Pemeriksaan penyakit batuk kering, atau tuberkulosis (TB), dijalankan di dua prasekolah selepas seorang individu yang bekerja di kedua-dua premis itu disahkan menghidap penyakit disebabkan bakteria tersebut.
Menjawab pertanyaan media pada 13 Ogos, Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), berkata pihaknya dimaklumkan pada 15 Julai mengenai diagnosis positif seorang kakitangan yang bekerja di MapleBear Toa Payoh dan cawangan MindChamps PreSchool di East Coast.
Agensi itu kemudian memulakan pengesanan kontak bagi “memastikan pengesanan dan rawatan awal, serta membendung penularan TB,” sambil menambah bahawa lawatan ke lokasi telah dijalankan untuk menentukan individu yang perlu menjalani pemeriksaan.
CDA berkata hanya individu yang mempunyai hubungan “rapat dan berpanjangan” dengan kakitangan berkenaan perlu menjalani pemeriksaan, termasuk kanak-kanak dan kakitangan prasekolah.
Pemeriksaan di MindChamps PreSchool telah dijalankan pada 13 Ogos, manakala pemeriksaan berasingan di MapleBear Toa Payoh dijadualkan pada 15 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
CDA menjelaskan bahawa terdapat jarak masa antara pendedahan kepada kakitangan tersebut dengan pelaksanaan pemeriksaan, kerana tubuh manusia mengambil masa beberapa minggu untuk membentuk tindak balas imun yang boleh dikesan.
Pemeriksaan kedua yang dijadualkan pada pertengahan September akan dijalankan di MapleBear Toa Payoh, 10 minggu selepas tarikh pendedahan terakhir kepada kakitangan yang dijangkiti TB itu.
Menurut CDA, langkah itu selaras dengan garis panduan kebangsaan dan antarabangsa serta bertujuan mengenal pasti individu yang dijangkiti tetapi mungkin tidak dikesan semasa pemeriksaan pertama.
Namun, cawangan MindChamps PreSchool di East Coast hanya akan melalui satu pemeriksaan kerana tempoh pendedahan yang berbeza, jelas CDA.
Mengenai status kakitangan yang dijangkiti, CDA berkata individu tersebut beransur pulih, masih menerima rawatan dan penyakitnya tidak lagi menular kepada orang lain.
Agensi itu menjelaskan bahawa penyakit TB aktif biasanya tidak lagi menular dalam tempoh dua minggu selepas individu yang dijangkiti memulakan rawatan, sambil menambah bahawa penyakit ini bersifat endemik di Singapura, iaitu kekal berterusan dalam masyarakat.
“TB boleh diubati dan penularannya boleh dicegah. Individu yang membawa TB yang tidak aktif tidak menunjukkan gejala dan tidak boleh menularkan penyakit itu kepada orang lain.
“Ibu bapa kepada kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai kontak rapat perlu mengikut arahan untuk pemeriksaan bagi anak mereka dan menjalani rawatan jika perlu.
“Kanak-kanak tersebut selamat meneruskan kegiatan harian seperti biasa kecuali jika dinasihatkan sebaliknya.
“Anggota keluarga mereka yang tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat tidak perlu mengambil sebarang langkah berjaga-jaga yang khusus,” kata CDA.
Bagi mereka yang memerlukan ubat pencegahan bagi mengurangkan risiko menghidap TB, CDA berkata ia akan mengatur janji temu dan x-ray dada di Pusat Pemeriksaan TB Nasional untuk individu berkenaan.
Seorang jurucakap Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) berkata pihaknya dimaklumkan pada 17 Julai mengenai diagnosis TB tersebut.
Jurucakap itu menambah bahawa apabila terdapat kes penyakit yang diketahui atau disyaki, prasekolah perlu memaklumkan ECDA, ibu bapa dan CDA dengan segera.
Prasekolah berkenaan juga perlu melaksanakan langkah pembersihan dan pembasmian kuman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg