SPH Logo mobile
Langgan|

Bekalan bahan api S’pura stabil: Pemerintah pantau keperluan campur tangan di tengah kenaikan harga

Bekalan bahan api S’pura stabil: Pemerintah pantau keperluan campur tangan di tengah kenaikan harga

Jeffrey Siow: Simpanan negara tidak berkurangan meskipun konflik Timur Tengah jejas harga bahan api, kos khidmat pengangkutan pengguna
Mar 26, 2026 | 6:18 PM

Bekalan bahan api S’pura stabil: Pemerintah pantau keperluan campur tangan di tengah kenaikan harga

Bekalan bahan api S’pura, kenaikan harga, konflik Timur Tengah, Jeffrey Siow
Pekerja menggunakan mesin pengimbas tiga dimensi (3D) bagi memeriksa keadaan struktur terowong di Stesen MRT Dakota pada 26 Mac. - Foto ZAOBAO

Bekalan bahan api di Singapura buat masa ini stabil dan simpanan tidak berkurangan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 26 Mac.

Namun, kenaikan harga bahan api telah memberi kesan kepada perkhidmatan pengangkutan. 

Pemerintah sedang memantau situasi ini dengan teliti bagi menilai sama ada campur tangan diperlukan pada masa akan datang, kata Encik Siow lagi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan The Straits Times (ST) dalam satu temu bual di stesen MRT Dakota mengenai penilaiannya terhadap kesan konflik Timur Tengah ke atas sektor pengangkutan di sini, serta sokongan yang dirancang pemerintah.

Encik Siow, yang juga Menteri Negara Kanan (Kewangan), berkata pemerintah berusaha memastikan bekalan bahan api Singapura kekal stabil.

“Buat masa ini, pasaran bahan api cair (masih aktif dengan aktiviti jual beli). Simpanan kami juga tidak berkurangan, dan laluan bekalan kami masih terbuka,” katanya.

Sambil menegaskan situasi keseluruhan adalah stabil, Encik Siow berkata pihak berkuasa tetap perlu memantau keadaan tersebut setiap hari bagi memastikan “semua kekal baik”.

Mengenai isu kenaikan harga bahan api, Encik Siow berkata sebahagian kesannya telah ditampung melalui langkah penyesuaian pasaran.

Sebagai contoh, syarikat penerbangan telah menaikkan harga tiket dan pengendali platform telah menawarkan subsidi bahan api kepada pemandu dan pekerja penghantaran mereka.

“Kami memantau situasi ini dengan teliti bagi menilai sama ada terdapat keperluan untuk kami, iaitu pemerintah, melakukan campur tangan pada masa akan datang.

“Kami akan terus memantau situasi ini dan mempertimbangkan untuk berbuat demikian pada masa yang sesuai kelak,” ujarnya.

Pengguna merentasi pengangkutan darat, udara dan laut turut merasai tekanan akibat lonjakan harga bahan api yang dipacu oleh perang ke atas Iran.

Ini dengan caj tambahan bagi bahan api yang dinaikkan atau dikenakan oleh beberapa syarikat penerbangan dan kebanyakan pengendali feri di sini.

Pemandu juga berdepan harga bahan api meningkat. 

Sehingga 26 Mac, harga bahan api gred 95-oktan ditetapkan pada kadar $3.47 seliter di stesen minyak Caltex, Esso dan Sinopec, menurut data aplikasi Price Kaki yang dibangunkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (Case).

Harga di Shell pula adalah $3.42 seliter, manakala SPC mengenakan harga $3.46 seliter. 

Cnergy menawarkan harga paling murah iaitu $2.48 seliter.

Petrol gred yang sama sebelum ini berharga $2.88 seliter di kebanyakan stesen minyak sebelum Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari.

Perang tersebut mengakibatkan sekatan pada sebahagian besar laluan perkapalan Selat Hormuz yang menghubungkan Teluk Parsi dengan kawasan lain, yang turut mengendalikan kira-kira satu perempat perdagangan minyak laut sedunia.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg