Mantan pemimpin mapan sektor masjid Singapura, Encik Zahid Ahmad, 59 tahun, meninggal dunia pada 13 Februari.
Beliau meninggal dunia akibat masalah jantung, kata pengerusi eksekutif Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, semasa dihubungi Berita Harian (BH).
Allahyarham aktif dalam sektor masjid hingga 2019. Beliau pernah menjadi pengerusi eksekutif Masjid Al-Muttaqin di Ang Mo Kio dan pengerusi Masjid Al-Ansar di Bedok lebih 10 tahun.
Beliau juga merupakan pengurus besar pertama Kumpulan Masjid Tenggara sewaktu Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memulakan sistem kelompok masjid dan juga Pengurus Kanan, PolicyFutures@One Mosque Sector.
Allahyarham membangunkan prosedur operasi standard (SOP) dan dasar yang menjadi asas pembentukan enam kelompok masjid di Singapura, yang kemudian telah disusun semula menjadi empat daerah masjid, kata Encik Fairus.
Beliau berkata Allahyarham, bersama barisan pemimpin dan petugas masjid, aktif mendampingi masyarakat serta menjalankan pelbagai program pembangunan komuniti dan keagamaan.
“Di Masjid Al-Ansar, Allahyarham memainkan peranan penting dalam proses pembinaan bangunan baru masjid tersebut.
Sebelum terlibat dalam sektor masjid, arwah memulakan kerjaya di Muis sebagai ketua unit pensijilan halal sekitar lewat 1990-an.
“Allahyarham sangat aktif dalam kegiatan masjid, dan pertemuan terakhir saya dengannya ialah sewaktu Persidangan Sektor Satu Masjid (One Mosque Sector Summit) 2025 yang berlangsung Sabtu lalu (8 Februari).
“Beliau kelihatan begitu bersemangat dalam menyampaikan idea serta perancangan strategik demi kepentingan dan kemaslahatan masjid serta masyarakat,” ujar Encik Fairus.
Lebih 1,000 orang, termasuk pemimpin dan aktivis masjid, menghadiri Persidangan Sektor Satu Masjid (OMS) itu di Singapore Expo pada 8 Februari.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 13 Februari, Masjid Al-Muttaqin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sambil berkata:
“Mudah-mudahan segala kebaikan yang dicurahkan bagi memakmurkan Masjid Al-Muttaqin, amal ibadahnya dan amal solehnya diterima oleh Allah swt, diampunkan dosanya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.”
Solat jenazah Allahyarham didirikan di Masjid Al-Ansar dan jenazah dikebumikan di Pusara Aman pada 13 Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg