Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persidangan Sektor Satu Masjid: Persiap diri hadapi cabaran baru

Feb 7, 2025 | 5:30 AM
Encik Zalman berkata sektor masjid perlu bersedia bagi masa hadapan dengan memastikan ia berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang berubah.
Encik Zalman berkata sektor masjid perlu bersedia bagi masa hadapan dengan memastikan ia berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang berubah. - Foto oleh MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Sektor masjid di Singapura perlu bersedia bagi menghadapi masa hadapan yang kian berubah dan perlu menyesuaikan diri agar mampu terus kekal relevan dan memenuhi cita rasa masyarakat yang semakin rencam terutamanya golongan belia dan warga emas.

Justeru, sektor masjid setempat perlukan pendekatan yang inovatif serta membangunkan keupayaan baru agar program-program dijalankan di masjid-masjid mempunyai impak positif, kata Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid (OMS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Ali, dalam satu temu ramah dengan Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Berbekalkan iltizam kukuh agar masjid-masjid di Singapura dapat berusaha sama ke arah pembangunan yang lebih jitu, Muis bakal menganjurkan Persidangan Sektor Satu Masjid (One Mosque Sector Summit) 2025 pada 8 Februari ini. Acara tersebut juga yang akan menyaksikan pelancaran SalamSG 2025.

Seramai 1,000 peserta telah diundang termasuk pemimpin dan kakitangan masjid, serta badan-badan Islam dan agensi-agensi pemerintah. Bertemakan “Teroka Laluan Baru: Berinovasi dan Bekerjasama”, Persidangan OMS 2025 itu bermatlamat mengukuhkan visi sektor masjid, memupuk kerjasama dan mengiktiraf sumbangan para pemimpin dan kakitangan masjid yang tidak ternilai. 

“Seperti masyarakat am Singapura, masyarakat Islam juga bakal menjalani perubahan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam bidang sosio-agama. Oleh itu, masjid-masjid kita perlu lebih bersedia untuk berdepan dengan perubahan tersebut, yang turut membawa sama cabarannya, agar mampu kekal relevan dan memberikan program-program sosio-agama yang lebih disesuaikan bagi keperluan masyarakat, khususnya golongan belia dan warga emas. Usaha untuk menangani cabaran-cabaran baru itu memerlukan pendekatan yang inovatif dan pihak Muis bersedia untuk menyokong sektor masjid kita, termasuk dari segi sumber bermutu seperti dana, kepakaran dan tenaga kerja,” kata Encik Zalman.

Memberikan contoh, Encik Zalman berkata salah satu cara ialah untuk sektor masjid membangunkan keupayaan baru yang mempunyai pemahaman mendalam terhadap keperluan masyarakat. Langkah tersebut sekali gus membolehkan masjid-masjid melakarkan program dan khidmat yang bermanfaat dan memastikan ia berkesan.

“Kerja sama masjid dengan pelbagai pihak adalah kunci untuk mencapai hasil yang diinginkan,’’ jelas Encik Zalman.

Sejajar dengan pelan tiga tahun Muis, OMS akan memberi tumpuan terhadap tiga teras strategik untuk membina masyarakat Islam yang yakin, berdaya tahan dan diperkasa.

Menjelaskan teras pertama, beliau berkata ia amat penting untuk membina kehidupan agama yang bersemangat dengan tumpuan terhadap belia dan warga emas. Ini berlatarbelakangkan perubahan pada keperluan serta aspirasi belia masa kini dan masyarakat Singapura yang mengalami penuaan, kata Encik Zalman.

Beliau menambah, masjid juga boleh memupuk belia dengan semangat berbakti, manakala meningkatkan akses bagi warga emas untuk beribadah, dan menarik mereka untuk menyumbang secara aktif kepada masjid. Masjid juga boleh meningkatkan usaha untuk mendekati lebih ramai warga emas yang tinggal sendirian dan dalam kesunyian.

Mengenai teras kedua, Muis ingin mempertingkatkan sokongan dan usaha untuk memperkasakan golongan memerlukan.

OMS mahu memperkukuhkan sistem pengagihan bantuan kewangan zakat yang ditadbir dengan lebih baik serta memperkasakan benefisiari zakat dan golongan memerlukan lain menerusi program yang memberi impak yang baik, ujar Encik Zalman.

Mereka juga mahu membina rangka kerja yang boleh mempertingkatkan keupayaan kakitangan, pembangunan sosial dan sukarelawan.

Bagi teras ketiga pula, Muis ingin membina sektor masjid yang berdaya tahan, sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dan kekal memberi manfaat kepada masyarakat. Ia akan melakukannya dengan memberi tumpuan terhadap kepimpinan masjid yang cekap, mempunyai sumber kewangan yang kukuh dan menilai kesan program masjid.

“Kami ingin mewujudkan sektor masjid yang saling bekerja sama, baik sesama sendiri mahupun dengan rakan kongsi lain untuk bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam yang pelbagai. #MasjidKita mewakili semangat kolektif sektor masjid, pemimpin, kakitangan dan relawan yang berinspirasi dalam mendakapi visi penyatuan, pemerkasaan dan kecemerlangan,’’ tambah Encik Zalman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg