Seorang guru prasekolah telah menendang dengan kuat dan mencederakan tulang kering seorang murid berusia empat tahun kerana dia menyangka murid itu menyebabkan dia hampir terjatuh.
Alamelu Paramaguru kemudian memarahi kanak-kanak perempuan tersebut ketika murid itu memeluk kakinya yang kesakitan.
Alamelu, yang pada mulanya tidak mengakui perbuatannya, didakwa selepas penyiasat melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut pada April 2024, lapor The Straits Times (ST).
Pada 19 Ogos, warga Singapura berusia 57 tahun itu, yang tidak lagi bekerja sebagai guru prasekolah, dihukum penjara empat hari setelah mengaku bersalah pada Julai atas dakwaan menganiaya kanak-kanak itu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Koo Zhi Xuan berkata Alamelu pada mulanya tidak mengakui perbuatannya.
Beliau juga berkata wanita itu telah memarahi kanak-kanak tersebut, yang sedang kesakitan, selepas menendangnya.
Bagaimanapun, Hakim Daerah Koo menambah bahawa beliau sedar Alamelu “sedang menghadapi kesukaran” sebelum melakukan kesalahan tersebut dan sedang berdepan dengan “persekitaran yang memberi tekanan tinggi” ketika menguruskan kelas yang terdiri daripada sekitar 15 kanak-kanak.
Dalam prosiding terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Timotheus Koh memberitahu mahkamah bahawa Alamelu sedang mempersiapkan waktu tidur murid-muridnya sebelum melakukan kesalahan itu sekitar tengah hari pada 2 April 2024.
Alamelu sedang memindahkan katil budak ke satu sudut kelas apabila dia “rasa yang dia hampir disandung oleh mangsa yang sedang duduk di lantai, walaupun (Alamelu) sebenarnya tidak terjatuh atau tersandung,” kata pendakwa itu.
“Tertuduh marah dan menendang tulang kering mangsa dengan kuat sambil memarahi dan memekik supaya mangsa duduk dengan betul,” katanya.
Pada 5.40 petang hari yang sama, apabila ibu kanak-kanak itu mengambilnya dari prasekolah, kanak-kanak itu mengadu Alamelu telah menendangnya dan lebam kelihatan pada kaki anaknya.
Oleh kerana Alamelu telah pulang, ibu itu berbincang dengan rakan-rakan sekerja Alamelu yang berkata mereka akan memaklumkan pengetua.
Ibu tersebut membuat laporan polis pada malam itu dan membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH). Kanak-kanak itu diberi cuti sakit dua hari.
Alamelu kemudian memberitahu penyiasat bahawa dia “tidak ingat apa yang berlaku”.
Dia juga mendakwa bahawa kakinya mungkin “tidak sengaja” menyentuh kaki mangsa.
Bagaimanapun, kamera CCTV di dalam kelas merakam perbuatan Alamelu dan dia kemudian didakwa di mahkamah.
Pada 19 Ogos, peguam bela Jonathan Wong memberitahu mahkamah beliau berharap denda boleh dipertimbangkan untuk Alamelu, tetapi menambah wanita itu bersedia menerima apa jua hukuman yang dijatuhkan mahkamah.
Encik Wong berkata anak guamnya, yang satu matanya buta, telah bekerja dalam bidang penjagaan kanak-kanak selama lebih 30 tahun dan kesalahan itu adalah kejadian yang berlaku satu kali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg