Peguam dan bekas pengarah Jabatan Ehwal Komersial (CAD), Encik Glenn Knight, meninggal dunia pada usia 80 tahun.
Seorang rakan karib mendiang memberitahu The Straits Times (ST) bahawa polis telah memaklumkan mengenai kematian Encik Knight pada pagi 19 Februari.
Mendiang Encik Knight merupakan seorang duda tanpa anak. Isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Bekas pendakwa raya itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang dari Australia melalui penerbangan Scoot, lapor ST.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata ia dimaklumkan mengenai kemungkinan kes kematian dalam penerbangan TR21 sekitar 12.40 pagi pada 19 Februari.
Menurut jurucakap SPF, pegawai polis telah menaiki pesawat itu selepas ia mendarat di Singapura pada 3 pagi dan menemui seorang lelaki berusia 80 tahun kaku di tempat duduk.
Seorang doktor perubatan mengesahkan kematiannya di tempat kejadian.
Jurucakap SPF berkata siasatan masih dijalankan, namun berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.
Encik Knight terlibat dalam penubuhan CAD pada 1984 selepas bertahun-tahun terlibat sebagai pendakwa beberapa kes jenayah berprofil tinggi.
Namun pada 1991, Encik Knight disiasat atas tuduhan rasuah dan ia menyebabkan beliau kehilangan jawatannya di CAD.
Selepas disabitkan kesalahan, Encik Knight digantung daripada memberi khidmat guaman pada 1994.
Pada 1998 pula, beliau didakwa menyalahgunakan dana CAD pula semasa berkhidmat sebagai pengarah.
Permohonannya untuk bertugas semula sebagai peguam telah diluluskan pada 2007, menjadikan beliau individu keenam yang dikembalikan semula tugas dalam Persatuan Peguam Singapura.
Pada tahun yang sama, Encik Knight menyertai sebuah firma guaman, sebelum menubuhkan firma guamannya sendiri pada 2010, dan kekal berkhidmat di sana sehingga pemergiannya.
Peguam jenayah, Encik Eugene Thuraisingam, memuji kebaikan Encik Knight, di mana mendiang telah menyokong Encik Thuraisingam apabila beliau menubuhkan firma guamannya sendiri pada 2012, dengan merujuk klien kepadanya dan bekerjasama dengannya dalam beberapa kes.
Encik Thuraisingam memberi gambaran Encik Knight sebagai seorang peguam yang cemerlang dengan kecerdasan dan semangat keadilan yang tinggi.
“Bagi beliau, adalah penting untuk bekerja dengan peguam muda kerana beliau menghargai peranan sebagai mentor dan menyampaikan ilmu yang dimilikinya.
“Beliau adalah seorang tokoh besar dalam dunia guaman dan akan dirindui ramai orang dalam bidang ini,” tambah Encik Thuraisingam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg