Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas guru Bahasa Melayu dipenjara atas kesalahan seksual terhadap murid

Nov 27, 2024 | 4:39 PM
Guru sekolah yang mengeksploitasi pelajar wanita dari umur 12 tahun dipenjara
Guru sekolah yang mengeksploitasi pelajar wanita dari umur 12 tahun dipenjara - Foto PIXABAY

Seorang guru yang sudah berkahwin dan melakukan pengantunan seksual (sexual grooming) terhadap muridnya di sekolah rendah, dan kemudian menganiayanya secara seksual ketika remaja itu di sekolah menengah, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dua bulan pada 22 November.

Lelaki itu, yang merupakan guru Bahasa Melayu mangsa, memintanya untuk menjadi teman wanita semasa beliau di Darjah 6 pada 2006, kata pendakwa raya.

Hubungan mereka berterusan apabila mangsa memasuki sekolah menengah, dan lelaki itu mula melakukan kesalahan seksual ke atasnya pada 2007, ketika remaja itu berusia sekitar 13 tahun.

Dalam prosiding awal, timbalan pendakwa raya Santhra Aiyyasamy dan Janessa Phua memberitahu mahkamah bahawa lelaki itu, kini berusia 51 tahun, mencium bibir remaja itu pada tahun itu dan meraba-raba bahagian sulit tubuhnya pada pakaiannya setahun kemudian.

Pada tahun 2009, antara lain, dia memaksanya melakukan perbuatan seksual terhadapnya sebelum dia melakukan seks terhadap remaja itu pada tahun berikutnya, sebelum hari lahirnya yang ke-16, tambah DPP.

Selepas perbicaraan, lelaki itu disabitkan dengan enam pertuduhan mengeksploitasi anak muda secara seksual dan dua pertuduhan perbuatan seksual ke atas individu bawah umur.

Dalam satu kenyataan pada Oktober, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata lelaki itu telah digantung dari tugasnya sejak Julai 2017, dan tidak lagi mengajar di mana-mana sekolah.

Butiran tentang lelaki itu, yang kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 2021, dan nama mangsa tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah untuk melindungi identiti mangsa.

Dalam hujahan mereka, DPP sebelum ini berkata: “Tertuduh mengeksploitasi ketidakseimbangan kuasa antara mereka dan melakukan pengantunan seksual terhadap mangsa... selepas menjalinkan hubungan dengan mangsa dan mendapat kepercayaannya.”

Remaja itu mempunyai “niat untuk mengahwini tertuduh sebagai isteri keduanya, walaupun tertuduh telah memaklumkan bahawa dia tidak sanggup menceraikan isterinya”.

Semasa perbicaraan, mangsa memberi keterangan bahawa dia mula berbual dengan mangsa melalui MSN Messenger pada 2006, semasa dia menjadi guru bahasa Melayunya.

Mereka berada di perpustakaan semasa dia menulis nombor telefon bimbitnya pada sekeping kertas dan memberikannya kepada mangsa.

Pada 6 Sept 2006, mereka berada di dalam makmal komputer apabila dia menunjukkan sekeping kertas dengan perkataan “Aku cinta padamu”.

Dokumen mahkamah menyatakan bahawa dia kemudian memintanya untuk menjadi teman wanitanya, dan mereka menjadi ‘pasangan’ pada tahun itu.

Mangsa memberi keterangan bahawa mereka berada di dalam kereta pada tahun 2007 apabila dia mencium bibirnya.

DPP berkata: “Dia menjelaskan bahawa dia mengingati kejadian ini dengan jelas kerana dia berasa seperti ‘tersedak’ kerana itu adalah kali pertama dia dicium.”

Mangsa juga memberi keterangan bahawa semasa beliau di Menengah 2 pada 2008, lelaki itu kadang-kadang menjemputnya selepas aktiviti kokurikulumnya.

Pendakwa raya menambah: “Mangsa memberikan keterangan kukuh tentang bagaimana eksploitasi seksual tertuduh terhadapnya menjadi lebih teruk.

“Selain mencium mangsa, tertuduh mula menyentuh (bahagian sulit) pada pakaiannya, dan (melakukan perbuatan seksual) di hadapannya selepas itu.”

Menurut mangsa, beliau mula melawat flatnya pada 2008.

DPP memberitahu mahkamah: “Beliau teringat bahawa tertuduh telah menegurnya kerana menyapanya terlalu kuat ketika memasuki flatnya, kerana dia bimbang jirannya akan dapat tahu.

“Dia juga terpaksa memakai baju sejuk untuk menutup pakaian sekolahnya seperti yang diarahkan oleh tertuduh.”

Pendakwa raya berkata dia akan melakukan perbuatan seksual terhadapnya di rumah, sambil menambah:

“Dia teringat satu kejadian ketika dia berbuat demikian, kerana dua anak perempuan tertuduh mengetuk pintu mencari bapa mereka.”

Mahkamah mendengar bahawa salah laku lelaki itu menjadi lebih teruk dan remaja itu kehilangan keperawanan apabila dia melakukan hubungan seksual ketika dia berusia 15 tahun pada November 2010.

Kesalahan itu terbongkar pada Mei 2017 apabila kakak mangsa terserempak dengan rakaman oleh remaja itu di mana beliau bercakap tentang kehilangan daranya.

Kakak dan bapa mereka membuat laporan polis tidak lama kemudian.

DPP berkata: “Mangsa langsung tidak berniat untuk membuat laporan polis... Mangsa menjelaskan jika beliau memaklumkan sesiapa tentang hubungannya dengan tertuduh, beliau bimbang tertuduh akan kehilangan pekerjaan.

“Dia malu untuk berkongsi tentang hubungannya dengan rakan-rakannya kerana perbezaan umur mereka... Selain kebimbangannya terhadap tertuduh, mangsa terlalu takut untuk meninggalkan tertuduh atau melaporkan kelakuan tidak wajarnya.”

Lelaki itu, yang diwakili peguam Steven John Lam dan Kenrick Lam, menafikan melakukan kesalahan itu dalam kesemua lapan pertuduhan.

Menurutnya, hubungan seksual antara mereka bermula hanya selepas remaja itu mencecah 16 tahun, usia yang sah dan dibenarkan di Singapura. Lelaki itu juga mendakwa bahawa remaja itu mempunyai motif palsu untuk mengaitkannya kerana dia enggan menceraikan isterinya dan mengahwininya.

Pada 22 November, mahkamah mendengar bahawa dia bercadang untuk merayu terhadap sabitan dan hukumannya. Ikat jaminnya telah ditetapkan pada $80,000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg