Bekas guru hadapi 26 tuduhan, lakukan seks dengan kanak-kanak
Bekas guru hadapi 26 tuduhan, lakukan seks dengan kanak-kanak
Seorang bekas guru wanita berdepan lebih 20 tuduhan, didakwa melakukan perbuatan seksual dengan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak lelaki bawah umur dalam rentetan kejadian sepanjang 2023.
Buat masa ini, maklumat samar, memandangkan semua butiran tentang kanak-kanak lelaki yang disebut atau mangsa lain telah disunting daripada dokumen mahkamah, menjadikannya sukar untuk memastikan sama ada seorang atau lebih mangsa terlibat.
Dokumen tersebut juga tidak mendedahkan hubungan wanita tersebut dengan mangsa yang didakwa.
Kes yang melibatkan wanita berusia 40 tahun itu – yang tidak boleh dinamakan atas perintah sekatan demi keselamatan mangsa – dibentangkan di Mahkamah Daerah pada 2 Mac.
Turut berkuat kuasa adalah perintah sekatan ke atas butiran sekolah tertentu, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Secara keseluruhannya, wanita itu menghadapi 26 tuduhan, termasuk meminta kanak-kanak melakukan perbuatan lucah, melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak lelaki bawah umur, dan cuba menghalang proses keadilan.
Setiap tuduhan berkaitan seks dikatakan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki, yang ketika itu berusia bawah 16 tahun.
Menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST) pada 3 Mac, Kementerian Pendidikan (MOE) berkata wanita tersebut digantung tugas pada November 2023 dan sejak itu telah ditamatkan perkhidmatan.
Seorang jurucakap MOE menambah: “Kami memandang serius terhadap salah laku kakitangan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang gagal mematuhi piawaian kelakuan dan disiplin kami, termasuk pemecatan daripada perkhidmatan.”
Antara Mac dengan September 2023, wanita itu didakwa meminta seorang kanak-kanak lelaki bawah umur menghantar gambar bogel kepadanya, permintaan yag dipatuhi kanak-kanak itu.
Dia juga didakwa terlibat dalam panggilan video dengan seorang kanak-kanak lelaki bawah umur ketika kededua mereka sedang mandi.
Wanita itu didakwa melakukan hubungan seks dengan seorang kanak-kanak lelaki bawah umur di dalam kereta pada awal Mac 2023.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan serupa dengan sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak lelaki bawah umur dalam beberapa kejadian antara April dengan September 2023.
Sekitar 25 dan 26 Oktober 2024, wanita itu didakwa melakukan perbuatan yang boleh menghalang proses keadilan dengan memadam beberapa mesej teks daripada sebuah peranti elektronik.
Wanita itu diwakili oleh peguam, Encik Kalidass Murugaiyan dan Encik Kanthan Raghavendra daripada Kalidass Law Corporation.
Sesi praperbicaraan bagi kes itu dijadualkan berlangsung pada April.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat kes lain yang turut melibatkan seorang wanita didakwa melakukan perbuatan seks dengan kanak-kanak lelaki bawah umur.

