Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu sebat anak 6 tahun dengan tali pinggang lebih 100 kali dihukum 13 bulan penjara

Aug 2, 2024 | 4:19 PM
Seorang wanita memukul anaknya dengan tali pinggang hingga lebam, tetapi membuat laporan polis palsu mengatakan teman lelakinya yang mendera budak itu.
Seorang wanita memukul anaknya dengan tali pinggang hingga lebam, tetapi membuat laporan polis palsu mengatakan teman lelakinya yang mendera budak itu. - Foto PIXABAY

Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang didapati nakal diarahkan ibunya supaya berdiri dengan dirian tangan sebelum disebat lebih daripada 100 kali dengan tali pinggang.

Si ibu kemudian membuat laporan polis palsu, mendakwa teman lelakinya ketika itu yang telah mendera kanak-kanak tersebut.

Wanita itu, yang mengaku bersalah pada Ogos 2023 atas satu pertuduhan mendera anaknya, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada 2 Ogos, lapor akhbar The Straits Times.

Satu pertuduhan memberi maklumat palsu kepada pegawai polis diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Wanita 33 tahun itu tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti budak lelaki itu.

Ketika melakukan kesalahan itu pada Mei 2020, mangsa tinggal bersama ibunya, adik-beradiknya, adik-beradik tirinya, serta teman lelaki ibunya ketika itu. Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada teman lelaki itu bapa mangsa.

Pada 11 Mei tahun itu, wanita itu menghukum budak lelaki itu atas perbuatan yang tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.

Dia mengarahkan anaknya itu berdiri dengan dirian tangan, tetapi kanak-kanak itu tidak dapat mengekalkan posturnya. Dia kemudian menendang dan menampar budak itu dan memukulnya dengan tali pinggang.

Dalam prosiding awal, Timbalan Pendakwa Raya, Encik David Menon, memberitahu mahkamah: “Mangsa menangis kesakitan, tetapi tertuduh tidak mengendahkan rayuannya supaya berhenti.

“Secara keseluruhannya, tertuduh memukul mangsa dengan tali pinggang lebih 100 kali, menggunakan kedua-dua tali dan kancingnya.”

Wanita itu memukul seluruh badan dan muka anaknya. Kelakuannya itu dirakam kamera litar tertutup.

Keesokan harinya, dia membawa budak lelaki itu ke Pusat Polis Kejiranan Nanyang di Jurong dan membuat laporan palsu, mendakwa teman lelakinya ketika itu telah memukul kanak-kanak itu.

Seorang doktor di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, yang memeriksa budak lelaki itu pada 13 Mei 2020, mendapati dia mempunyai lebih 50 kesan lebam dan melecet.

Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana kesalahan ibu itu terbongkar.

Pada 2 Ogos, ikat jaminnya ditetapkan pada $15,000. Dia diarah menyerah diri di Mahkamah Negara pada 2 September untuk mula menjalani hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg