Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas majikan, rakan kerja tidak percaya gangguan halusinasi dihadapi

Mahu gesa perubahan di tempat kerja ekoran pengalaman pahit tidak dipedulikan 
Jan 5, 2025 | 5:30 AM
Encik Muhammad Siddiq Jumala mula mengalami tanda-tanda gangguan schizoaffective pada 2016. Keputusannya untuk menukar kerja membuat beliau sedar akan kepentingan mempunyai majikan yang menyokong.
Encik Muhammad Siddiq Jumala mula mengalami tanda-tanda gangguan schizoaffective pada 2016. Keputusannya untuk menukar kerja membuat beliau sedar akan kepentingan mempunyai majikan yang menyokong. - Foto ihsan MUHAMMAD SIDDIQ JUMALA

“Henti kerja kalau tak boleh tangani stres,” sindir rakan sekerjanya suatu ketika dahulu.

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga Encik Muhammad Siddiq Jumala, 34 tahun, apabila beliau teringat kembali sindiran yang diterimanya di tempat kerja lama beliau.

Ketika itu, beliau seorang pereka grafik yang sedang berjuang mengekalkan kestabilan mental dalam dunia kerja yang sukar.

Bagi Encik Siddiq, seorang rakan kerja sepatutnya menjadi tonggak sokongan dalam meringankan beban rakan kerja lain yang sedang menghadapi tekanan semakin menyesakkan.

Namun realitinya jauh berbeza.

Digabungkan dengan persekitaran kerja yang tidak memahami keadaannya serta waktu kerja yang tidak tetap memaksa beliau berjaga sehingga lewat malam hampir setiap hari.

Encik Siddiq, anak bongsu daripada lima adik-beradik, kini lebih banyak menyendiri dan kurang keinginan menghadiri acara sosial.

Itu semua bukanlah sifat biasa Encik Siddiq, seperti yang digambarkan keluarganya.

Perubahan sikap turut disertai dengan tanda-tanda gangguan schizoaffective – satu cabaran mental yang semakin menghimpit kehidupannya.

Simptom seperti halusinasi auditori dan visual mula membayangi hari-harinya, membawa pemikirannya semakin jauh daripada realiti.

“Saya nampak bayangan seperti makhluk asing merayap masuk ke rumah saya.

“Ketakutan menyelubungi saya, membuatkan tidur menjadi perkara mustahil. Setiap malam terasa seperti tiada penghujung,” kata Encik Siddiq.

Simptom-simptom ini bukan sahaja mengganggu pekerjaannya, tetapi juga pertalian dengan rakan-rakannya yang menjauhkan diri.

“Apabila rakan-rakan saya tahu tentang keadaan saya, mereka mula menjauhkan diri menyebabkan saya rasa kesunyian,” kata beliau.

Pernah suatu ketika, Encik Siddiq mengumpul keberanian untuk membuka hati dan berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya kepada rakan sekerja serta majikannya.

Namun, rakan kerja dan majikannya ragu-ragu untuk mempercayainya dan kurang menunjukkan ihsan terhadap masalah yang dihadapi.

“Mereka memberi gambaran seolah-olah saya harus tangani cabaran itu sendiri, ” ujar Encik Siddiq.

Meski menyukai pekerjaannya, hubungan yang hambar antara beliau dengan rakan kerja serta majikannya mendorong Encik Siddiq meletak jawatannya dengan harapan beliau dapat memberi tumpuan kepada kesihatan mental sendiri.

Ini termasuk sesi kaunseling di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan rujukan kepada Kelab Heal pada 2023.

Menurutnya, dengan sokongan tersebut, beliau kini memahami diri dan keperluan diri sendiri.

Encik Saddiq juga berjaya mendapatkan pekerjaan di Kelab Heal sebagai pakar sokongan rakan sebaya sejak 2023.

“Saya telah menemui rangkaian yang menyedarkan saya tentang kepentingan persekitaran kerja yang menggalakkan,” kata Encik Siddiq.

“Saya percaya sesebuah syarikat itu perlu mempunyai sistem memantau tahap tekanan pekerja, memastikan beban kerja diagihkan secara adil dan menyediakan pemeriksaan berkala.

“Komunikasi yang ikhlas antara majikan dengan pekerja juga penting untuk menggalakkan kesejahteraan mental,” tegas Encik Siddiq.

Kini, pengalaman pahitnya menjadi dasar untuk menyeru perubahan di tempat kerja.

Beliau berharap tiada pekerja lain yang akan melalui pengalaman sepertinya – terperangkap, tidak dipedulikan, dan sendirian dalam menghadapi cabaran mental.

Saya percaya sesebuah syarikat itu perlu mempunyai sistem memantau tahap tekanan pekerja, memastikan beban kerja diagihkan secara adil dan menyediakan pemeriksaan berkala. Komunikasi yang ikhlas antara majikan dengan pekerja juga penting untuk menggalakkan kesejahteraan mental.
Encik Muhammad Siddiq Jumala.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg