Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas guru dijel 9 bulan cuba lakukan kegiatan seksual dengan 3 remaja

Aug 12, 2025 | 4:50 PM
jail, ex-teacher, secondary school
Lelaki warga Singapura berusia 33 tahun itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan. - Foto ST

Seorang guru sekolah menengah, yang disifatkan pihak pendakwa sebagai ‘pemburu bersiri’, menyasarkan tiga remaja perempuan dalam kejadian berasingan dan cuba melakukan kegiatan seksual bersama mereka pada 2021.  

Mangsa termuda, ketika itu berusia 15 tahun, merupakan seorang pelajar di sekolahnya apabila lelaki tersebut mengumpannya ke sebuah bilik hotel. 

Dia kemudian meminta pelajar perempuan itu melakukan perbuatan seksual ke atasnya, namun pelajar tersebut enggan mematuhi.   

Dua lagi mangsa, berusia 16 dan 17 tahun ketika itu, telah menamatkan pengajian di sekolah tersebut sebelum menjadi sasaran guru terbabit.

Pada 11 Ogos, lelaki warga Singapura berusia 33 tahun itu, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa, dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan. 

Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), lapor The Straits Times (ST).   

Dia tidak lagi bekerja sebagai seorang guru. Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), dia telah berhenti kerja pada Mac 2022.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Bryan Wong memberitahu mahkamah lelaki itu telah ditugaskan ke sekolah tersebut pada 2017 dan pernah memberi nasihat kepada anggota majlis pelajar sekolah itu. 

Dia juga kerap menerima permintaan pelajar yang ingin mengikuti akaun Instagram peribadinya.  

Dia mengenali salah seorang mangsa kerana pernah mengajarnya ketika di Menengah 1.  

Mereka saling mengikuti satu sama lain di Instagram dan pelajar perempuan itu telah meninggalkan sekolah tersebut sebelum 2021. 

Pada April 2021, dia mula menghantar mesej berunsur seksual kepada remaja berkenaan.

DPP Wong berkata: “Pada bulan itu, tertuduh cuba untuk meminta mangsa, yang berusia 16 tahun, untuk melakukan perbuatan tidak senonoh... dengan berulang kali mengusulkan agar mereka menjalin hubungan – secara tidak langsung meminta agar mereka bertemu secara tetap untuk mengadakan hubungan seks.”  

Remaja itu menolak permintaannya dan menegaskan agar dia berhenti menghantar mesej sebegitu kepadanya.

Guru itu kemudian berhenti berbuat demikian, manakala mangsa memaklumkan seorang bekas guru daripada sekolah itu mengenai perbuatan lelaki tersebut.

Mangsa kedua mengenali lelaki itu ketika dia mengajarnya di Menengah 4. 

Mereka juga saling mengikuti di Instagram, dan pelajar itu menamatkan pengajian di sekolah tersebut pada 2021.  

Remaja tersebut turut menolak rayuan lelaki itu dan berhenti berhubung dengannya. 

Dia juga memaklumkan kepada seorang bekas guru daripada sekolah tersebut mengenai kelakuan lelaki itu.

Mangsa ketiga pula merupakan seorang anggota majlis pelajar berusia 15 tahun yang sering berinteraksi dengan lelaki itu di sekolah.

Dia mengajak remaja itu keluar pada 17 Oktober 2021, malah menempah bilik hotel di sebuah hotel di Tanjong Pagar.

Apabila mereka duduk di katil dan guru itu cuba menciumnya, remaja itu menolaknya dan memalingkan muka.

Dia juga enggan melakukan perbuatan seksual ke atas guru itu.

Menyedari remaja itu tidak selesa, guru tersebut tidak mendesaknya dan menghantarnya pulang ke rumah.

Namun, guru itu masih lagi mengirim pesanan berbaur seksual kepada remaja tersebut sehingga dia terdesak menutup akaun Instagramnya.

Pada awal 2022, guru itu meminta maaf kepada mangsa ketiga menerusi Telegram dan menjelaskan bahawa laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung mesej berbaur seksual yang dihantar kepada pelajar lain.

Beberapa hari selepas itu, mangsa ketiga memberitahu sekolahnya tentang peristiwa hitam yang melanda hidupnya.

DPP Wong menjelaskan di mahkamah kesan perbuatan guru itu menyebabkan mangsa ketiga tertekan sehingga selalu menangis di sekolah dan menelan pil tidur serta mengambil cuti sakit selama 30 hari bagi setiap penggal sekolah.

Guru itu telah meninggalkan sekolah tersebut pada Disember 2021.

Bayaran ikat jamin lelaki itu ditetapkan sebanyak $20,000 pada 11 Ogos, dan dia dijangka menjalani hukuman penjara mulai 1 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg