Bekas banduan temui rezeki selepas 30 kali ditolak kerja
Bekas banduan temui rezeki selepas 30 kali ditolak kerja
Daftar diri dalam skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture cari peluang kerja yang sesuai
Setelah 11 bulan menganggur dan ditolak 30 permohonan kerja, Encik Muhammad Amir Asa’ad Fadzali, 32 tahun, akhirnya mendapat pekerjaan tetap di sebuah cawangan McDonald’s di Singapura.
Setelah dibebaskan dari penjara pada Januari 2025, Encik Amir, atau mesra disapa ‘Ash’, nekad mencari kerja tetap demi membina kehidupan baharu.
Namun, langkah meninggalkan kehidupan lama dan memulakan lembaran baharu bukanlah semudah yang disangka.
Sebagai contoh, tempoh 18 bulan di sebalik tirai besi menyukarkan beliau mencari majikan yang sudi menerima latar belakangnya.
Menyingkap fasa kehidupannya yang memeritkan setelah dibebaskan dari penjara, beliau berkata:
“Saya telah menghantar permohonan kepada 30 syarikat. Mengikut kelayakan, saya menepati segala syarat permohonan setiap syarikat itu.
“Namun, dalam sekelip mata, 10 syarikat menolak permohonan saya serta-merta. Saya mengagak, ini disebabkan saya mempunyai rekod jenayah dan status sebagai bekas banduan,” jelas beliau.
Daripada baki 20 syarikat itu, beberapa daripadanya memanggil beliau untuk temu duga.
Dengan semangat menggunung, Encik Amir pun mempersiapkan diri untuk hadir ke sesi temu duga, sebagai sebahagian proses permohonan kerja.
Tidak lama selepas temu duga bermula, Encik Amir disoal mengenai tempoh jeda yang panjang dalam resumenya.
Malah, alat pengesan elektronik (tagging) pada kakinya – petanda beliau baru keluar dari penjara– turut disedari oleh penemu duga.
“Apabila mereka mula bertanya tentang masa saya di dalam (penjara) dan ternampak tagging saya, saya sudah menjangka tiada harapan untuk mendapat jawatan itu.
“Lebih-lebih lagi, temu duga itu dihentikan serta-merta. Malah, sebelum berakhir, saya ditanya mengapa tidak berterus terang dari awal.
“Saya kemudian membalas, jika saya jujur, adakah itu menjamin saya akan diterima bekerja di syarikat ini,” jelas beliau dengan nada kekecewaan.
Meskipun kecewa, Encik Amir tetap nekad mencari pekerjaan yang halal.
Walaupun dibebani oleh kesilapan lalu, Encik Amir tidak membiarkan hal itu menghalangnya daripada mencari jalan untuk mengubah nasibnya.
Justeru, beliau mendaftar diri dalam skim Sokongan Pencari Kerja SkillsFuture untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai.
Skim ini bertujuan menyokong individu dalam mencari pekerjaan yang dapat memanfaatkan kemahiran dan pengalaman mereka.
Mengenai pengalamannya, Encik Amir bersyukur kerana mendapat pekerjaan sebagai Pembantu Pengurus di McDonald’s melalui skim ini.
Beliau turut menghargai syarikat makanan segera itu yang menerimanya tanpa prejudis terhadap sejarah hitam dalam hidupnya.
Dahulu bekerja sebagai penghantar bagi syarikat logistik, beliau telah diberkas beberapa kali sejak 2017 atas kesalahan memandu tanpa lesen dan melanggar undang-undang jalan raya.
Beliau berkongsi:
“Selepas keluar penjara, saya menerima panggilan daripada seorang teman lama. Beliau mengajak saya kembali bekerja di syarikat logistik sebagai penghantar, walaupun lesen sudah ditarik.
“Gajinya memang lumayan, tetapi saya fikir cukuplah membiarkan diri terjerumus dalam gejala sebegini. Saya ingin mencari kerja yang lebih baik dan tak menyalahi undang-undang,” kata beliau penuh keinsafan.
Hari Raya tahun ini (2026) merupakan yang pertama buat Encik Amir sejak dikurniakan pekerjaan dan pendapatan tetap.
Setelah lapan tahun, beliau ditahan dan dipenjarakan setiap tahun secara kebetulan pada musim perayaan sejak berusia 23 tahun, Hari Raya kali ini terasa lebih manis.
Kini, dengan rezeki yang lebih, beliau dapat membeli sepasang baju raya baru setelah sekian lama tidak berkesempatan.
Malah, kini beliau turut memikul tanggungjawab untuk menanggung persiapan raya bagi rumahnya.
“Buat pertama kali juga, saya menanggung kos persiapan raya seperti membeli air dan sebagainya.
“Ibu saya terkejut kerana saya sudah membeli dan membuat persiapan raya dari awal lagi,” jelas satu-satunya anak lelaki bongsu dalam tiga beradik itu.
Menurutnya, walaupun tanggungjawab menyara keluarga sebagai anak lelaki ini terasa baru, beliau tekad untuk berbakti balik kepada ibunya.
“Saya bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya, saya dapat menebus balik kekecewaan yang ibu saya rasakan terhadap saya dulu,” jelas beliau sambil menahan sebak.
“
“Saya bersyukur dengan rezeki yang ada sekarang. Walaupun tidak banyak, sekurang-kurangnya, saya dapat menebus balik kekecewaan yang ibu saya rasakan terhadap saya dulu.”
