Pada hari ayahnya menghembuskan nafas terakhir, Cik Sarinah Said, yang pada masa itu baru berusia sembilan tahun, merasa kekosongan yang menyeksakan dada.
Ketika itu, beliau tidak pernah merasakan kesakitan yang begitu dalam.
Inilah titik permulaan hidup Cik Sarinah dengan kemurungan, yang kini berusia 53 tahun.
Di samping kehilangan ayahnya, beliau kemudian mengalami keguguran anak pertama yang mencetuskan perselisihan faham antara Cik Sarinah dan suaminya.
Ketegangan dalam hubungan itu, digabungkan dengan kurangnya perbincangan terbuka mengenai kesihatan mental, menambahkan beban emosi yang beliau tanggung dan menghalangnya daripada mendapatkan rawatan bagi simptom yang dialaminya.
Ini termasuk penarikan diri dari acara sosial, dan kadangkala, sukar untuk beliau tidur pada waktu malam serta mencari kegembiraan dalam rutin harian.
“Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya dan saya mahu mencari bantuan.
“Suami saya pada mulanya tidak sokong rancangan untuk mencari sokongan kesihatan mental disebabkan konsepnya yang masih asing pada ketika itu,” tambah Cik Sarinah, yang juga seorang ibu kepada empat orang anak.
“Ia seperti saya membawa beban yang tidak kelihatan ke mana-mana saya pergi – satu yang menguji tenaga, mengaburkan fikiran, dan merampas kegembiraan dari segala sesuatu yang pernah saya cintai,” katanya.
Namun, keprihatinan mendalam anaknya akhirnya menjadi dorongan untuk beliau mengambil langkah pertama, walaupun menghadapi cabaran daripada kurangnya sokongan suami dan stigma terhadap kesihatan mental.
Cik Sarinah mendapatkan bantuan daripada seorang kaunselor yang akhirnya mendiagnosis beliau dengan kemurungan pada usia 47 tahun.
Ini menjadi titik perubahan dalam perjalanan hidupnya, apabila kaunselor tersebut merujuk beliau ke Kelab Heal, sebuah pertubuhan bukan meraih untung di Singapura yang berdedikasi untuk memperkasakan individu dengan cabaran kesihatan mental melalui pemulihan, pendidikan, dan sokongan komuniti.
Pada masa itu, Cik Sarinah bekerja dalam industri penjagaan kesihatan.
Namun, melalui penglibatannya dengan Kelab Heal, beliau menemui masyarakat yang menyokong dan benar-benar memahami perjuangan serta aspirasi beliau.
Rasa kebersamaan ini memberi inspirasi kepada beliau untuk beralih kepada kerjaya di Kelab Heal, di mana beliau bertugas sebagai Eksekutif Program bagi pesakit demensia.
Peranannya yang terus membantu pesakit demensia juga mengajarnya untuk lebih bersabar, merendah diri, dan berempati – bukan sahaja untuk orang lain, tetapi juga untuk dirinya sendiri.
“Pesakit-pesakit ini sangat rapuh, dan bekerja bersama mereka mengajar saya pelajaran yang lebih mendalam daripada sekadar menjaga mereka.
Pada tahap yang lebih mendalam, lingkungan kerja yang sering menyokong memberi impak yang besar baginya seperti menyesuaikan waktu kerja apabila diperlukan untuk kesihatan mental:
“Memiliki tempat kerja yang saling menyokong dan memahami pentingnya kesihatan mental sangat bermanfaat bagi perkembangan diri.
“Dari memberi waktu kerja fleksibel apabila saya perlu menjaga kesihatan mental saya, hingga mencipta suasana terbuka untuk berkongsi kesukaran saya adalah tanda kasih yang sangat berharga bagi saya,” ujar Cik Sarinah, yang kini sudah bertugas di Kelab Heal selama enam tahun.
Tambahan pula, dengan keutamaan kepada kesihatan mental di tempat kerja, pihak majikan bukan sahaja memperbaiki kesejahteraan individu, tetapi juga meningkatkan dinamik pasukan, kerjasama, dan prestasi secara keseluruhan.
“Apabila kesihatan mental diiktiraf dan dihargai, pekerja lebih cenderung rasa seperti mereka difahami, dihormati, dan diberi kuasa untuk mencari bantuan apabila diperlukan,” tambah Cik Sarinah.
“
Apabila kesihatan mental diiktiraf dan dihargai, pekerja lebih cenderung rasa seperti mereka difahami, dihormati, dan diberi kuasa untuk mencari bantuan apabila diperlukan.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg