Bekalan tanah bagi perumahan privet akan meningkat pada separuh kedua 2026, sedang rancangan pembangunan Kawasan Pusat Bandar (CBD) kedua di Singapura terus mencatat kemajuan dengan pelancaran tapak di Daerah Tasik Jurong pada Julai.

Sekitar 4,745 unit kediaman privet akan dilancarkan di bawah senarai yang telah disahkan bagi tempoh enam bulan akan datang. 

Secara keseluruhan, jumlah tersebut mencatat peningkatan daripada 4,575 unit pada separuh pertama 2026, dan 4,725 unit pada separuh kedua 2025.

Perkembangan terbaru itu meningkatkan jumlah keseluruhan bekalan Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) di bawah senarai disahkan kepada 9,320 unit bagi 2026.

Jumlah tersebut 50 peratus lebih tinggi daripada purata tahunan sebanyak 6,100 unit sepanjang sedekad lalu.

Ia juga bermakna jumlah keseluruhan bekalan perumahan privet yang sedang dalam perancangan akan meningkat kepada sekitar 61,000 unit daripada 57,000 unit buat masa ini.

Ia termasuk 32,000 unit yang sedia untuk dijual dalam tempoh dua tahun akan datang.

Peningkatan bekalan akan menampung permintaan kukuh terhadap perumahan privet, dengan bekalan tambahan turut disediakan di bawah senarai rizab sekiranya para pemaju mendapati terdapat permintaan dalam kalangan pembeli, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada 3 Jun.

Tapak di bawah senarai rizab hanya akan dilepaskan untuk jualan jika pemaju menawarkan harga minimum yang diterima pemerintah, atau terdapat minat pasaran yang mencukupi.

Merangkumi sembilan tapak dalam senarai disahkan dan 13 tapak dalam senarai rizab, program GLS bagi separuh kedua 2026 menawarkan pembangunan sebanyak 9,200 unit kediaman privet, 188,100 meter persegi keluasan lantai kasar (GFA) ruang komersial dan 970 bilik hotel.

Tapak yang ditawarkan dalam senarai disahkan merangkumi lapan tapak kediaman privet dan satu tapak putih. 

Sebanyak 4,745 unit kediaman privet termasuk 735 unit kondominium eksekutif (EC), serta 83,350 meter persegi GFA ruang komersial, berpotensi dibangunkan di tapak berkenaan.

PropNex akur dalam satu kenyataan bahawa empat daripada sembilan tapak senarai disahkan itu terletak di kawasan pinggir bandar, dengan tujuh daripadanya merupakan tapak yang baru diperkenalkan dalam GLS.

Manakala, senarai rizab merangkumi lapan tapak kediaman privet, satu tapak komersial, dua tapak putih dan dua tapak hotel di River Valley Road serta Telok Ayer Street yang dialih daripada senarai rizab bagi separuh pertama 2026.

Plot pertama daripada tiga plot tanah di Daerah Tasik Jurong – sebuah tapak putih yang dipindahkan daripada senarai rizab – juga akan dilancarkan untuk tender pada Julai di bawah senarai disahkan.

“Kami juga sedang menjalankan perancangan untuk membangunkan Daerah Tasik Jurong sebagai daerah perniagaan pelbagai guna terbesar di Singapura di luar pusat bandar, sebagai sebahagian daripada usaha desentralisasi kami,” kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, menerusi hantaran di Facebook pada 3 Jun.

Pembangunan yang dicadangkan itu mempunyai potensi keluasan keseluruhan sekitar 186,000 meter persegi, yang merangkumi sekurang-kurangnya 40,000 meter persegi ruang pejabat.

Sebanyak 1,200 unit kediaman serta ruang untuk peruncitan, makanan dan minuman (F&B), hiburan dan kegunaan pelengkap yang lain, turut dapat dibangunkan di bawah projek tersebut. 

Selain itu, kawasan berkenaan akan disokong oleh empat laluan MRT menjelang 2032, sekali gus memperkukuh daerah tersebut sebagai hab perniagaan dan gaya hidup utama di luar pusat bandar, kata Encik Chee.