Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pegawai jagaan pelajar dijel 26 minggu dera budak tadika

Aug 23, 2024 | 5:30 PM
Kamera litar tertutup (CCTV) merakam wanita warga Singapura berusia 54 tahun itu menganiaya kanak-kanak tersebut pada 15 Februari 2022.
Kamera litar tertutup (CCTV) merakam wanita warga Singapura berusia 54 tahun itu menganiaya kanak-kanak tersebut pada 15 Februari 2022. - Foto PIXABAY

Seorang bekas pegawai jagaan pelajar dijatuhi hukuman penjara 26 minggu pada 23 Ogos kerana menganiaya seorang budak lelaki berusia lima tahun di sebuah tadika, selepas dia dilihat bermain air di singki.

Kamera litar tertutup (CCTV) merakam wanita warga Singapura berusia 54 tahun itu melakukan kesalahan tersebut pada 15 Februari 2022, dan dia meletak jawatan dua hari kemudian.

Pada 2 Julai, wanita itu mengaku bersalah atas satu tuduhan mendera seorang kanak-kanak.

Maklumat dirinya dan tadika tersebut tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Pada masa kejadian tersebut, kanak-kanak itu menyertai program jagaan kanak-kanak tadika dan akan pergi ke sana setiap hari bekerja dari tengah hari hingga 6.30 petang.

Wanita itu pula ditugaskan menjaga kanak-kanak di tadika tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Pada 15 Februari 2022, dia melihat budak lelaki itu dan seorang lagi kanak-kanak bermain di singki dalam kelas.

Wanita itu berang apabila mereka tidak mendengar arahannya supaya duduk dan makan makanan ringan.

Sebaliknya, kededua kanak-kanak itu mengisi air ke dalam botol dan menuangnya ke atas rak buku.

Awal dari itu, wanita tersebut juga naik marah kerana mereka telah mengganggu sesi tidur siang.

Sejurus sebelum 3.10 petang, dia memegang kededua lengan mangsa dan mengheretnya dari singki.

Budak itu terjatuh ke lantai tetapi wanita tersebut terus mengheret dan menariknya supaya bangun.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Natalie Chu berkata wanita itu semakin tertekan apabila budak tersebut enggan memberi kerjasama dan apabila melihat lantai berhampiran singki basah.

Dia kemudian mencengkam lengan budak itu dan menghayunnya berulang kali selama sekitar enam saat, menyebabkan bahagian bawah badannya terhantuk ke lantai beberapa kali.

Selepas itu, dia terus mendera budak itu dengan mencengkam rambutnya dan menolak belakang kepalanya ke lantai, menyebabkan kanak-kanak itu terbaring kesakitan.

Tertuduh turut mengheret mangsa sepanjang lantai kelas selama sekitar 40 saat, kata pendakwa raya.

Ketika di rumah pada petang itu, bapanya melihat kesan calar di muka dan leher kanak-kanak tersebut.

Keesokan hari, ibu bapa kanak-kanak itu memaklumkan kepada ketua pusat tadika, yang kemudiannya membuat satu laporan polis pada 23 Februari 2022.

Dalam perbicaraan kes itu, peguam bela, Encik Muhammad Hasif Abdul Aziz, meminta agar anak guamnya dikenakan denda tidak melebihi $8,000 atas kesalahan tersebut.

Antara lain, beliau memberitahu mahkamah bahawa wanita itu tidak menerima latihan rasmi daripada tadika tersebut mengenai penjagaan kanak-kanak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg