Langkah berani dua beradik buka gerai makanan jalanan di bulan mulia
Langkah berani dua beradik buka gerai makanan jalanan di bulan mulia
Usaha bina lembaran baharu niaga di pusat penjaja selepas bisnes cuci kereta, motosikal lebih mantap
Di tengah-tengah suasana meriah bazar Ramadan di Johor Bahru, kedengaran hiruk-pikuk pengunjung yang singgah di deretan gerai penuh warna-warni.
Aroma aneka makanan menyusup masuk ke hidung lantas membuka selera sesiapa yang singgah di bazar tersebut.
Encik Aniq Nazirul Hasri pula memerhatikan isterinya begitu seronok memilih satu demi satu lidi lok lok atau makanan jalanan yang terdiri daripada bebola ikan, daging dan sayur yang dicucuk pada lidi dan dicelup dalam periuk air mendidih.
Makanan ini biasanya disajikan bersama pelbagai jenis sos pedas, manis atau kacang.
Dalam Encik Aniq, 27 tahun, memerhatikan keadaan sekeliling semasa berbelanja di seberang Tambak yang bermandikan hiasan suasana perayaan, satu idea terlintas di fikiran.
Makanan bazar kegemarannya dan isteri, iaitu lok lok akhirnya menjadi barangan jualan di gerai pusat makanan miliknya sendiri.
Sempena Hari Raya ini, beliau berdiri di balik kaunter gerai LIDI – yang terletak di Pusat Makanan Berseh di Jalan Besar – menghidangkan lok lok kepada pelanggan, sebagai permulaan lembaran baharu dalam perjalanan perniagaannya.
Langkah itu menandakan perubahan besar bagi Encik Aniq, yang sebelum itu hanya mengendalikan perniagaan cuci motosikal, Bike Frenzie.
Abangnya, Encik Muhammad Syafiq Jafni Jasmani, 33 tahun, lebih dikenali sebagai Finn, mengendalikan perniagaan cuci kereta pula, Finn’s Auto Detailing.
Kededua perniagaan cuci kenderaan dua beradik itu diusahakan di Safra Tampines.
Menurut Encik Aniq, minatnya terhadap makanan sudah lama wujud, namun yang paling mendorongnya untuk membuka gerai ialah peluang berinteraksi dengan pelanggan.
“Dari kecil memang saya suka makanan. Tapi yang paling saya suka sebenarnya ialah khidmat yang boleh diberi dan peluang berinteraksi dengan pelanggan dan buat orang gembira melalui produk atau perkhidmatan yang kita salurkan,” katanya.
Kini beliau mengusahakan gerai bernama LIDI yang menjual lok lok sebagai hidangan sampingan bersama menu Barat seperti burger dan chicken chop.
Berbeza dengan Encik Aniq, abangnya mempunyai pengalaman dalam bidang makanan dan minuman, khususnya dalam masakan Barat.
“Dari dulu pengalaman saya dalam sektor F&B memang dalam masakan Barat.
“Kita perlu ada hidangan utama, dan kita mahu ia cepat dan mudah – bukan mudah untuk kami, tetapi mudah untuk pelanggan makan dan senang dibawa pulang,” katanya.
Menurut Encik Syafiq, semua menu di gerai tersebut dihasilkan sendiri dari awal.
“Kami yakin dengan makanan kami. Semuanya dibuat sendiri... dari sos ke pati daging burgernya,” katanya.
Bagi Encik Syafiq, keputusan membuka gerai penjaja juga didorong oleh keinginan menyediakan makanan yang mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Dalam F&B, kami percaya kami boleh sediakan makanan untuk semua orang. Sebab itu kami pilih konsep penjaja supaya harganya lebih mampu milik untuk semua,” jelasnya.
Perjalanan membuka gerai itu bermula sekitar Jun tahun lalu (2025) dan mereka mengambil masa beberapa bulan dalam menentukan konsep makanan, menjalankan penyelidikan serta membeli peralatan dapur yang diperlukan.
Encik Aniq turut terkejut apabila mendapati kos memulakan perniagaan penjaja tidak serendah yang disangkakan.
“Saya ingatkan buka gerai penjaja tidak banyak kos. Rupanya banyak juga, beli peralatan dapur, pinggan mangkuk, minyak masak gred komersial dan macam-macam lagi,” katanya.
Gerai mereka akhirnya dibuka pada 1 Mac lalu, secara kebetulan pada awal Ramadan.
Menurut Encik Aniq, pembukaan pada bulan puasa sebenarnya tidak dirancang.
“Kami dah bayar sewa sejak Januari tetapi belum buka. Bila fikir-fikir, kalau asyik tangguh saja, sampai bila pun tak mula. Jadi kami kata, teruskan saja,” katanya.
Buat masa ini, kedua-dua beradik itu mengendalikan gerai tersebut tanpa pekerja tetap, dengan bantuan isteri masing-masing pada waktu tertentu.
Hari mereka biasanya bermula sekitar 9 pagi demi membuat persiapan sebelum memulakan jualan bagi waktu makan tengah hari hingga malam.
Namun seperti kebanyakan perniagaan baharu, permulaan perjalanan itu tidak selalunya mudah.
Menurut Encik Aniq, jumlah pelanggan boleh berubah-ubah setiap hari dan faktor seperti cuaca juga memberi kesan kepada jualan di pusat penjaja.
“Hari pertama ramai datang, tapi hari kedua agak sunyi. Itu memang boleh buat kita rasa patah semangat,” katanya.
Walaupun begitu, beliau melihatnya sebagai sebahagian proses membangun perniagaan.
Encik Syafiq pula percaya cabaran adalah perkara biasa dalam mana-mana perniagaan.
“Setiap perniagaan yang kita buat akan ada cabaran baharu. Apa pun yang berlaku, kami bersedia untuk melaluinya bersama,” katanya.
Bagi keluarga mereka pula, langkah menceburi bidang makanan bukan sesuatu yang mengejutkan.
“Keluarga sudah biasa dengan kami yang suka cuba perniagaan baharu. Biasanya bila Hari Raya dan jumpa anggota keluarga, itulah yang jadi topik perbualan kami,” katanya.

