Jumlah orang yang tampil mendapatkan bantuan berhubung kesihatan mental menerusi pelbagai wadah dan titik sentuh pemerintah telah bertambah.
Terdapat peningkatan seramai 60,000 orang yang mengakses titik sentuh hentian pertama dalam talian dan secara peribadi bagi kesihatan mental dalam sembilan bulan pertama selepas pelancaran Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional pada Oktober 2023.
Ini adalah peningkatan 12 peratus kepada 570,000 orang daripada 510,000 orang yang mengakses titik sentuh seperti Pasukan Intervensi Masyarakat (Comit), Pasukan Jangkauan Masyarakat (Crest) dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Belia (Chat) dan Mindline.sg.
Demikian menurut perangkaan terkini yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan (MOH) bersama Berita Minggu (BM).
“Dengan perkhidmatan kesihatan mental pada peringkat penjagaan utama dan masyarakat diperkukuh, ia membolehkan lebih ramai individu yang mempunyai masalah kesihatan mental mengakses keperluan penjagaan yang lebih dekat dengan rumah mereka, dengan kurang stigma,” kata MOH.
Di bawah strategi itu, Singapura menetapkan matlamat meningkatkan dan menambah baik perkhidmatan bagi isu kesihatan mental melalui inisiatif holistik.
Hingga Ogos 2024, hampir 480 klinik am (GP) di bawah Program Perkongsian Pengamal Am (GP) Kesihatan Mental telah menjalani latihan tambahan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental lebih kompleks.
Menurut MOH, 22 daripada 26 poliklinik di Singapura menyediakan perkhidmatan kesihatan mental.
Pada masa ini terdapat 30 pasukan Comit yang digandingkan dengan GP yang menyediakan sokongan awal seperti kaunseling dan psikoterapi dalam masyarakat.
“Kita berada di landasan tepat untuk memastikan semua klinik GP SG Lebih Sihat (Healthier SG) dan poliklinik menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang dipertingkat bagi isu seperti kebimbangan dan kemurungan, dan mempunyai 50 pasukan Comit menjelang 2030,” kata MOH.
Selain itu, pasukan Crest, yang menyediakan saringan untuk menggalak pengenalan tanda dan gejala awal masalah kesihatan mental, juga akan ditambah kepada 90 daripada 75 pasukan sekarang.
MOH menambah bahawa sejak pelancaran strategi kesihatan mental itu, ia telah meluaskan latihan kesihatan mental untuk melibatkan lebih 116,000 kakitangan pada Ogos 2024.
Kakitangan yang dilatih termasuk guru sekolah dan pegawai daripada pelbagai agensi, seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Biro Narkotik Pusat (CNB), Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Pusat Khidmat Keluarga (FSC).
“Kakitangan dan sukarelawan barisan hadapan terus memainkan peranan penting dalam menyokong individu yang mengalami masalah mental.
“(Latihan) ini akan membolehkan kakitangan barisan hadapan mengenal pasti individu yang mengalami kesusahan, memberikan pertolongan cemas psikologi, dan memudahkan akses kepada sokongan kesihatan mental lain, jika diperlukan,” ujar MOH.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg