuhi air keruh berwarna coklat setelah paip air pecah pada awal pagi 25 November.
Laluan pejalan kaki di sekitar Blok 324 Clementi Avenue 5 dipenuhi air keruh berwarna coklat setelah paip air pecah pada awal pagi 25 November. - Foto FACEBOOK TAN WU MENG

Beberapa rumah dan perniagaan di Clementi terjejas akibat paip air yang pecah pada awal pagi 25 November.

Menurut hantaran Facebook Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Dr Tan Wu Meng, paip air yang pecah itu terletak di sebelah Blok 324 Clementi Avenue 5. Beliau melawat kawasan itu sekitar 7.30 pagi.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Dr Tan berkata wakil dari Majlis Bandaran Jurong-Clementi, agensi air negara PUB dan agensi lain berada di lokasi pada 3.30 pagi.

Dr Tan berkata paip yang pecah itu menjejas bekalan air ke unit kediaman di bahagian bawah Blok 324 dan Blok 325. Pelbagai perniagaan, termasuk kedai kopi, terletak di tingkat satu Blok 325.

Beliau memuat naik satu video di Facebook yang menunjukkan laluan pejalan kaki di sekitar blok itu dipenuhi air keruh berwarna coklat.

Video itu kelihatan dirakam sebelum awal pagi.

Seorang penghuni Blok 324, Encik Saad Ali, 76 tahun, menyedari ada sesuatu yang tidak kena setelah beliau terjaga pada tengah malam.

“Saya bangun pada 4.30 pagi untuk pergi ke tandas dan menyedari tiada lagi bekalan air apabila saya cuba mengepam jamban dan membuka paip.

“Ada sedikit kekecohan di tingkat satu. Saya melihat orang ramai berkumpul dan sedar berlaku banjir di sebelah kolong blok,” ujarnya.

Encik Saad berkata air di kolong blok itu dikeluarkan sekitar 7 pagi.

Bagi membantu mereka yang terjejas, PUB menggunakan beberapa tangki air untuk menyediakan sumber air alternatif dan mengagihkan air dalam beg yang mempunyai muatan lima liter.

Selain itu, Dr Tan berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pasukan kontraktor MRT Laluan Rentas Pulau (CRL) telah menghubungi penduduk.

Blok yang terjejas terletak di sebelah tapak pembinaan berhampiran di mana stesen MRT CRL Clementi akan ditempatkan.

Menurut The Straits Times, beberapa perniagaan makanan dan minuman di sana tidak mempunyai akses kepada air, dan pekerja mereka membawa baldi dan botol ke tangki air PUB untuk mendapatkan bekalan.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Abdul Rahman, 25 tahun, yang bekerja di gerai makanan barat Fatty Bom Bom di Blok 325.

Menurutnya, perniagaan gerai itu tidak terjejas tetapi mengakui beliau tidak boleh memasak makanan seperti nasi dan kentang disebabkan bekalan air yang terhad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg