Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas guru prasekolah mengaku sandung budak hingga terjatuh

Jun 17, 2025 | 3:45 PM
Saiidah Kamarudin, abuse
Pada 16 Jun, Saiidah Kamarudin, 34 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendera budak. - Foto ST

Seorang guru prasekolah telah menyandung seorang budak perempuan berusia 20 bulan sebanyak empat kali menggunakan kaki kanannya dengan sengaja, menyebabkan dia tersungkur dalam salah satu insiden dan mengalami pendarahan dari hidung.

Pada 16 Jun, Saiidah Kamarudin, 34 tahun, yang kini tidak lagi bekerja di prasekolah itu, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mendera budak tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cheah Wenjie memberitahu mahkamah bahawa Saiidah melakukan kesalahan itu tidak lama selepas dia mengemukakan surat peletakan jawatannya pada 12 Oktober 2023.

Butiran mengenai prasekolah itu dipadam daripada dokumen mahkamah.

Pada 6 November 2023, Saiidah ditugaskan membantu menjaga sekumpulan kanak-kanak termasuk mangsa.

Beberapa minit sebelum 12.30 tengah hari, Saiidah membawa budak perempuan itu ke kawasan tandas untuk membersihkannya.

DPP Cheah berkata: “Semasa membersihkan muka mangsa, tertuduh menggerakkan kaki kanannya, lalu terkena kaki kiri mangsa... Akibat tersandung, mangsa hilang imbangan seketika tetapi tidak terjatuh.”

Saiidah kemudian menggunakan kaki yang sama untuk menyandung budak itu buat kali kedua, menyebabkan mangsa terjatuh ke belakang dan terkena lantai.

Saiidah mengangkat budak itu dan terus membersihkan mukanya dengan tisu.

Ketika hendak keluar dari kawasan tandas, Saiidah, yang berada di belakang budak itu, menggunakan cara yang sama untuk menyandung budak itu buat kali ketiga. Mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa tersengguk ke hadapan tetapi tidak terjatuh.

Budak itu berjaya mengimbangi dirinya semula dan terus berjalan ke hadapan.

Pada 12.30 tengah hari, Saiidah sekali lagi menyandung mangsa. Kali ini, budak itu tersungkur dan mula menangis.

Saiidah mengangkat budak itu, dan seorang lagi guru yang mendengar tangisannya datang untuk memeriksa keadaan mangsa.

“Ketika itu, mangsa mengalami pendarahan dari lubang hidung kanannya dan terdapat kesan lebam di bawah hidung mangsa,” kata DPP Cheah.

Guru berkenaan kemudian mengambil mangsa daripada Saiidah, memberikan pertolongan cemas dan menidurkan mangsa. Selepas bangun tidur, wajah sebelah kanan mangsa kelihatan bengkak.

Menurut DPP Cheah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah menunjukkan perbuatan Saiidah.

Pada 8 November 2023, ibu bapa mangsa membawa anak mereka berjumpa doktor dan laporan perubatan menunjukkan terdapat lebam ringan di bawah lubang hidung kanak-kanak itu.

Bapa mangsa membuat laporan polis dua hari kemudian kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan pihak prasekolah.

Beliau juga meminta untuk melihat rakaman CCTV insiden tersebut.

Pihak pendakwa memaklumkan bahawa pekerjaan Saiidah tamat pada 14 November 2023 dan beliau ditangkap pada 18 April 2024.

Perbicaraan mitigasi dan hukuman dijadualkan berlangsung pada 28 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg