Ulang tahun ke-200 Masjid Sultan merupakan satu peringatan yang bermakna terhadap warisan mendalam dan peranan teguh masjid itu dalam kehidupan masyarakat Islam Singapura, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 21 Julai.
Bercakap sebelum pelancaran rasmi buku peringatan berjudul, ‘Masjid Agung Singapura – Dua Abad dalam Sejarah Masjid Sultan’ (Grand Mosque of Singapore – Two Centuries in the History of Masjid Sultan), Dr Faishal menyifatkan sambutan itu sebagai peluang untuk mengenang sumbangan besar Masjid Sultan bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat masyarakat yang telah membentuk jalinan sosial dan identiti masyarakat Islam selama dua abad.
Buku itu dilancarkan di auditorium Masjid Sultan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-200 masjid berkenaan.
Presiden Tharman Shanmugaratnam turut hadir selaku tetamu terhormat, disertai wakil kanan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), barisan pengurusan Masjid Sultan serta anggota masyarakat.
Dr Faishal berkata: “Detik ini mengingatkan kita tentang betapa besar dan kayanya warisan Masjid Sultan dan betapa mendalamnya akar masjid ini dalam masyarakat dan negara kita.
“Benar-benar sebuah lambang warisan dan agama Islam yang merentasi generasi.”
Beliau turut menyambut baik penerbitan buku peringatan tersebut yang menurutnya, “bukan sekadar merakam sejarah fizikal masjid, tetapi juga mengetengahkan semangat, kenangan dan perjalanan masyarakat yang telah tumbuh bersama Masjid Sultan”.
“Kisah gambar dan refleksi dalam buku ini memberi generasi masa depan peluang untuk kenali peranan penting Masjid Sultan dalam kehidupan sosial dan keagamaan masyarakat Islam di Singapura,” tambah Dr Faishal lagi.
Masjid yang disifatkan Dr Faishal sebagai nadi Kampong Gelam itu bakal melalui fasa pembaharuan, selari dengan rancangan pembangunan semula kawasan berkenaan dalam beberapa tahun akan datang – usaha yang dijangka terus memperkukuh identitinya sebagai warisan nasional yang hidup.
“Pembangunan ini akan memastikan Kampong Gelam kekal meriah dan relevan, bukan sahaja untuk penduduk tempatan tetapi juga bagi pelawat dari seluruh dunia,” katanya.
Diiktiraf sebagai masjid paling ikonik di Singapura dan diwartakan sebagai Monumen Negara pada 1975, Masjid Sultan telah berdiri megah selama dua abad dalam kawasan Kampong Gelam.
Penerbitan buku tersebut menandakan detik penting dalam sejarahnya – menampilkan penyelidikan baru, lebih 10 semakan utama terhadap naratif sejarah yang sedia ada, serta dokumen era kolonial yang belum pernah diterbitkan.
Antara penemuan penting ialah bukti yang menunjukkan bahawa Sultan Hussein Shah mungkin telah mengarahkan pembinaan sebuah masjid kayu sederhana pada tahun 1819 — lima tahun lebih awal daripada tarikh rasmi yang sering dirujuk iaitu 1824.
Penemuan tersebut, yang berpaksikan rekod-rekod lama yang belum diterokai, memberikan perspektif baru terhadap peranan awal Sultan tersebut dan akar umbi masyarakat Islam di Singapura.
Buku tersebut juga mengupas peralihan kepimpinan masjid kepada pentadbir amanah masyarakat pada 1879, evolusi seni binanya kepada reka bentuk Indo-Saracenic pada 1928, serta penggunaan inovatif harta wakaf sebagai sumber kewangan mampan – satu model kepimpinan keagamaan berdikari yang jarang ditemui.
Para penyumbang terdiri daripada para ilmuwan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Iseas–Institut Yusof Ishak.
Antara mereka ialah ahli sejarah seni bina dan warisan, Dr Imran Tajudeen; Pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Dr Azhar Ibrahim Alwee, yang juga Timbalan Pengerusi MBMS; serta sasterawan Melayu tempatan, Profesor Madya Emeritus Hadijah Rahmat.
Sumbangan juga merangkumi pandangan keagamaan daripada Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan, dan Pengurus Masjid Sultan, Ustaz Dr Mohamed Qusairy Thaha.
Dalam ucapannya, Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Sultan, Encik Abdul Salim Ahmed Ibrahim, menyifatkan usaha merakamkan 200 tahun sejarah Masjid Sultan sebagai satu tanggungjawab besar yang kini berjaya direalisasikan melalui kerjasama penulis dan penyelidik yang berdedikasi.
“Sumbangan anda semua telah menghasilkan sebuah penerbitan yang bukan sahaja memelihara sejarah, tetapi juga memperkukuh jati diri kita dan menceritakan kisah-kisah yang belum pernah didengar tentang masyarakat kita dan keimanan mereka yang tidak berbelah bahagi untuk generasi akan datang,” kata Encik Salim.
Sempena sambutan itu, Masjid Sultan turut memperkenalkan logo dan slogan baru ‘Berbakti kepada Masyarakat’ (Serving the Community), yang menurut Encik Abdul Salim “mencerminkan komitmen masjid sebagai institusi yang sentiasa menyantuni jemaah, pengunjung dan masyarakat umum – daripada pemimpin negara sehingga orang ramai”.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, dan AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg