Bekas pelakon Edmund Chen dipenjara 5 hari selepas kemalangan di AYE; penunggang motosikal patah tulang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas pelakon Edmund Chen dipenjara 5 hari selepas kemalangan di AYE; penunggang motosikal patah tulang

Jan 29, 2026 | 7:53 PM

Bekas pelakon Edmund Chen dipenjara 5 hari selepas kemalangan di AYE; penunggang motosikal patah tulang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bekas pelakon, Edmund Chen, dijatuhi penjara lima hari, kemalangan jalan raya, penunggang motosikal, AYE, CTE
Bekas pelakon Edmund Chen (tengah) mengaku bersalah pada 29 Januari atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun, ketika memandu kereta tanpa mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain. - Foto fail

Bekas pelakon Edmund Chen dijatuhi hukuman penjara lima hari selepas mengaku bersalah atas peranannya dalam satu kemalangan jalan raya yang mengakibatkan seorang penunggang motosikal mengalami beberapa tulang yang patah pada pergelangan tangan.

Mahkamah Daerah menjatuhkan hukuman penjara meskipun pihak pendakwaan hanya memohon denda antara $3,000 dengan $5,000.

Dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Tan Kai Yuan, 63 tahun, Chen mengaku bersalah pada 29 Januari atas satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun, ketika memandu kereta tanpa mengambil kira keselamatan pengguna jalan raya lain.

Mahkamah diberitahu bahawa Chen sedang memandu di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) menghala ke Ekspreswe Central (CTE) sekitar tengah hari pada 4 Mac 2025.

Sejurus sebelum berlaku perlanggaran itu, Chen memperlahankan kenderaannya sehingga hampir berhenti sepenuhnya di ekspreswe tersebut sebelum menukar lorong secara tiba-tiba.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Stephen Yeo berkata, ini kerana Chen tidak berada di lorong yang betul tetapi tetap cuba memasuki CTE/Ekspreswe Seletar (SLE) dengan memberhentikan kereta secara tiba-tiba dan merentasi lorong melawan garisan chevron (tanda berbentuk V).

Pihak pendakwaan berkata Chen gagal mengawas jalan raya dengan betul.

Seorang penunggang motosikal yang datang dari belakang merempuh kereta Chen walaupun telah cuba untuk mengelak keretanya itu.

Rakaman video daripada kamera papan pemuka dalam kenderaan Chen yang ditayangkan di mahkamah menunjukkan beliau menghamburkan makian dalam keadaan terkejut selepas kemalangan itu berlaku, sebelum menghentikan kenderaannya untuk membantu penunggang motosikal berkenaan.

Menurut DPP Yeo, penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Besar Singapura dan terpaksa menjalani pembedahan akibat beberapa tulang yang patah pada pergelangan tangannya.

Mangsa diberikan cuti hospital selama 99 hari.

Mangsa tidak mengalami kecacatan kekal, tambah pihak pendakwaan.

Hakim Daerah Shawn Ho berkata: “Kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memohon hukuman denda. Saya tidak bersetuju. Saya mendapati ambang hukuman penjara telah dilampaui.”

Beliau merujuk kepada kewujudan dua faktor kesalahan, iaitu Chen melanggar peraturan lalu lintas dengan menukar lorong merentasi lorong chevron, serta memotong lorong secara mendadak akibat kecuaian berterusan.

Penukaran lorong secara tiba-tiba itu juga menunjukkan tahap kecuaian yang tinggi, tambah hakim tersebut.

Hakim itu berkata: “Tindakannya merupakan pelanggaran sengaja terhadap peraturan keselamatan khusus yang diwujudkan bagi mencegah pelanggaran pada kelajuan tinggi.

“Seorang pemandu yang memilih untuk mengabaikan sekatan di ekspreswe menunjukkan sikap sambil lewa terhadap risiko tinggi berlakunya kemalangan dengan kesan yang besar.

Selain hukuman penjara, hakim turut melucutkan kelayakan Chen daripada memandu selama lima tahun.

Chen akan mula menjalani hukuman penjaranya pada 9 Mac selepas hakim membenarkan penangguhan bagi membolehkannya menguruskan hal ehwal peribadi selepas Tahun Baru Cina.

Sebelum Chen dijatuhi hukuman, DPP Yeo berkata kesalahan trafik terakhir Chen yang dikompaun adalah pada 2013, namun tidak memperincikan butirannya.

DPP Yeo menambah: “Hakikat bahawa kami hanya memohon hukuman denda tidak bermakna kesalahan ini tidak serius. Alasan kami tidak mengemukakannya melepasi ambang hukuman penjara adalah kerana kemudaratan dalam kes ini, secara kebetulan, tidak begitu serius.”

Peguam Chen, Encik Josephus Tan daripada Invictus Law, berkata insiden itu merupakan satu kesilapan pertimbangan seketika, dan Chen telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sejak awal.

Encik Tan memohon hukuman denda sebanyak $3,000 bagi Chen dengan berkata: “Beliau sedar bahawa dengan merentasi lorong chevron, walaupun dengan andaian tiada pelanggaran berlaku, perbuatan itu sendiri merupakan pelanggaran sengaja terhadap peraturan lalu lintas.

“Namun pendirian kami ialah ini: Ia tidak berbahaya. Beliau tidak memandu laju. Malah, beliau memandu di bawah had kelajuan.”

Sambil menambah bahawa Chen merupakan seorang tokoh awam, peguam itu berkata: “Selain dikenakan tindakan di mahkamah undang-undang… beliau juga terpaksa berdepan dengan penghakiman di mahkamah pendapat umum, dan dalam hal itu beliau telah kehilangan banyak peluang dalam projek-projeknya.”

Chen boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun, denda maksimum $5,000, atau kedua-duanya sekali.

Beliau hadir ke mahkamah diiringi peguamnya, Encik Tan dan Encik Cory Wong.

Chen memberitahu wartawan bahawa beliau tidak tahu apa yang akan dihadapinya dan berasa sangat gementar.

“Saya berharap rakan kita akan segera pulih,” kata Chen dalam bahasa Mandarin, merujuk kepada mangsa.

Chen sebelum ini merupakan nama yang tidak asing lagi dalam kalangan penonton, tampil dalam beberapa siri drama televisyen popular, termasuk Star Maiden dan Patrol.

Beliau meninggalkan dunia seni bagi menjaga anak perempuannya, Chen Yixin, selepas kelahirannya pada 2000, namun kembali muncul secara berkala dalam beberapa peranan lakonan, termasuk drama televisyen Life Less Ordinary pada 2017.

Chen berkahwin dengan pelakon veteran Xiang Yun, yang dikenali menerusi watak-wataknya dalam drama tempatan klasik seperti The Awakening, Double Happiness dan The Little Nyonya.

Dua anak Chen, termasuk anak lelakinya, Chen Xi, turut berkecimpung dalam industri hiburan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg