Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mengapa masih ada yang tidak hantar anak ke prasekolah?

Pakar: Cabaran kewangan, tuntutan kerja main peranan; ada yang enggan ‘alih tanggungjawab’ keibubapaan kepada prasekolah
Jul 19, 2025 | 5:30 AM
kanak-kanak, prasekolah, tidak hantar
Kanak-kanak sekolah tadika My First Skool menyaksikan jurulatih meletakkan satu alat dalam kandang musang di Taman Haiwan pada Mei 2015. Lawatan itu adalah sebahagian daripada inisiatif pendidikan untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun dan adalah kerjasama antara Mandai Wildlife Group dengan NTUC First Campus. Singapura mempunyai antara kadar penyertaan prasekolah yang tertinggi di dunia, namun 10 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dan 7 peratus yang berusia lima hingga enam tahun di sini tidak didaftar bagi prasekolah. Ini menyebabkan kanak-kanak itu terlepas pengalaman dan pendidikan yang penting dalam tahun-tahun pembangunan mereka. - Foto ST

Ramai rakan-rakan Cik Sara yang juga ibu bapa, sudah pun menghantar anak mereka ke prasekolah seawal usia tiga tahun.

Namun, bagi Cik Sara, beliau merasakan bahawa anaknya yang berusia empat tahun terlalu kecil untuk dipisahkan daripada beliau.

Malah, beliau menganggap tugas mengasuh dan mendidik anak itu adalah tanggungjawabnya sebagai ibu dan tidak boleh dialihkan kepada orang lain.

Ini walaupun beliau akur masa beliau untuk mendidik anaknya itu kini terpaksa dibahagikan dengan tanggungjawabnya terhadap dua anaknya yang lain yang lebih kecil.

Justeru, beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak-anaknya, menambahkan beban kewangan keluarga yang kini terpaksa bergantung pada satu-satunya pendapatan suami yang bertugas sebagai pemandu penghantaran di syarikat logistik.

Cik Sara sebenarnya tidak wujud, namun cabaran yang dihadapinya dan tindakan beliau adalah nyata dan dikongsi pelbagai ibu bapa yang masih enggan atau tidak berdaya untuk menghantar anak-anak mereka ke prasekolah, menurut beberapa pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).

Dilema yang dialami ibu bapa sebegini biasanya berputik daripada cabaran kewangan dan pekerjaan serta kepercayaan peribadi dan sekali pandang, mungkin boleh disifatkan sebagai kurang munasabah – seperti ibu bapa yang enggan mendapatkan sokongan untuk menghantar anak ke sekolah untuk mendapat pendidikan walaupun kurang berdaya untuk berbuat demikian dan akur peri penting sekolah.

Di Singapura yang mempunyai antara kadar penyertaan prasekolah yang tertinggi di dunia, kisah ibu bapa seperti ini mungkin kurang menyerlah.

Menurut Laporan Trend Keluarga 2025 Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) yang dikeluarkan baru-baru ini, kadar pendaftaran kohort (CER) prasekolah bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun meningkat dengan ketara kepada 90 peratus pada 2024 – jauh lebih tinggi daripada 76 peratus sedekad lalu pada 2014.

Bagi kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun pula, walaupun sederhana, kadar itu turut menyaksikan peningkatan daripada 91 peratus kepada 93 peratus dalam tempoh yang sama.

Namun di sebalik perangkaan menggalakkan itu, masih terdapat sebahagian segmen kanak-kanak yang tidak menghadiri prasekolah – 10 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun, dan 7 peratus yang berusia lima hingga enam tahun tidak didaftar bagi prasekolah.

Lebih mencetus keprihatinan, kadar pendaftaran prasekolah untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah lebih rendah (lapan dalam 10 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun) jika dibandingkan dengan purata nasional (9 dalam 10 kanak-kanak), menurut MSF, menjawab pertanyaan BH.

SEBAB-SEBAB ANAK TIDAK DIHANTAR KE SEKOLAH

Pakar dan rangkaian prasekolah yang dihubungi BH berkata terdapat pelbagai sebab mengapa ibu bapa tidak mendaftarkan anak mereka untuk prasekolah, termasuk faktor sosioekonomi.

Ketua Pegawai Pembangunan dan Sokongan Kanak-Kanak di NTUC First Campus, Cik Coreen Soh, berkata berdasarkan pengalaman mereka bekerja rapat dengan keluarga, antara halangan dalam menghantar anak ke prasekolah termasuk tekanan kewangan, jadual kerja yang tidak menentu, dan isu logistik dalam menghantar anak ke sekolah.

Selain itu, ibu bapa juga mungkin mempunyai tanggungjawab penjagaan lain, atau kurang kesedaran tentang peri pentingnya pendidikan prasekolah.

Ada juga ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak ke prasekolah disebabkan masalah kesihatan, kata Cik Norliza Amin, Ketua, Operasi dan Jaminan Mutu dari Pusat Penjagaan dan Pembangunan Kanak-Kanak Kidz Meadow.

“Keprihatinan kesihatan jangka panjang boleh menjejas keupayaan ibu bapa untuk menguruskan penghantaran dan pengambilan anak dari sekolah setiap hari,” kata beliau.

Sementara itu, Cik Nur Hidayah Hashim, pengamal KidSTART, berkata ada ibu bapa juga mungkin rasa bimbang apabila berpisah dengan anak mereka.

“Mereka bimbang tentang bagaimana anak mereka akan berinteraksi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, dan bagaimana anak mereka akan bertindak apabila menghadapi konflik atau kecederaan di sekolah.

“Mereka juga bimbang anak mereka akan jatuh sakit. Kebimbangan ini diperkuatkan lagi oleh maklum balas daripada rakan-rakan dipercayai mereka,” kata beliau.

MANFAAT PERGI PRASEKOLAH NYATA TETAPI...

Namun, manfaat kanak-kanak yang menghadiri prasekolah diketahui dan adalah penting bagi tahun-tahun pembangunan mereka.

“Pengalaman prasekolah yang bermutu memainkan peranan penting dalam membangunkan keyakinan, kemahiran sosioemosi dan persediaan anak untuk sekolah rendah.

“Kanak-kanak yang terlepas (pengalaman prasekolah) boleh menghadapi peralihan lebih mencabar ke persekolahan formal, ketinggalan di belakang rakan sebaya mereka daripada mula, atau mengalami kelewatan pembangunan yang sepatutnya boleh ditangani lebih awal,” kata Cik Soh.

Namun, di luar isu pendaftaran, isu kerap ponteng sekolah juga menjadi satu keprihatinan utama bagi mereka yang sudah menghantar anak ke prasekolah, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, telah menyatakan di Parlimen pada 2024 bahawa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah yang didaftar dalam prasekolah di bawah Skim Pengendali Utama (AOP) mempunyai kadar kehadiran bulanan sekitar 72 peratus.

Ini lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar kehadiran 79 peratus oleh rakan sebaya mereka daripada keluarga berpendapatan pertengahan.

Pengurus Besar Oaks Plus, Encik Bakar Alsagoff, berkongsi bahawa kadar ketidakhadiran yang tinggi sering kali berpunca daripada faktor tekanan sosioekonomi.

“Ibu bapa yang bekerja waktu tidak menentu, mempunyai pekerjaan tidak stabil, atau mengimbangi pelbagai tanggungjawab penjagaan sering kali menghadapi halangan logistik yang menjadikan kehadiran prasekolah yang konsisten mencabar.

“Bagi keluarga yang tinggal di flat sewa, kekerapan berpindah mengganggu rutin harian dan menambahkan cabaran mewujudkan kehadiran yang konsisten,” kata beliau.

SOKONGAN YANG DISEDIAKAN

Perbuatan ibu bapa yang tidak mendaftar atau menghantar anak ke prasekolah ini kadangkala sukar difahami, memandangkan terdapat pelbagai sokongan – daripada subsidi yuran, tambang pengangkutan dan lain-lain lagi yang ditawarkan oleh pemerintah dan pertubuhan kebajikan di Singapura, kata pakar.

Dan ia juga bukan satu isu kapasiti, memandangkan jurucakap MSF memberitahu BH terdapat sekitar 220,000 tempat prasekolah sepenuh hari pada masa ini – cukup untuk memenuhi keperluan setiap anak warga negara berusia tiga tahun dan ke atas.

Jurucakap MSF berkata pemerintah telah membuat pelaburan besar dalam memperluaskan akses kepada prasekolah yang boleh dimampui dan bermutu, serta meningkatkan usaha mendekati ibu bapa bagi menggalak mereka mendaftarkan anak ke prasekolah.

Antaranya, pemerintah telah melanjutkan subsidi prasekolah maksimum berdasarkan tahap pendapatan untuk memastikan yuran sekolah boleh dimampui keluarga bergaji rendah.

Contohnya, keluarga dengan pendapatan isi rumah $3,000 dan ke bawah setiap bulan hanya perlu bayar $3 sebulan untuk penjagaan kanak-kanak sepenuh hari di prasekolah AOP dan Pengendali Rakan Kongsi (POP).

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada Mac 2025, MSF telah mengumumkan bahawa mulai Januari 2026, had yuran bagi penjagaan kanak-kanak sepenuh hari akan dikurangkan sebanyak $30 kepada $610 bagi prasekolah AOP dan $650 bagi prasekolah POP, tidak termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dalam langkah memastikan prasekolah boleh dimampui.

Dari 2025 hingga 2029, pemerintah juga akan bekerjasama dengan prasekolah AOP untuk menambahkan hampir 40,000 tempat baru bagi penjagaan bayi dan kanak-kanak.

Menjelang akhir 2025, sasaran bagi 80 peratus kanak-kanak mempunyai tempat dalam prasekolah disokong pemerintah akan tercapai – naik daripada 50 peratus pada 2019.

Yuran prasekolah di Singapura boleh berjumlah dari sekitar $160 hingga lebih $3,000 sebulan, bergantung pada faktor seperti jenis sekolah dan program.

Misalnya, prasekolah di bawah AOP seperti PCF Sparkletots Preschool mengenakan yuran sekitar $700 sebulan untuk program penjagaan kanak-kanak dan sekitar $164 sebulan untuk tadika sebelum subsidi.

Prasekolah di bawah POP, seperti 7Oaks Preschool pula mengenakan yuran daripada $680 hingga $714 sebulan untuk program penjagaan kanak-kanak.

Prasekolah AOP dan POP menerima sokongan pembiayaan oleh pemerintah dalam menyediakan khidmat pendidikan awal kanak-kanak yang bermutu dan boleh dimampui, dengan prasekolah AOP mendapat sokongan lebih tinggi. Ini bermakna, ibu bapa boleh menjangka membayar harga amat dimampui, kadang-kala di bawah

Jurucakap MSF menambah bahawa Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) juga telah mereka pencarian prasekolah baru di laman LifeSG untuk membolehkan ibu bapa mencari prasekolah dengan tempat kosong dan menghubungi sekolah itu langsung bagi pendaftaran.

Di bawah inisiatif ComLink+ dan Program Pendekatan Prasekolah pula, pembimbing keluarga dan pekerja pendekatan prasekolah secara proaktif mendekati ibu bapa bergaji rendah yang mempunyai anak-anak kecil untuk membantu mereka memahami peri pentingnya prasekolah.

Ini selain menggalak dan mempermudahkan usaha bagi mereka mendaftarkan anak untuk prasekolah menjelang usia tiga tahun.

ComLink+ merupakan program yang menyediakan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah, terikat dengan syarat termasuk mendapat pekerjaan yang stabil, mendaftarkan kanak-kanak di prasekolah, membayar hutang dan menabung untuk membeli rumah.

Kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah juga diberikan keutamaan apabila mendaftar di Tadika Kementerian Pendidikan (MOE) dan prasekolah di bawah AOP, kata jurucakap MSF.

“Demi memastikan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah meraih manfaat sepenuhnya pendidikan prasekolah, lebih banyak sumber juga telah disediakan kepada prasekolah AOP terpilih di bawah satu program perintis.

“Sumber tambahan ini akan digunakan untuk memberikan kanak-kanak sokongan pembelajaran tambahan dan menyokong keluarga dengan cabaran menghantar anak mereka ke prasekolah secara kerap,” tambah jurucakap itu.

Selain itu, pelbagai inisiatif diadakan dalam usaha membantu ibu bapa yang menghadapi cabaran menghantar anak ke sekolah.

Contohnya, NTUC First Campus telah melancarkan Inisiatif Sokongan Kehadiran di lapan pusat My First Skool mereka untuk mempertingkat kehadiran prasekolah dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah.

Di bawah inisiatif itu, eksekutif sokongan keluarga bekerja rapat dengan ibu bapa dan penjaga untuk menggalak kehadiran prasekolah yang konsisten.

Inisiatif itu telah menyokong lebih 930 kanak-kanak sejauh ini dan telah menunjukkan kadar kehadiran yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak tersebut, kata Cik Soh.

Di Kidz Meadow pula, mereka antara lain membantu menghubungkan ibu bapa dengan keluarga lain yang tinggal berdekatan untuk membolehkan mereka membuat aturan jangka pendek bersama untuk membantu menghantar anak ke sekolah.

Kidz Meadow juga memberi fleksibiliti dalam kehadiran, kata Cik Norliza.

“Contohnya, kanak-kanak yang tiba pada 11 pagi tetap diterima kedatangannya, dan guru akan mengukuhkan isi penting pembelajaran semasa sesi kumpulan kecil,” tambah beliau.

Bagi ibu bapa yang risau tentang perpisahan dengan anak, Cik Hidayah dari KidSTART berkata pihaknya akan mengajak ibu bapa meneroka isu itu dari sudut pandangan berbeza.

Sebagai contoh, meskipun ibu bapa bimbang tentang anak menghadapi konflik ketika bermain di sekolah, mereka akan menjelaskan bahawa ini adalah peluang bagi anak itu belajar tentang cara berkongsi dan menanti giliran dengan rakan ketika bermain.

“Kami juga berkongsi maklumat tentang bagaimana kanak-kanak mempunyai sistem imun lemah, dan walaupun mereka boleh dijangkakan jatuh sakit pada permulaan sekolah, ia juga memberi mereka peluang membina sistem imun.

“Apabila ibu bapa lebih mengetahui tentang mengapa sesetengah perkara berlaku dan bagaimana mereka boleh mengendalikannya, mereka akan rasa lebih diperkasa untuk membuat keputusan dan mengimbangi kedua-dua perspektif,” kata beliau.

TIBA MASA JADIKAN PRASEKOLAH MANDATORI?

Namun begitu, meskipun terdapat banyak sokongan dan inisiatif disediakan, masih terdapat keprihatinan bahawa sebahagian ibu bapa tetap tidak akan mendaftarkan anak mereka untuk prasekolah apabila tiba masanya.

Ini menimbulkan persoalan apakah pendidikan prasekolah harus dijadikan wajib seperti mana pendidikan sekolah rendah adalah wajib di bawah Akta Pendidikan Wajib negara ini.

Beberapa negara, seperti Sweden dan Latvia, sudah pun menjadikan pendidikan prasekolah mandatori untuk setahun atau dua sebelum kanak-kanak memasuki sekolah rendah.

Ditanya jika langkah sedemikian harus dilaksanakan di Singapura, pensyarah kanan dalam pendidikan awal kanak-kanak dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura, Dr G Kaveri, berkata adalah penting untuk mengiktiraf kepelbagaian nilai-nilai, pengalaman dan keadaan keluarga, serta pilihan penjagaan.

“Contohnya, sesetengah keluarga mungkin lebih memilih untuk menjaga anak-anak mereka sendiri, terutamanya dalam tahun-tahun awal, disebabkan keperluan pembangunan individu,” kata beliau.

Encik Bakar dari Oaks Plus pula berkata daripada mengambil langkah kawal selia, usaha lebih besar boleh dilakukan dalam menyokong dan membantu ibu bapa menguruskan cabaran sebenar yang dihadapi.

“Ini harus dilakukan melalui empati dan bukan penguatkuasaan. Langkah memperkukuh sistem sokongan dan mendekati keluarga dengan empati adalah laluan yang lebih mampan ke hadapan,” kata beliau.

MSF dalam jawapannya kepada BH berkata daripada dasar luas untuk menjadikan prasekolah mandatori, pendekatan mereka adalah untuk memastikan akses kepada khidmat pendidikan awal yang boleh dimampui dan bermutu.

“Bersama dengan pendekatan proaktif dan bantuan disasarkan untuk memudahkan pendaftaran kanak-kanak untuk prasekolah, kami menangani halangan praktikal terhadap perkhidmatan prasekolah yang dihadapi keluarga, daripada mengenakan kewajipan undang-undang ke atas mereka untuk menghantar anak ke prasekolah,” kata jurucakap kementerian.

“Mereka (ibu bapa) bimbang tentang bagaimana anak mereka akan berinteraksi dengan orang dewasa dan kanak-kanak lain, dan bagaimana anak mereka akan bertindak apabila menghadapi konflik atau kecederaan di sekolah. Mereka juga bimbang anak mereka akan jatuh sakit. Kebimbangan ini diperkuatkan lagi oleh maklum balas daripada rakan-rakan dipercayai mereka.”
Cik Nur Hidayah Hashim, pengamal KidSTART.

“Pengalaman prasekolah yang bermutu memainkan peranan penting dalam membangunkan keyakinan, kemahiran sosioemosi dan persediaan anak untuk sekolah rendah. Kanak-kanak yang terlepas (pengalaman prasekolah) boleh menghadapi peralihan lebih mencabar ke persekolahan formal, ketinggalan di belakang rakan sebaya mereka daripada mula, atau mengalami kelewatan pembangunan yang sepatutnya boleh ditangani lebih awal.”
Cik Coreen Soh, Ketua Pegawai Pembangunan dan Sokongan Kanak-Kanak di NTUC First Campus.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg