Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendaftar Mahkamah Agung baru dilantik mulai 1 Nov

Oct 28, 2024 | 8:17 PM
Ketua Hakim Daerah Kelompok Mahkamah Jenayah, Cik Jill Tan Li Ching, telah dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah Agung mulai 1 November 2024.
Ketua Hakim Daerah Kelompok Mahkamah Jenayah, Cik Jill Tan Li Ching, telah dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah Agung mulai 1 November 2024. - Foto MAHKAMAH AGUNG

Ketua Hakim Daerah Kelompok Mahkamah Jenayah, Cik Jill Tan Li Ching, telah dilantik sebagai Pendaftar Mahkamah Agung mulai 1 November 2024.

Beliau akan menggantikan Encik Tan Boon Heng, yang akan dilantik sebagai Ketua Hakim Daerah Mahkamah Negara pada tarikh yang sama.

Cik Tan mempunyai pengalaman selama lebih dua dekad dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, dengan beliau memulakan kerjayanya dalam firma guaman swasta pada 1998.

Beliau kemudian menyertai Perkhidmatan Perundangan Singapura pada 2000 dan bekerja di Pejabat Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Antara detik penting dalam kerjayanya adalah apabila beliau dilantik sebagai Hakim Daerah dalam Divisyen Keadilan Masyarakat dan Tribunal di Mahkamah Negara pada 2018, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Hakim Daerah pada Oktober 2019.

Cik Tan kemudian dilantik secara serentak sebagai Pemangku Ketua Hakim Daerah Kelompok Perkhidmatan Korporat pada April 2021.

Sebagai Pemangku Ketua Hakim Daerah/Ketua Hakim Daerah (Perkhidmatan Korporat) di Mahkamah Negara, beliau merupakan anggota utama dalam jawatankuasa pemandu yang terlibat dalam penyepaduan khidmat sokongan korporat Mahkamah Agung, Mahkamah Negara dan Mahkamah Keadilan Keluarga yang berkuat kuasa pada April 2022.

Cik Tan dilantik Ketua Hakim Daerah Kelompok Mahkamah Jenayah pada 1 April 2023.

Ketua Hakim Sundaresh Menon berkata beliau mengalu-alukan pelantikan Cik Tan, yang membawa bersamanya pengalaman mendalam dalam kerjayanya selama bertahun-tahun dalam Perkhidmatan Perundangan dan Perkhidmatan Kehakiman.

“Sebagai Ketua Hakim Daerah Kelompok Mahkamah Jenayah dan anggota pasukan kepimpinan di Mahkamah Negara, Jill membantu dan menyokong Ketua Hakim Mahkamah Negara dengan menyelia pengurusan dan pentadbiran kes jenayah serta pegawai kehakiman dan bukan kehakiman dalam Kelompok Mahkamah Jenayah.

“Beliau berada pada kedudukan yang baik untuk menyandang peranan sebagai Pendaftar Mahkamah Agung, dan saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau,” kata Encik Menon.

Sementara itu, dua lagi pelantikan kehakiman lain turut diumumkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 November 2024.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Agung, Encik Phang Hsiao Chung, akan dilantik sebagai Ketua Hakim Daerah Mahkamah Keadilan Keluarga.

Encik Teo Guan Siew, yang kini Hakim Daerah Mahkamah Negara, pula akan menyandang jawatan sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Agung.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg