Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas murid Tadika di Masjid kini tabur bakti selaku pendidik

Sebanyak 15 tadika di masjid tawar pendidikan holistik untuk kanak-kanak usia tiga tahun hingga enam tahun; gabung kecemerlangan akademik dengan pelajaran agama dan nilai rohani
Oct 17, 2025 | 5:30 AM
tadika di masjid, mbk, muis
Alumni Tadika di Masjid (MBK), Ustazah Juliana Miswadi (kiri), sentiasa merancang kegiatan ‘Belajar Sambil Bermain’ yang interaktif dan seronok untuk muridnya di Tadika Masjid An-Nur. - Foto MUIS

Daripada murid yang dahulunya menimba ilmu, kini alumni Tadika di Masjid, atau lebih dikenali sebagai Mosque-Based Kindergartens (MBK) di Singapura, berdiri di barisan hadapan sebagai pendidik.

Itulah bukti kejayaan Tadika di Masjid bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang bahkan membentuk insan yang kembali menabur bakti di tempat mereka menimba ilmu sejak kecil.

Daripada murid jadi guru

Sebilangan besar alumni MBK kini menyumbang khidmat di masjid serta pertubuhan Islam.

Di Tadika Masjid An-Nur contohnya, seramai lima tenaga pengajar merupakan alumni MBK.

Mereka berusaha mencorak masa depan murid melalui pengalaman serta nilai yang telah dipelajari.

“Saya terdorong untuk kembali kerana ingin menyumbang semula kepada institusi yang banyak membentuk asas pendidikan dan akhlak saya.

“Saya mahu memberi inspirasi kepada generasi baru, seperti guru-guru saya dahulu memberi inspirasi kepada saya,” kata Ustazah Juliana Miswadi, alumni Tadika Masjid Al-Muttaqin, dengan pengalaman selama 19 tahun dalam sektor pendidikan awal.

Seorang lagi alumni Tadika Masjid An-Nur, Cik Siti Hamizah Anwar berkata:

“Sikap penyayang, bertanggungjawab, dan memenuhi amanah, yang ditanamkan sejak kecil, masih saya amalkan hingga kini, selaras dengan nilai teras MBK.”

Ustazah Aisyah Selamat, yang dahulu merupakan rakan sedarjah Cik Hamizah turut menambah:

“Yang paling saya terkesan sewaktu menjadi murid Tadika Masjid An-Nur dahulu, kami membaca doa Asmaul Husna setiap hari sewaktu perhimpunan. Zikir itu terpahat kuat dalam ingatan saya.

“Di sini, saya belajar bahawa pelajaran dan hafalan yang diterap daripada kecil akan kekal hingga dewasa.

“Inilah yang mempengaruhi dan memotivasikan saya agar terus membimbing anak-anak kecil ini.”

Pendidikan holistik

Dengan pengalaman lebih empat dekad, 15 tadika di masjid menawarkan pendidikan holistik untuk kanak-kanak berusia tiga tahun hingga enam tahun – menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pelajaran agama dan nilai-nilai Islam.

Rangka kurikulum MBK berpandukan kepada piawaian kebangsaan Singapura, iaitu Rangka Kerja Memupuk Pelajar pada Peringkat Awal (NEL) dan Rangka Kerja Pembangunan Tahun-Tahun Awal (EYDF).

Pendidikan awal di MBK bukan sekadar membaca, menulis dan menghitung, malah membina sahsiah, akhlak serta menanam nilai iman dalam diri anak-anak.

Program berasaskan projek seperti, ‘Project of Wonder’ dan ‘MBKidsREAD’ menjadikan bilik darjah lebih hidup dan menyeronokkan.

Setiap projek dirancang bersama guru dan berdasarkan minat murid, serta diilhamkan oleh pelbagai perkara, seperti pengalaman, pembacaan, atau barang kegunaan harian mereka.

Selain itu, keunikan MBK adalah murid dapat mempelajari tiga bahasa dalam sehari.

Selain bahasa Melayu dan Inggeris, mereka didedahkan kepada bahasa ketiga, iaitu bahasa Arab, serta asas kemahiran membaca Al-Quran.

Pendekatan itu menarik minat ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka di madrasah sepenuh masa.

Hubungan kukuh dengan ibu bapa

Sehubungan itu, MBK turut mengutamakan hubungan kukuh dengan ibu bapa, bekerja rapat dan menyokong mereka dalam memupuk perkembangan anak-anak.

Ini dibuktikan dengan kejayaan Cik Nurul Ain Tajuddin, seorang ibu dua murid di Tadika Masjid Al-Muttaqin, yang baru-baru ini menerima anugerah, ‘Our Wonderful Parents’ daripada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), kerana komitmen terhadap pendidikan anak-anaknya.

“Alhamdulillah, melalui hubungan terbuka saya dengan guru-guru, serta keprihatinan terhadap pembelajaran anak-anak, sama ada di sekolah ataupun di rumah, sekarang mereka lebih yakin, seronok belajar dan berasa lebih dihargai,” kata Cik Nurul Ain.

SEKILAS:

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila lungsuri https://linktr.ee/mosquebasedkindergartens

Anda juga boleh mengikuti media sosial MBK di Facebook: Mosque Based Kindergartens; Instagram: MosqueBasedKindergartens atau YouTube: Mosque Based Kindergartens SG.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg