Seorang bekas pegawai penyiasat (IO) Biro Narkotik Pusat (CNB) yang melesapkan hampir $1,300 wang tunai daripada dua lelaki selepas mereka ditahan, telah dijatuh hukuman 13 bulan penjara pada 14 November.
Dia juga telah memalsukan dokumen pengesahan yang dikeluarkan oleh CNB untuk menunjukkan seolah-olah kededua lelaki tersebut, yang dirujuk sebagai V1 dan V2 dalam dokumen mahkamah, telah menerima barang-barang mereka pada masa yang sepatutnya.
Muhammad Fayyaz Helmi, 29 tahun, mengaku bersalah pada Oktober terhadap satu tuduhan pecah amanah jenayah, pemalsuan, dan menghalang proses keadilan, lapor The Straits Times (ST).
Dia melakukan kesalahan tersebut pada 2023 dan 2024 ketika bekerja di CNB. Setelah seorang rakan pegawai CNB membuat laporan polis terhadapnya, dia meletak jawatan pada Mei 2024.
Dalam prosiding sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jheong Siew Yin memberitahu mahkamah bahawa Fayyaz adalah salah seorang IO yang mengendalikan kes lelaki berusia 72 tahun (V1), pada April 2022.
V1 ditahan pada 12 April 2022, dan lebih $900 wang tunai serta dua telefon bimbit telah dirampas.
V1 dimasukkan ke pusat pemulihan dadah (DRC) selama setahun pada Jun 2022, dan kemudiannya ditempatkan di rumah peralihan.
Fayyaz telah menyalahgunakan wang V1 pada November 2023.
Sekitar 9 Januari 2024, Fayyaz memulangkan dua telefon bimbit yang dirampas kepada V1, yang kemudian menandatangani slip pengesahan CNB sebagai bukti penerimaan.
Namun, apabila V1 bertanya kepada Fayyaz tentang wang tersebut, dia menjawab bahawa jumlah wang itu diuruskan oleh seorang pegawai CNB yang lain, dan berjanji untuk cuba mengesan wang tersebut.
V1 kemudian memaklumkan perkara itu kepada pengerusi rumah peralihan, yang menghubungi CNB, kata mahkamah.
“Hanya selepas kejadian itu, tertuduh mencari V1 di tempat kerjanya dan menyerahkan $950 kepadanya untuk menghalang proses keadilan,” kata DPP Jheong.
“Dia juga memalsukan slip pengesahan CNB bagi menunjukkan seolah-olah V1 telah menerima lebih $900 pada 9 Januari 2024, namun V1 tidak menerimanya.”
Fayyaz juga melakukan kesalahan yang serupa melibatkan V2, seorang lelaki berusia 27 tahun.
Antara kesalahan lain, dia telah menyalahgunakan lebih daripada $360 wang V2 pada Januari 2024 dan memindahkan $400 kepadanya dua bulan kemudian.
DPP berkata: “Pada 1 April 2024, dia mengarahkan V2 supaya berbohong bahawa barang yang dirampas telah dikembalikan pada 17 Januari 2024, dan supaya tidak memberitahu sesiapa bahawa barang tersebut sebenarnya belum dikembalikan (pada Januari).”
Pada 5 April 2024, seorang lagi pegawai CNB membuat laporan polis terhadap Fayyaz berhubung kesalahannya.
Fayyaz telah ditahan pada hari yang sama dan didakwa di mahkamah pada Januari 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg