Walaupun sibuk menguruskan perniagaan dari rumah selama lima hari seminggu, Cik Zakiyah Rosli, 39 tahun, tetap menyumbang masa sebagai sukarelawan di prasekolah anaknya.
Antaranya termasuk menyertai pelbagai aktiviti di sekolah anaknya itu, dengan matlamat beliau dapat mengekalkan hubungan rapat dengan para guru.
“Beberapa kegiatan yang saya sertai di sekolah anak saya itu termasuk pengagihan oren kepada para pelajar semasa Tahun Baru Cina, selain mengajar kanak-kanak tentang budaya Melayu.
“Penglibatan sebegini membolehkan saya berinteraksi rapat dengan guru-guru di sana dan dapat maklum balas tentang anak saya secara langsung,” kata Cik Zakiyah.
Baginya hasil hubungan rapat sedemikian menyaksikan perubahan yang lebih positif dalam sikap anaknya, Muhammad Zuhair Nur Muhammad, enam tahun.
“Saya dapat lihat anak saya kini mengamalkan nilai saling berkongsi dan berharmoni dengan kaum lain.
“Daripada seorang yang sering berdiam diri dan enggan berbual dengan yang lain, dia juga kini lebih yakin melakukan tugasan di sekolah,” tambah beliau.
Semangat keterlibatan seperti inilah yang ingin diiktiraf melalui inisiatif baru dinamakan ‘Ibu Bapa kita yang Hebat’ yang dilancarkan pada 11 Mei di Pantai Siloso.
Dianjurkan Preschool Market (PSM) yang merupakan sebuah syarikat runding cara pendidikan dengan sokongan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM), inisiatif ini bertujuan menghargai ibu bapa yang bekerjasama erat dengan para pendidik dalam menyokong perkembangan awal kanak-kanak.
Ketua Eksekutif Ecda, Cik Ku Geok Boon, berkata hubungan ini menjadi asas penting dalam perkembangan awal kanak-kanak.
“Kerjasama erat antara pendidik, keluarga dengan masyarakat umum memainkan peranan penting dalam perkembangan menyeluruh kanak-kanak, terutama pada peringkat awal kehidupan mereka.
“Seperti hubungan lain, kerjasama ini harus berasaskan nilai-nilai seperti kepercayaan, hormat, empati dan altruisme,” tambah beliau semasa ditemui media.
Seorang pendidik di sebuah prasekolah yang dihubungi wartawan, Cik Siti Nurhannah Hashik, 26 tahun, akur bahawa apabila kanak-kanak melihat hubungan rapat antara ibu bapa dengan guru mereka, ia meningkatkan semangat dan motivasi si kecil untuk ke sekolah dan terhadap pelajaran.
“Ibu bapa juga berasa lebih tenang dan yakin apabila mengetahui anak-anak mereka berada dalam persekitaran yang selamat dengan sokongan penuh oleh pendidik yang dipercayai.
“Sikap kepercayaan ini mengukuhkan pengalaman prasekolah bagi kanak-kanak dan keluarga mereka,” tambah beliau.
Para guru boleh mencalonkan ibu bapa yang layak melalui borang di laman web ‘Ibu Bapa kita yang Hebat’ (https://ourwonderfulparents.sg/) sehingga 11 Julai.
Bakal calon harus mempunyai anak di prasekolah Ecda atau tadika Kementerian Pendidikan (MOE) selama sekurang-kurangnya setahun.
Mereka perlu menunjukkan sekurang-kurangnya dua daripada empat nilai utama — kepercayaan, rasa hormat, empati dan altruisme.
Mereka juga tidak boleh berkhidmat sebagai kakitangan PSM, Ecda atau SKM.
Semua calon akan menerima cenderahati penghargaan daripada prasekolah yang mencalonkan mereka.
Cerita inspirasi yang terpilih akan dipamerkan semasa Sambutan dan Persidangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Ecda pada September akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg