Seorang bekas guru prasekolah dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan dua minggu pada 28 Julai atas kesalahan menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 20 bulan tersandung empat kali.
Dalam satu kejadian, tindakan Saiidah Kamarudin, 34 tahun, menyebabkan kanak-kanak itu terjatuh sehingga wajahnya tersembam ke lantai dan hidungnya berdarah.
Ibu dua orang anak itu mengaku bersalah pada Jun atas satu tuduhan menganiaya kanak-kanak tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Tan Jen Tse menyatakan kanak-kanak itu tidak dapat menyatakan dengan jelas apakah yang telah dilakukan oleh tertuduh terhadapnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Saiidah terus-menerus dengan tindakannya, dan hanya berhenti menyebabkan kanak-kanak itu tersandung hanya apabila mangsa cedera.
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheah Wenjie, memberitahu mahkamah wanita itu melakukan kesalahan tersebut tidak lama selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 12 Oktober 2023.
Pada 6 November 2023, Saiidah ditugaskan membantu menjaga sekumpulan kanak-kanak termasuk mangsa.
Tidak lama sebelum 12.30 tengah hari, dia membawa kanak-kanak perempuan itu ke kawasan tandas.
Semasa membersihkan muka kanak-kanak itu, Saiidah meluruskan kaki kanannya dan menggerakkan ia ke kiri dan ke kanan dan terkena kaki kiri kanak-kanak itu. Walau tersandung, dia tidak jatuh.
Saiidah kemudian menyandung mangsa sekali lagi, menyebabkan kanak-kanak itu jatuh ke belakang.
Dia mengangkat mangsa dan terus membersihkan mukanya.
Ketika hendak keluar dari kawasan tandas, Saiidah, yang berada di belakang budak itu, menggunakan cara yang sama untuk menyandung budak itu buat kali ketiga.
Kanak-kanak itu tersandung ke depan, tetapi tidak jatuh.
Pada 12.30 tengah hari, Saiidah sekali lagi menyandung mangsa. Kali ini, budak itu tersungkur dan mula menangis.
Saiidah mengangkatnya, dan seorang lagi guru yang mendengar tangisannya datang untuk memeriksa keadaan mangsa.
Pada Jun, pendakwa raya menyatakan:
“Pada masa itu, mangsa mengalami pendarahan dari lubang hidung kanan dan terdapat lebam di bawah hidungnya.”
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah merakam tindakan Saiidah melakukan kesalahan tersebut.
Pada 8 November 2023, ibu bapa mangsa membawanya ke doktor dan laporan perubatan kemudian menyatakan bahawa kanak-kanak itu mengalami lebam ringan di bawah lubang hidungnya.
Perkhidmatan Saiidah di tadika itu berakhir pada 14 November 2023, dan dia ditangkap pada 18 April 2024.
Pada 28 Julai, pendakwa raya memohon hukuman penjara selama setahun dan empat bulan, dengan menekankan kes itu melibatkan mangsa yang mudah terjejas iaitu berusia 20 bulan pada waktu kejadian.
Peguam bela, Encik Deepak Natverlal, berkata Saiidah menyesali perbuatannya dan tidak dapat menjelaskan sebabnya, serta berasa tempat kerjanya kurang memberi tumpuan kepada kepentingan kanak-kanak.
Jaminan ditetapkan pada $15,000 dan dia dijangka memulakan hukuman pada 18 Ogos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg